Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 22 kes baharu hari ini

266
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 2 Apr : Sebanyak 22 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu daripada 22 kes tersebut 21 kes adalah daripada kategori kes tempatan, sementara satu kes lagi adalah daripada kategori Banduan/OKT/PATI.

JKNM juga melaporkan sebanyak 29 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 183 kes masih dirawat di Hospital Melaka termasuk masing-masing satu kes ICU dan bantuan alat pernafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Teknologi Berendam, Kluster Jalan Haji Malek, Kluster Teknologi Lot Enam dan Kluster DTI Machap Umboo sementara kluster luar yang ada kaitan dengan kes Melaka ialah Kluster Jalan Padang (Negeri Sembilan), Kluster Jalan Satang (HKL), Kluster Bunga Tanjung Bendahara (Kedah) dan Kluster Jalan Harapan.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 23 mukim berada di zon hijau dan lapan mukim lagi berada di zon kuning.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, sembilan mukim di dalam zon hijau, 19 mukim lagi di dalam zon kuning, dan satu mukim dalam zon merah iaitu mukim Batu Berendam.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 15 mukim adalah di dalam zon hijau, sementara enam lagi adalah dalam zon kuning.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1294 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 455 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 217 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 347,972 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.