Home Berita PAS Melaka

Rencana : Kerjasama dalam MN dan PN hendaklah dengan meletakkan Islam di depan 

685
SHARE

Oleh: Siti Salwani Mohd Kassim.

SUASANA damai beserta cuaca yang baik pada malam Khamis yang lalu di kampung Telok Mas dipecahkan oleh bacaan ummul kitab Al-Fatihah dan doa pembukaan sebelum alunan lagu Negaraku bergema. Di Pusat Gerakan Bersatu Cawangan Telok Mas, sepuluh Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Telok Mas hadir memenuhi undangan majlis ramah mesra Bersatu Cawangan Telok Mas.

Ketua PAS Cawangan Telok Mas, Haji Abd Razak Haji Bokhari di dalam ucapan aluannya menzahirkan penghargaan dan kesyukuran di atas pertemuan yang sangat bermakna. Menurutnya, jalinan kerjasama di bawah panji-panji Perikatan Nasional ini amat wajar bagi meneruskan jalinan yang telah dilaksanakan di peringkat Pusat, Negeri Melaka dan Kawasan Kota Melaka.

“PAS mentarbiyahkan ahli-ahlinya supaya patuh dan menghormati keputusan pemimpin. Hasilnya lahir ahli-ahli yang wala’ pada arahan parti. PAS bekerjasama dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. MN kita sayang, PN juga kita sayang”, ujarnya.

Menurut Abd Razak, kerjasama dalam MN dan PN hendaklah dengan meletakkan Islam di hadapan. Apabila hukum Islam dilaksanakan, bukan Islam tidak dipinggirkan tetapi apabila bukan Islam yang ekstrim memegang tampuk pemerintahan, sering kali agama Islam dihina.

“Telah terbukti semasa pemerintahan PH, DAP menunjukkan sikap bermusuh dengan Islam. Kerana sikap itulah maka DAP ditolak rakyat”, tambahnya.

Terdahulu, Ketua BERSATU Cawangan Telok Mas Mohd Nazim Datuk Haji Abd Samad di dalam ucapan aluannya merafakkan kesyukuran di atas ukhuwah yang terjalin.

Menurut anak kepada mantan ADUN Telok Mas, Almarhum Datuk Abd Samad Kasim ini, gerakerja bersama BERSATU – PAS perlu dilakukan untuk mempromosi Perikatan Nasional bagi memperkenalkan kepada rakyat memandangkan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dijangka akan berlaku di antara suku pertama dan kedua tahun 2021.

Sambil menyifatkan gerakerja antara Serikandi dan Muslimat Cawangan Telok Mas yang telah pun dimulakan lebih awal sebagai suatu yang positif, Nazim yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa BERSATU Bahagian Kota Melaka merangka untuk melaksanakan program bersama masyarakat dengan penglibatan wakil rakyat seperti YB Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen di dalam Fun Ride yang akan diadakan pada hari Ahad, 27 Disember akan datang. Menurutnya, kerjasama dengan YB Noor Effendi Ahmad telah dijalin dengan baik.

“Untuk permulaan, BERSATU dan PAS akan mengedarkan pelitup muka di pasar tani dan pasar malam Telok Mas. Sebagai tanda kebersamaan, petugas akan mengenakan pakaian yang sama iaitu kemeja-T Perikatan Nasional”, ujarnya penuh semangat mewakili 15 ahli jawatankuasa BERSATU yang hadir malam itu.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk membuka booth Pendaftaran Pemilih di tapak yang sama di mana edaran pelitup muka berlangsung. Pelekat berlogo Perikatan Nasional yang telah dilekatkan pada bungkusan pelitup muka juga akan menjadi bahan mempromosikan Perikatan Nasional.

Penulis adalah Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Melaka dan ahli Grup Penulis PAS Melaka (GPPM)