Home Berita PAS Kelantan

Rumah anak yatim terima kunjungan menteri

8
SHARE

Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA

KOTA BHARU, 26 Sept: Dalam usaha memastikan kesejahteraan kumpulan sasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meluluskan Geran Rangsum bernilai RM236,300 kepada Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM).

Menteri KPWKM Dato’ Seri Rina Harun berkata, Geran Rangsum digunakan untuk proses perbelanjaan dan pengoperasian semula asrama baharu bagi keselesaan aktiviti akademik dan keagamaan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2022.

Beliau yang diringi Timbalan Menteri KPWKM, YB Dato’ Hajjah Siti Zailah Mohd Yusoff turun meninjau pengoperasian Rumah Anak Yatim Puteri di bawah YAATIM sekali gus membincangkan beberapa langkah yang sistematik serta intervensi yang sesuai berkaitan penjagaan kanak-kanak serta masa hadapan mereka.

Sebelumnya, beliau telah berkunjung hormat ke kediaman Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dalam sesi lawatan kerjanya.

Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Dato’ Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Mumtaz Md. Nawi.