Home Berita PAS Kelantan

RM60 ribu hasil lelongan keris Timbalan Menteri Besar untuk Palestin

166
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 20 Mei: RM60,000 berjaya dikutip daripada Program Lelongan Amal Keris milik Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah yang berlangsung di sini, pagi tadi.
Bidaan bermula pada 16 Mei lepas ke atas Keris Melela Luk 5 yang dilelong pada harga RM10,000 dan dibida sehingga nilaian RM17,000 oleh Rushdan Rusmi.
Manakala Keris Bugis Patani Luk 7 dilelong pada harga RM6,000 dengan bidaan tertinggi oleh Datuk Hazreeq Putra Dato’ Hasman bernilai RM9,000.
Sementara itu, Keris Bugis pula berjaya dibida oleh Aziz Yusoff pada harga RM6,500 daripada harga permulaannya RM4,000.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Lelongan Amal Keris Dato’ TMB untuk Dana Aid4Palestine merangkap Timbalan Presiden II, Cakna Palestin, Abdul Shakur Sharrie, secara rasmi, proses pembidaan lelongan yang diuruseliakan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Cakna Palestin (Cakna Palestin) selama dua hari itu telah ditutup pada pukul 6.00 pagi, 6 Syawal lalu.
“Kami mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada pemenang bidaan dan para pembida lain termasuklah kutipan RM27,500 daripada pembina non-Muslim iaitu Dato’ Stanley Chew dan Tan Mow Heng dengan sumbangan RM10,000 setiap pembida.
“Diikuti Datuk Sri Tan Choon Hwa dan Gan Leong Piow berjumlah RM3,000 setiap seorang serta Syarikat Asas Tegoh Solution Sdn. Bhd., menyumbang sebanyak RM1,500.
“Ternyata perbezaan agama tidak menghalang sesama manusia bersolidariti bersama rakyat Palestin. Buktinya, sahabat non-Muslim di Kelantan turut mahu menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Aid4Palestin”, katanya.
Majlis penyerahan replika cek disempurnakan Dato’ Mohd Amar di pejabatnya kepada Presiden Cakna Palestin, Wan Mohd Sharafi Wan Mustafa yang mewakili Sekretariat Aid4Palestin.