Home Berita PAS Kelantan

RM26.18 juta peruntukan Skim Gerbang Azziwaj, manfaatkan 26,182 penerima

455
SHARE

KOTA BHARU, 29 Dis: Bermula tahun 2011 sehingga Disember 2022 Skim Gerbang Azziwaaj yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan telah memberi manfaat kepada 26,182 penerima.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Kelantan, YB Wan Roslan Wan Hamat berkata, skim yang dikendalikan di bawah Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) Negeri Kelantan tersebut bertujuan menjaga kebajikan rakyat dan membantu meringankan beban kewangan pasangan muda yang terpilih untuk melangsungkan perkahwinan di samping mengelak mereka daripada terjebak dengan gejala sosial.

“Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta bagi skim tersebut dan sehingga kini ia telah membabitkan sejumlah RM26,182,000 sejak ia dilancarkan pada tahun 2011,
Mereka yang layak memohon dan berjaya telah menerima wang RM1,000 daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kawasan masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, bermula dua tahun lepas, para penerima Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj yang bertuah juga telah dipilih menyertai ‘Majlis Raikan Cinta’ peringkat Negeri Kelantan yang dikendalikan oleh U-BeS dengan kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-Kekwa) Negeri Kelantan yang bertujuan meraikan dan memberi ilmu rumahtangga kepada pasangan yang baru berkahwin.

Untuk makluman, kepada mereka yang berminat dan layak memohon, bolehlah mendapatkan borang permohonan skim tersebut di Pusat Khidmat Dun masing-masing.