Home Berita PAS Kedah

RM2.5 juta sumbangan derma diagih kepada mangsa musibah “Kepala Air”

99
SHARE

 

OLEH ROZAIDI TAIB

JERAI, 11 SEPT –Sejumlah RM2.5 juta dalam nilaian wang tunai, barangan keperluan dapur dan makanan berjaya dikumpul oleh dua Pusat Operasi Bencana PAS Kedah sejak dibuka pada 19 Ogos lalu untuk diagihkan kepada 1,700 buah keluarga mangsa tragedi “Kepala Air” Gunung Jerai di kawasan Yan dan Merbok.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahya  berucap menyatakan demikian pada Majlis Sumbangan Musibah Banjir Kepala Air Gunung Jerai Fasa-4 di Kampung Dusun Manggis, Yan di sini, hari ini.

Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor yang juga merupakan Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat turut hadir bersama kira-kira 30 orang wakil penerima sumbangan dalam majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Ustaz Ahmad mengibaratkan kejadian tersebut seumpama “Tsunami Gunung” yang melanda lantas menerbitkan rasa simpati di kalangan masyarakat seluruh negara untuk membantu mangsa yang kematian ahli keluarga dan kemusnahan harta benda.

“Tema Malaysia Prihatin benar-benar terbukti. Seluruh Malaysia baik pemimpin baik rakyat, NGO, individu masing-masing menzahirkan rasa simpati dalam pelbagai bentuk maka datanglah sumbangan dalam pelbagai bentuk jugak.” Katanya.

“Di peringkat parti, kita membuka pusat operasi untuk daerah Yan di Masjid Al-Wustho, Guar Chempedak dengan petugas tetap seramai 150 orang pada satu-satu masa bagi memastikan tindakan awal dapat diambil dan sumbangan dapat segera diagih.” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihak parti turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Kedah yang memulakan sumbangan peribadi sebanyak RM10 ribu untuk tabung bantuan bencana selepas dilancarkan.

Pada majlis tersebut, sumbangan telah disampaikan kepada kesemua  waris mangsa yang terkorban, wakil lima buah Sekolah dan Maahad Tahfiz, dua buah masjid, empat buah surau, 13 pusat peranginan serta penduduk sekitar yang terlibat.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad, Ketua Penerangan PAS Kedah, Ustaz Mohd Azam Abd Samat, Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Sheikh Mohamad Rodi Abdul Rahman, Ketua Dewan Muslmat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Najmi Haji Ahmad serta AJK Pas Kawasan Jerai.