Home Rencana PAS Kedah

MENGAPA MESTI DIGANGGU GUGAT KXP?

136
SHARE

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

ALOR SETAR, 12 Sept – Ahli PKR, Indrani Selvakumar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pemberian projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kepada sebuah syarikat yang didakwa sedang disiasat pihak berkuasa.

Dia meminta SPRM menyiasat hubungan Sanusi dengan syarikat terbabit yang didakwanya sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). Siasatan mula dibuat empat tahun lalu iaitu pada tahun 2017.

Syarikat yang dimaksudkan ialah ECK Group of Companies. Menang benar siasatan pernah dibuat terhadap ECK Development. Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki dalam surat bertarikh November 2020 kepada Pengarah SPRM Pulau Pinang mengesahkan bahawa, hasil semakan mendapati tiada tohmahan dan maklumat yang disiasat berkaitan dengan syarikat tersebut. Dengan maksud yang mudahnya ialah, tiada kes.

Sewaktu Datuk Paduka Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar, kerajaan telah memberi kebenaran pada syarikat yang sama untuk menanam durian Musang King di atas 20 peratus dari bekas kawasan pembalakan di Gunung Inas, Baling (keseluruhan seluas 1200 hektar). Ia berlaku selepas tahun 2017. Mengapa ahli PKR itu atau mana-mana pihak tidak membuat laporan SPRM terhadap Mukhriz? Situasinya sama, bagi projek pada syarikat yang pernah disiasat pada tahun 2017.

Apabila berlaku sikap “double standard” dalam tindakan pihak pembangkang itu, ia menampakkan seolah-olah ada agenda tersirat mengapa projek Lapangan Terbang Kulim sentiasa diganggu gugat.

Awal bulan lalu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mendesak Kedah menangguhkan pembinaan lapangan terbang terbabit. Alasannya, sekarang rakyat menderita kerana tiada pekerjaan dan makanan.

Kira-kira dua minggu selepas itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pula mengeluarkan amaran bahawa projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), mungkin boleh menjejaskan bekalan air di Pulau Pinang.

MCA Pulau Pinang juga turut bermain ‘wayang tongkoi’ mendesak kerajaan DAP membantah projek KXP.

Alasan dan tindakan saja berbeza, namun mereka silih berganti menjadikan KXP sebagai sasaran. Apa sebenarnya cabaran KXP kepada pihak-pihak tertentu?

KXP adalah projek yang diilhamkan sewaktu Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar Kerajaan BN Kedah. Sanusi hanya menyambung idea yang telah dimulakan dengan melakukan gerakerja lebih serius. Prinsip yang dipegang oleh kerajaan pimpinan Sanusi ialah, semua projek-projek kerajaan terdahulu yang memberi manfaat untuk rakyat diteruskan. Tiada dendam politik.

Sekalipun KXP adalah projek mega yang terbaik untuk menjana ekonomi Kedah, namun Mukhriz dahulu mempunyai kekangan dalam pelaksanaan. Bukan mudah untuk mendapatkan dana yang besar dari kerajaan Pusat yang dipimpin oleh bapanya yang sangat berkira soal wang. Tidak mudah juga untuk mendapat restu dari Menteri Kewangan Lim Guan Eng, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pulau Pinang sangat konsisten untuk tidak menyetujui wujudnya KXP. Ia memberi cabaran terhadap ekonomi negeri tersebut, apabila semua urusan kargo masuk dan keluar negara di bahagaian Utara Semenanjung tidak lagi menjadikan Pulau Pinang sebagai pilihan.

Di Negeri-negeri Utara, Kedah muncul sebagai negeri paling rendah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), lebih rendah dari Perlis. Walhal Kedah mempunyai kawasan industri mega Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dengan penghasilan produk ke serata dunia. Sebabnya ialah kerana Kedah terpaksa menggunakan pengangkutan kargo di Pulau Pinang dan dinisbahkan sebagai KDNK Pulau Pinang.

KDNK menjadi antara kriteria jumlah geran Persekutuan terhadap Negeri kerana sumbangan yang dibuat oleh negeri terhadap hasil dalam negara. Malang bagi Kedah yang mendapat bajet kecil kerana rendah KDNK.

KXP tidak hanya sebuah lapangan terbang. Gagasannya lebih besar, termasuk melebarkan penjanaan ekonomi di Kedah Timur yang selama ini ketinggalan.23:28

Pelan terbaru KXP akan melibatkan pembinaan jalan keretapi dari KXP ke Tasek Gelugor juga laluan baru dari KXP ke jambatan ke dua Pulau Pinang. Perancangan sedia ada adalah laluan lebuhraya dari Taiping ke Serdang, Kulim, Sidam, Sungai Petani hingga Padang Besar.

Semua jaringan yang terbina akan menyebabkan KXP berperanan besar mengangkat Negeri Kedah sebagai kuasa ekonomi baru di Utara. Bayangkan pula limpahan ekonomi untuk rakyat.

Adakah hal tersebut yang menjadi igauan ngeri pihak-pihak tertentu sehingga KXP mesti digugat dan digigit?

Sumber : Laman Facebook Zulkifli Yahaya

/tasnim