Home Berita PAS Kelantan

RM12.9 juta dana naik taraf jalan raya disalur kepada PBT

200
SHARE

KOTA BHARU, 29 Nov: Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Inftastruktur, dan Utiliti YB Dato’ Sr. Azami Mohd Nor memaklumkan RM9.1 juta peruntukan di bawah Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Negeri (KAPJN) telah disalurkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan.

Katanya lagi, sehingga Oktober 2022, sejumlah RM3.8 juta telah diperuntukkan di bawah Peruntukan Pembangunan Kerajaan Negeri.

Menurutnya, setiap tahun, dana tersebut diperuntukkan bagi membaiki dan menaik taraf jalan-jalan, menyelenggara jalan-jalan kampung, jalan raya bandaran dan jalan raya negeri khususnya untuk kemudahan rakyat.

“Banyak faktor yang menyebabkan jalan-jalan seliaan PBT mengalami kerosakan, apa yang kita lihat dan kenalpasti adalah apabila kerja-kerja pembangunan yang melibatkan jentera berat secara sistem perlongkangan yang tidak efisien. Justeru itu, semua PBT telah diarahkan untuk memastikan kawalan terhadap kerja pembangunan dari masa ke semasa dan kerajaan negeri juga telah menyalurkan peruntukan yang berjumlah RM 2.9 juta kepada semua PBT di bawah peruntukan pembangunan bagi mengatasi masalah jalan yang rosak ini,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Jelasnya, pembaikian jalan-jalan yang rosak di negeri ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri melalui projek penyelenggaraan jalan Negeri dan Persekutuan.

Bagi Jalan Negeri peruntukan yang dipohon adalah berjumlah RM139 juta, dan peruntukan yang diterima RM79 juta dengan perbelanjaan adalah RM50 juta.

Manakala bagi Jalan Persekutuan pula, peruntukan yang dipohon berjumlah RM367 juta dan peruntukan yang diterima adalah RM93 juta sementara perbelanjaan RM69 juta.