Oleh : IBNU JANIE
Sehingga rencana ini ditulis Malaysia masih lagi ‘tidak berkerajaan’. Kebuntuan politik ini belum nampak tanda-tanda akan menemui titik penyelesaian. Kekalutan parti-parti politik ini di peringkat kerajaan pusat tidak habis di pusat sahaja. Sudah tentu ia berekor kepada kerajaan-kerajaan negeri pula.
Di Melaka, negeri Hang Tuah, Adly Zahari masih lagi Ketua Menteri Melaka ketika rencana ini ditulis. Melaka bersama-sama dengan Kedah dan Perak adalah antara negeri yang dikatakan bakal tumbang akibat krisis kepimpinan yang melanda Pakatan Harapan (PH) kerana keluarnya Bersatu dari PH.
Pagi Selasa yang cerah 25 Februari lepas, iaitu dua hari selepas ura-ura pembentukan kerajaan persekutuan yang baru, Adly ada membuat satu hantaran facebook yang berbunyi “Terima kasih kepada semua kerana memberi peluang saya memimpin kalian. Walaupun tempoh itu singkat, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dengan kudrat yang ada untuk menghilangkan kelaparan, kejahilan dan kedukaan semua. Didoakan semua dirahmati Ilahi.”
Hantaran facebook Adly itu seolah-olah membayangkan bahawa beliau sudah menyerah kalah dan sedia untuk meninggalkan Seri Negeri. Maklumat dari kakitangan Seri Negeri juga ada melihat pegawai-pegawai lantikan politik sedang berkemas-kemas.
Namun menjelang tengahari, Adly membuat satu lagi hantaran facebook berbunyi “Terus berkhidmat kepada rakyat”. Facebook portal berita rasmi kerajaan Melaka iaitu Melakakini pada masa yang sama juga membuat satu perkongsian berita bertajuk “Adly Zahari Masih Lagi Ketua Menteri Melaka”. Seolah-olah ada ‘wahyu’ yang membuatkan PH Melaka yakin bahawa umur kerajaan mereka masih tersisa.
Pada dasarnya apabila Bersatu mengumumkan mereka keluar dari PH ini bermakna secara rasmi kerajaan PH Melaka sudah tinggal 13 kerusi. Namun kedudukan ini menjadikan bilangan kerusi terkini PH adalah sama dengan bilangan kerusi yang dimiliki oleh BN.
Bersatu Melaka pada masa ini memiliki dua orang ADUN iaitu Exco Kerajaan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Adun Teluk Mas, Noor Effandi Ahmad. Buat masa ini Bersatu belum lagi membuat apa-apa pengumuman sebarang usaha penggabungan dengan BN Melaka.
Cakap-cakap di kalangan orang politik mengatakan bahawa Rafiq memang berpatah arang dengan PH namun sukar untuk membuat kerjasama dengan BN kerana ada ‘kisah lama’ antara beliau dengan Adun BN tertentu semasa masih di dalam UMNO dulu. Mungkin itu yang menjadi halangan kepada pembentukan kerajaan baru di Melaka.
Selain dua orang Adun Bersatu tadi dua orang lagi Adun PKR yang dikatakan dari grup Azmin juga bakal menjadi ancaman kepada kerajaan Adly iaitu Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Datuk Muhamad Jailani Khamis. Kedua-dua mereka inilah yang dulu bertindak berani menggagalkan usul melantik senator Melaka di dalam persidangan DUN Melaka yang telah memalukan Adly beberapa bulan lepas.
Setakat ini belum ada apa-apa kenyataan dari kedua-dua exco ini tentang kedudukan mereka samada mengikut Azmin atau kekal bersama PKR. Adakah mereka masih berasa takut untuk menonjolkan diri, menunggu masa yang sesuai, atau sudah membuat u-turn selepas rancangan penubuhan kerajaan baru gagal?
Kerajaan Adly masih boleh berjalan selagi Muafakat Nasional belum dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai lebih majoriti berbanding PH di DUN Melaka. Sekiranya Muhamad Jailani dan Ginie Lim isytihar keluar PKR dan menyertai Azmin, ditambah dengan dua Adun Bersatu, maka PH Melaka hanya tinggal 11 kerusi sahaja. Dengan itu kedudukan kerusi PH secara automatik lebih rendah dari jumlah kerusi Adun BN.
Di peringkat kerajaan pusat pula, tindakan PH menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri (PM) memberi isyarat seolah-olah peluang untuk PH bertaut kembali dengan Bersatu semakin sukar. Bersatu pula telah mencalonkan Presidennya Tan Sri Muhyidin sebagai calon PM.
Dari perbualan penulis dengan seorang sahabat penulis yang juga seorang pemerhati politik pro PH pula mengandaikan bahawa kemungkinan Muhyidin Yassin yang akan menjadi PM sekiranya mendapat sokongan dari Muafakat Nasional. Setakat ini Muafakat Nasional tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa pun kecuali dengan DAP.
Setakat ini juga di peringkat parlimen, PH (PKR, PAN, DAP) mempunyai sokongan 92 ahli parlimen. Muafakat Nasional (UMNO, PAS, MCA, MIC) pula mempunyai kekuatan 60 kerusi parlimen. Sementara gabungan Bersatu (Bersatu, Warisan, GPS, Azmin) mempunyai 64 kerusi parlimen. Sekiranya gabungan Bersatu dan Muafakat Nasional membentuk pakatan ia mempunyai jumlah 124 kerusi. Bilangan ini cukup untuk mendapat majoriti mudah.
Namun begitu bagus juga jika kerajaan negeri-negeri ini bertahan dulu sehingga kebuntuan di peringkat pusat ini diselesaikan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong (KDYMM YDPA) dan Majlis Raja-raja. Penulis percaya kebuntuan ini tidak akan dibiarkan lama. Sama juga dengan kedudukan Perdana Menteri interim ini, ia tidak boleh dipegang dalam tempoh lama.
Sekiranya pihak negeri sudah membuat perubahan dalam struktur negeri tetapi akhirnya KDYMM YDPA membuat keputusan membubarkan parlimen maka kita telah membazirkan tenaga dan usaha membentuk kerajaan baru di peringkat negeri.
Yang menentukan sesuatu kerajaan itu kekal atau runtuh adalah melalui sokongan anggota DUN secara individu, bukan semata-mata kerana parti. Walau pun parti Bersatu Melaka sudah keluar dari PH menyebabkan PH hilang majoriti dalam DUN Melaka secara atas kertas, namun jika dua orang Adun Bersatu Melaka ini kekal menyatakan sokongan kepada Adly maka kerajaan PH Melaka tidak tumbang.
Sementara belum ada ketetapan dari pihak KDYMM YDPA, maka kerajaan-kerajaan negeri boleh terus menikmati umur subsidi yang diberikan undang-undang kepada mereka. Kalau ada rezeki dilembutkan hati antara parti-parti yang bertelagah ini bersepakat sehingga PH dapat membentuk majoriti bolehlah kerajaan Adly bertahan sehingga tamat penggal. Jika tidak jumpa jalan penyelesaian juga, berjumpalah kita di PRU15 dalam masa terdekat.
Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah
(Rencana ini juga disiarkan di dalam Harakah Cetak Bil 2528)