Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Tuan Guru Zulkifli Ismail Yang Saya Kenali – Membangunkan Budaya Ilmu Sebagai Asas Kepada Perjuangan Islam

1131
SHARE

 

Oleh: Hj Bakri Jamaluddin.

“Kalau seseorang itu boleh jujur dengan wang jujurlah dia” inilah kata-kata hikmah yang sering terngiang-ngiang di telinga lebih-lebih lagi bila bergelumang dengan dunia korporat. Bila direnung dalam-dalam walaupun ia keluar secara sepontan dari mulut seorang Tuan Guru ketika memberikan kuliahnya di anjung teras rumah tua sekitar 19 tahun yang lalu tapi itulah ilmu yang menyentap hati dan menjadi bekalan dalam menjalani kehidupan di negara orang.

“Cita-cita ana nak melahirkan seramai mungkin ulama’ di negeri Melaka ini, perjuangan Islam ini mesti dimulai dengan ilmu dan membudayakan ilmu sebagai asas kepada kemenangan yang akan dianugerahkan Allah kepada kita” itulah juga antara perkara yang sering saya dengar 19 tahun dulu sebelum saya berangkat ke Indonesia untuk bekerja di sana atas perintah dari syarikat di mana saya bekerja.

Itulah antara pesan dan bisikan Tuan Guru Zulkifli Ismail kepada saya pada waktu Baitul Qurra’ mahu dibangunkan kira-kira 19 tahun yang lalu. Baitul Qurra yang dulunya bermula dengan kuliah dianjung teras rumah beratap zink ditambah dengan sinar matahari pagi menembus ke ruangan kuliah yang tidak berdinding kadang-kadang terasa pedih membakar kulit para murid yang bersimpuh khusyuk menadah kitab setiap pagi Ahad.

Menjual belacan, cencalok dan kitab merupakan langkah awal dalam mengumpulkan dana bagi membangunkan pusat ilmu ini. Kini Baitul Qurra’ telah berubah wajah dengan sebuah bangunan tesergam yang dilengkapi dengan pejabat, dewan kuliah, masjid, rumah guru serta pondok-pondok penginapan pelajar hasil sumbangan dan bantuan orang ramai.

Bertubuh kecil, tetapi sebagai Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Melaka, beliau mempunyai cita-cita, minda dan wawasan yang sangat besar dan luar biasa untuk Islam. Pandangan tajam beliau sering menjadi kata putus dalam setiap pertemuan dikalangan pimpinan PAS Melaka.

Perjuangan bermula dengan pembinaan budaya ilmu di kalangan masyarakat dan melahirkan ulama’-ulama’ merupakan kerja asas yang beliau lakukan sesuai dengan marhalah perjuangan PAS di Melaka merangkumi da’awah, tarbiyyah dan politik.

Kurang kesedaran tentang betapa perlu memartabatkan Islam, lemah minda serta hilangnya jatidiri Islam Melayu merupakan kesan-kesan peninggalan dari penjajahan terhadap bumi Melaka yang sekian lama bermula dari tahun 1511. Oleh itu tidak ada jalan pintas untuk mengangkat kembali martabat dan jaditidiri bangsa ini melainkan harus mengangkat Islam terlebih dahulu seperti mana yang telah dilakukan oleh datuk nenek orang-orang Melaka di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang berteraskan syariat Islam sehingga berjaya mengislamkan seluruh Tanah Melayu dan Nusantara serta diakui ketamadunanya oleh pakar-pakar sejarah.

Oleh itu penekanan terhadap ilmu dijadikan fokus utama beserta pembinaan peribadi berlandaskan adab yang rabbani dan akhlak yang tinggi lagi mulia. Ia merangkumi adab terhadap Allah, Rasul S.A.W, para ulama’ dan ilmu, ibubapa dan sesama muslim serta kepada seluruh makhluk ciptaan Allah.

Inilah wawasan beliau yang diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan serta komitmen yang tinggi bagi melahirkan pejuang dan petugas-petugas dakwah yang mempunyai kefahaman Islam yang syumul serta bertanggung jawab terhadap da’awah dan perjuangan Islam.

Bibit-bibit perjuangan Tuan Guru Zulkifli sudah mulai dapat dirasakan dengan bertambahnya majlis-majlis ilmu dan pondok-pondok di sekitar negeri Melaka. 19 tahun yang lalu, kebanyakan yang datang menadah kitab adalah dari kalangan orang tua tetapi hari ini dipenuhi oleh anak-anak muda yang bakal mewarnai corak masyarakat masa depan yang akan meletakkan Allah dan Rasul sebagai cita-cita murni.

Saya yakin insyaAllah dalam beberapa tahun lagi cahaya Islam akan kembali menerangi bumi Melaka seperti yang pernah berlaku pada Abad ke 15.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Melaka merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu

(Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak keluaran 3 Februari 2020)