Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Tingginya harga kereta Kelisa terpakai – Kesan lebihan permintaan

305
SHARE
Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Oleh : Ibnu Janie

SUATU ketika sekitar tahun 2017 penulis mengikuti seorang rakan penulis, seorang taukeh kelapa sawit dari Sungai Rambai Melaka, mencari kereta Perodua Kelisa terpakai. Berbagai-bagai cara dia gunakan untuk mendapatkan kereta ini. Melalui media sosial adalah cara utama, selain ‘walk-in’ ke sana ke mari.

Mulanya penulis terfikir juga mengapa tidak pergi sahaja ke kedai menjual kereta terpakai. Rupanya memang susah untuk mendapatkan model kereta ini pada masa itu. Penulis baru tahu pada masa itu yang kereta Kelisa terpakai ini mempunyai permintaan yang sangat tinggi. Tidak pasti pula adakah situasinya masih sama pada hari ini.

Menurut rakan penulis itu, kereta Kelisa diminati kerana penggunaan petrolnya yang menjimatkan dan kos penyelenggaraannya rendah. Kerana itu kereta model ini menjadi buruan ramai orang. Permintaan kereta model Kelisa terpakai ini sama dengan permintaan untuk model terpakai Kancil dan Viva.

Sebenarnya dalam kalangan kereta-kereta terpakai ini walau pun harganya menyusut namun penyusutannya tidak sama antara satu sama lain. Contohnya, katalah ada dua model kereta yang kita namakan model A dan model B yang harga asal kedua-duanya ialah RM50 ribu. Namun selepas lima tahun contohnya, model A mungkin boleh dijual pada harga RM20 ribu, sementara model B pula mungkin hanya boleh dijual pada harga RM10 ribu sahaja walau pun kondisinya sama.

Perkara ini berlaku disebabkan perbezaan dalam permintaan dan penawaran bagi pasaran kereta terpakai ini. Penawaran bermaksud kuantiti sesuatu barangan atau perkhidmatan yang ingin dijual oleh semua pengeluar atau penjual pada sesuatu harga tertentu. Permintaan pula adalah kuantiti barangan atau perkhidmatan yang mampu dan ingin dibeli oleh semua pelanggan pada satu harga tertentu.

Situasi penawaran dan permintaan

Biasanya akan berlaku tiga situasi hubungan antara penawaran dan permintaan ini. Situasi pertama ialah kuantiti penawaran sama dengan kuantiti permintaan. Ini dipanggil tahap keseimbangan dan merupakan situasi yang terbaik.

Situasi kedua ialah kuantiti permintaan lebih tinggi daripada kuantiti penawaran. Ini kita panggil sebagai lebihan permintaan. Situasi ini biasanya akan menyebabkan harga meningkat atau inflasi. Yang ketiga ialah kuantiti penawaran lebih tinggi daripada kuantiti permintaan. Situasi ini dipanggil lebihan penawaran dan akan menyebabkan harga akan jatuh atau dipanggil deflasi.

Mengapa dalam situasi lebihan permintaan akan menyebabkan berlaku kenaikan harga atau inflasi? Ilustrasi ini akan menunjukkan bagaimana ia berlaku.

Katakan ada sepuluh orang ingin membeli kereta Kelisa terpakai itu. Tiba-tiba di dalam pasaran hanya seorang sahaja yang mahu menjual kereta itu. Situasi ini mungkin berlaku kerana orang yang telah membeli dan memilikinya tidak mahu menjualnya kerana sangat berpuas hati. Sementara orang ramai yang mendengar tentang kelebihannya pula mula berebut-rebut mahu membelinya.

Dalam situasi ini, sepuluh orang pembeli tadi masing-masing akan berlumba-lumba menawarkan harga yang lebih tinggi untuk menarik perhatian satu-satunya penjual tadi agar penjual ini menjual kereta itu kepada mereka. Maka dalam situasi ini penjual yang rasional biasanya akan menjual kepada pembeli yang menawarkan pada harga tertinggi.

Jadi di sini kita melihat bahawa apabila berlakunya lebihan permintaan akan menyebabkan kenaikan harga atau inflasi.

Kita terbalikkan situasi tadi. Kita ambil satu model lain, katalah model X. Katalah ada sepuluh orang yang ingin menjual kereta terpakai model X tadi. Tapi hanya ada seorang sahaja yang mahu membeli kereta terpakai model X ini.

Pada masa ini 10 orang pemilik kereta terpakai model X tadi masing-masing akan membuat tawaran harga yang paling rendah untuk menarik minat satu-satunya pembeli tadi.

Dengan andaian kesemua 10 kereta model X tadi berada dalam kondisi yang setara, maka sebagai pembeli yang rasional mestilah pembeli tadi akan membeli daripada penjual yang menawarkan harga terendah. Jadi di sini, lebihan penawaran akan menyebabkan harga barangan jatuh atau dipanggil deflasi.

Sama dengan yang berlaku di pasaran saham

Konsep ini jugalah yang digunakan di dalam jual beli saham di pasaran saham. Untuk sesuatu kaunter saham itu apabila ramai orang ingin membelinya maka pembeli yang jumlahnya lebih ramai akan mula membuat tawaran kepada penjual untuk membeli dengan lebih tinggi. Maka harga saham sesuatu kaunter itu akan naik.

Dan begitulah sebaliknya. Jika ramai yang ingin menjual, sedikit yang ingin membeli, maka harga saham akan jatuh. Di dalam ekonomi sesuatu keadaan yang sebaliknya berlaku bila kita membuat perbandingan ini dipanggil ‘vice versa’.

Para pengeluar sebenarnya sangat takut dengan situasi lebihan penawaran ini. Seingat penulis dalam tahun 90an dahulu pernah keçoh satu kejadian pengusaha ayam daging yang membakar anak-anak ayam yang mereka ada kerana ingin mengurangkan bekalan ayam pada waktu itu yang mengalami kejatuhan harga kerana penawaran melebihi permintaan.

Adakah situasi kejatuhan harga apabila berlaku lebihan penawaran itu adalah sesuatu yang baik? Jika dilihat dari satu sudut sahaja iaitu sudut pengguna, ia memang baik kerana pengguna akan mendapat harga yang lebih rendah.

Ekonomi dan kesan berantai

Tapi, seperti yang penulis selalu ulang, di dalam ekonomi ini ia sentiasa membawa kepada kesan berantai. Walau pun penurunan harga itu baik kepada pengguna namun ia sebenarnya ia boleh menyebabkan penjual mengalami kerugian kerana mereka menanggung satu kos yang mungkin tidak berubah walau pun permintaan dan harga runcit berubah. Keadaan ini akan menyebabkan ramai peniaga gulung tikar dan tutup perniagaan.

Namun yang menariknya, hukum yang dinyatakan dalam ekonomi ini akan berlaku pembetulan secara natural. Apabila berlaku lebihan penawaran, harga akan jatuh. Apabila harga jatuh maka ada penjual yang akan tutup perniagaan kerana rugi. Apabila kurang peniaga maka penawaran dapat dikurangkan.

Sampai satu peringkat apabila penawaran lebih rendah daripada permintaan maka harga akan naik semula sehingga mencapai satu tahap keseimbangan yang menguntungkan pengguna dan pengeluar.

Kerana itu dalam ekonomi, apa yang ingin dicari ialah titik keseimbangan yang merupakan satu situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pengeluar.

Yang menariknya konsep keseimbangan ini sebenarnya termasuk di dalam saranan Islam berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6176)]

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bil. 2619 25 Januari 2021