Home Berita PAS Melaka

Rencana | Tauke judi juga yang menang

1228
SHARE

Oleh IBNU JANIE

“BANYAK orang gila judi. Banyak orang gila judi. Hai judi merosak diri, merosak diri. Banyak yang setengah mati, akibat judi.” Demikian lirik lagu Gila Judi nyanyian penyanyi gelek lagenda Datuk M. Daud Kilau.

Benarlah seperti kata lirik lagu itu. Tak perlu dijelaskan. Semua orang tahu dan faham. Sesiapa yang mengenali di sekeliling mereka mana-mana kaki judi, pasti gambaran yang boleh diberikan, individu kaki judi ini sebagai tidak bertanggungjawab, melupakan keluarga, hidup tak terurus dan sebagainya.

Penulis diperkenalkan oleh seorang sahabat penulis dengan dua orang rakannya yang pernah terlibat dengan judi namun kini telah insaf dan tidak lagi melakukan perbuatan keji itu.

Kedua-dua rakan karib yang memiliki perniagaan sendiri ini merupakan sahabat sejak daripada zaman sekolah lagi. Malah kedua-dua orang sahabat ini juga berkelulusan ijazah daripada universiti awam tempatan.

Menurut salah seorang daripada mereka, Iqbal Suhaimi (bukan nama sebenar) yang dahulu belajar di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor berkata beliau mula terlibat dengan judi semenjak masih belajar di universiti lagi.

“Masa tu saya masih belajar di universiti dari tahun 1996 hingga 1999. Saya ni suka main ‘game’. Selalulah pergi ke kedai ‘video game’. Tapi dekat situ pun ada mesin judi.

“Sambil-sambil main ‘game’ saya main sekali judi mesin ni. Iyalah, dapat duit kalau menang bukan? Main ‘game’ tak dapat apa-apa. Main mesin judi dapat duit kalau menang.

“Tapi masa tu taklah habis duit banyak sangat. Sekali main pun dalam RM10 saja. Itu pun sebulan sekali,” ujar Iqbal kepada penulis mengimbau kisah lebih 20 tahun lepas itu.

Ramai mula berjudi dari kecil tanpa sedar

Menurut beliau lagi, sebenarnya kebanyakan orang tidak sedar bahawa sejak kecil lagi ramai yang telah dididik dengan judi melalui permainan ‘judi papan tikam’.

“Banyak bukan zaman kecil-kecil dulu zaman tahun 80an, 90an, kita main permainan tikam-tikam? Yang kena bayar 20 sen sekali koyak tiket. Lepas tu boleh dapat hadiah,” ujar beliau.

Menurut Iqbal lagi ramai yang tidak tahu itu juga judi. Ini menjadikan ramai yang sudah belajar main judi sejak kecil lagi tanpa sedar.

Tambah Iqbal lagi selepas habis belajar di universiti daripada tahun 2000 hingga tahun 2012 beliau tidak lagi terlibat dengan judi, namun aktif semula bermain judi selepas tahun 2012.

“Itu pun sebab masa tu (tahun 2000 hingga 2012) tak jumpa kedai mesin judi. Kalau ada mungkin main juga,” ujar Iqbal sambil tertawa kecil.

Hilang RM15 ribu sehari kerana judi

Ketika ditanya tentang pengalaman terhadap jumlah wang yang pernah dihabiskan untuk berjudi, Iqbal menceritakan bahawa beliau pernah hilang sebanyak RM15 ribu dalam sehari kerana berjudi.

Beliau juga pernah meraih kemenangan besar sepanjang terlibat dengan judi ini. Menurut Iqbal, pada tahun 2015 beliau pernah bertekad untuk bermain judi itu selama sebulan.

 

 

“Masa tu saya nak main sebulan saja. Saya keluar modal. RM300 habis pada hari pertama. Tapi hari pertama saya menang RM500. Selepas sebulan penuh saya bermain, untung sehingga RM30 ribu,” kata Iqbal.

Menurut Iqbal lagi, kerana gila berjudi menyebabkan perniagaannya merosot dan terumbang ambing. Tambahnya, pada ketika itu dia juga menjadi seorang yang mengabaikan keluarga kerana gila judi.

“Bila saya ingat balik, masa saya gila berjudi dulu memang saya jadi orang yang tak bertanggungjawab. Saya pernah main judi di kedai mesin judi daripada petang raya hingga pagi raya.

“Pagi-pagi raya, orang pergi sembahyang raya, saya baru sampai rumah daripada kedai judi mesin. Saya balik terus tidur sampaikan keluarga saya tak berziarah di hari raya kerana saya tidur,” ujar Iqbal kesal.

Tambah beliau lagi, beliau pernah duduk di kedai mesin judi selama 36 jam tanpa henti. Tidak sedar dari siang membawa ke malam, kemudian siang semula beliau masih di kedai mesin judi.

“Tapi bila kita main mesin judi tu, tauke kedai mesin judi akan belanja makan KFC, Pizza Hut dan macam-macam. Mereka belanja.

“Tapi sebenarnya walau pun mereka keluar duit untuk belanja kita tapi duit yang mereka dapat daripada kita tu sebenarnya jauh lebih banyak,” ujar beliau lagi.

Berjudi untuk selesaikan masalah kewangan

Seorang lagi rakan Iqbal yang turut ditemubual penulis, Syafiq Selamat (bukan nama sebenar) pula berkata ramai yang menghadapi masalah kewangan menganggap ini cara untuk selesaikan masalah kewangan, hutang dan sebagainya.

“Mereka yang berjudi ni kadang-kadang terdesak. Mereka sangka berjudi boleh menyelesaikan masalah kewangan mereka. Pada hal tidak. Lagi menambahkan sempit adalah,” ujar Syafiq yang merupakan seorang graduan daripada sebuah IPTA di Malaysia Timur.

Tambah Syafiq lagi beliau dahulu terlibat dengan judi sebenarnya untuk menampung perbelanjaan berseronok di kelab-kelab hiburan yang memerlukan belanja tinggi.

“Masa tu duit hasil judi yang saya dapat tu saya tak campur. Saya asingkan dengan duit saya daripada sumber yang halal. Saya buat macam tu. Orang lain saya tak pasti.

“Dan judi ni boleh ketagih. Walau pun saya berjudi bukan untuk menampung perbelanjaan hidup, tapi berjudi sebab seronok-seronok, tapi memang ketagih.

“Bagi saya sebab tu Islam halang judi sebab boleh buat orang ketagih, sanggup mencuri, merompak untuk dapat duit nak buat berjudi,” jelas Syafiq.

Namun bagi Syafiq yang sudah bertahun meninggalkan aktiviti keji ini berkata bahawa pada masa sekarang aktiviti berjudi jadi sangat mudah dengan adanya perjudian dalam talian.

“Sekarang ni semua ‘online’ saja. Sesiapa pun boleh main judi ni. Bayangkan, kalau dulu nak masuk ke kedai mesin judi tu kita takut gila kalau-kalau kena ‘rush’ polis atau penguatkuasa Majlis Agama Islam. Dengan judi online ni tak perlu takut lagi.

“Saya pernah jadi kaki judi. Saya bimbang bila melihat gejala ini semakin berleluasa kerana kemajuan teknologi. Kita bimbang nanti anak-anak kita sekarang terlibat dengan judi,” kata Syafiq.

Tauke judi juga yang menang

Apabila ditanya adakah dengan berjudi boleh membuatkan ramai orang berubah jadi kaya dengan mudah, kedua-dua sabahat ini sepakat menggelengkan kepala sambil tertawa.

“Yang ‘telungkup harup’ (hancur lebur) banyak la,” kata Syafiq dalam dialek Melaka pekat.

Pada Syafiq, sebenarnya tauke-tauke judi ni mereka dah ada pengiraan mereka. Banyak mana pun mereka bayar kepada yang menang hakikatnya apa yang mereka dapat sudah tentu jauh lebih banyak.

Iqbal turut bersependapat dengan Syafiq bahawa pepatah yang mengatakan ‘yang menang ialah tauke judi’ adalah benar.

“Kalau berjudi ni boleh buat ramai orang kaya saya rasa sekarang ni saya tak berhenti berjudi. Rasanya sampai sekarang saya masih berjudi,” ujar beliau.

Iqbal turut mencadangkan agar kerajaan mengenakan denda kepada pemilik premis judi yang membenarkan orang Islam bermain judi di premis mereka.

“Sekarang ni kalau kita masuk kedai ekor nak beli tiket ekor, kalau kena tangkap dengan Penguatkuasa Majlis Agama Islam, orang Islam itu boleh didenda. Tapi pengusaha premis tu tak kena apa-apa.

“Sekarang ni kita kena buat undang-undang supaya kalau premis tu bagi orang Islam masuk, pengusaha premis judi tu akan didenda. Macam kedai-kedai sekarang ni akan dikenakan denda jika pelanggan tidak tulis nama sebab Covid-19.

“Denda tu janganlah murah-murah. Kenakan denda RM100 ribu untuk setiap kesalahan. Barulah mereka pun akan sama-sama menghalang orang Islam daripada masuk ke premis mereka.

“Memang kita tak boleh nak hapuskan terus. Sekurang-kurangnya kita susahkan kaki judi ni daripada berjudi,” ujar beliau mengakhiri temuramah dengan Harakah.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

 

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2629 bertarikh 5 Mac 2021.