Home Berita PAS Pahang

MN Pahang tenang dan utuh

580
SHARE

MUAFAKAT NASIONAL NEGERI PAHANG TETAP TENANG DAN UTUH. BADAI DILAUT SEBELAH TIDAK GONCANGKAN KAPAL KAMI DILAUT PAHANG.

Apabila ombak politik di Terengganu sedang membadai, kami di Negeri Pahang tetap tenang, tiada sedikitpun alunan yang menjadi kesan dek pukulan badai yang sedang melanda di Negeri jiran kami. Hubungan kami tetap utuh, MN Pahang terus melangkah menjalin dan mengeratkan hubungan yang sedia ada.

Hubungan saya sendiri dengan YAB Menteri Besar Pahang selaku pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan semua rakan samaada dari PAS dan UMNO terus terjalin dengan baik, program-program bersama terus berjalan dengan lancar termasuk peranan PAS sebagai sebahagian elemen yang membantu pentadbiran Negeri Pahang.

Kesan dari ketenangan dan kestabilan hubungan ini menjadikan perjalanan pentadbiran di Negeri Pahang begitu harmoni, tumpuan dapat diberikan dengan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran, ini dapat dilihat melalui percambahan ekonomi, dapatan keewangan negeri yang meningkat, pembayaran hutang, menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri yang begitu komitmen membantu rakyat dalam pelbagai sudut secara konsisten.

Mengambil kata-kata Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat “yang banyak jangan kedekut dan yang sedikit jangan tamak”, pihak PAS terus berbincang dengan baik terhadap apa jua perkara dan tetap diberikan pertimbangan seimbang oleh pihak UMNO yang menjadi tunggak pemerintahan kerajaan Negeri Pahang dan kami samasekali akan bersikap tidak akan mengganggu perjalanan pentadbiran Negeri Pahang meskipun tiada sebarang jawatan jika sekiranya perjalanan pentadbiran itu telahpun kelihatan baik.

Kami bagi pihak PAS Pahang tetap konsisten dengan aspirasi Tuan Guru Presiden dalam gagasannya terhadap agenda penyatuan UMMAH, matlamat utama kami adalah Islam, Negeri dan Rakyat Pahang keseluruhannya. Kestabilan politik amat penting dalam mentadbir sebuah Negeri, kerana itu kami dari PAS Pahang sangat memelihara kestabilan dan keharmonian yang sedia ada demi kepentingan rakyat Pahang.

Rakyat dah begitu “cemus” dengan retorik politik yang bagaikan tak kesudahan, carut marut politik yang membusukkan hanya akan melahirkan rakyat yang bencikan politik dan ahlinya, akhirnya hilangnya kesedaran tanggungjawap politik dikalangan rakyat, ini adalah senario yang akan membawa kepada kehancuran agenda perpaduan UMMAH dan sebuah Negeri. PAS Pahang tidak mahu Negeri Pahang tercinta ini jatuh ke tangan perakus yang merobek Islam dan rakyatnya.

Namun PAS tetap mendokong aspirasi “PERTAHAN MN PERKUKUH PN”, kerana ianya sebuah agenda mulia demi perpaduan UMMAH, memperkuat dan menambah majoriti, mengekalkan kuasa Melayu Islam disamping tidak meminggirkan dan meraikan juga mentadbir secara adil masyarakat berbilang kaum dalam negara ini termasuk Pahang, namun senario politik di Negeri Pahang perlu diambil kira, nilai keharmonian ini begitu mahal, utamakan sikap kasih sayang terhadap Negeri dan rakyat, jangan pecahkannya.

Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri yang telah menyalurkan peruntukan untuk adun-adun PAS bekerja, semua ini adalah kesan dari agenda penyatuan UMMAH. UMNO cukup majoriti untuk memerintah sendiri, namun PAS hadir sebagai penguatnya, kebersamaan PAS telah mengumpulkan kekuatan 2/3 majoriti penyokong kerajaan, kami berganding tangan untuk membina keharmonian dan kekuatan ini.

Sikap MN pahang yang sentiasa bertolenrasi antara sesama, menjadikan MN Pahang begitu stabil dan harmoni, sehingga kini badai di laut sebelah tidak menggoncangkan kapal kami di laut Pahang. Harap tiada yang melontar batu di air yang tenang ini. MN Pahang akan terus komitmen membangunkan Negeri dan membantu rakyat berbilang kaum.

Abdul Jabar Rosli Rosli
YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
PESURUHJAYA PAS PAHANG
ADUN TANJUNG LUMPUR.