Home Melaka

Rencana | Seimbangkan penghargaan akademik dan bukan akademik

246
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SETIAP kali tiba saat keputusan perperiksaan awam persekolahan seperti SPM dan STPM dikeluarkan maka timbullah polemik tentang isu meraikan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang.

Lalu ada yang berkata bahawa majlis-majlis seperti ini menyebabkan mereka yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang berasa jauh hati dan tersisih.

Dalam kita beranggapan seperti ini untuk menjaga hati pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan, kita terlupa hati pelajar-pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang.

Kita sedia maklum bahawa untuk mendapat keputusan yang cemerlang memerlukan seseorang itu bekerja keras memperolehinya. Mereka terpaksa berjaga malam; mengeluarkan wang membeli buku tambahan dan mengambil tusyen; melakukan latihan; mengorbankan masa rehat mereka untuk belajar dan pelbagai pengorbanan lagi.

Gambar hiasan (Kredit foto: Google)

Mereka yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang ini pula terbahagi kepada dua golongan. Yang pertama ialah mereka yang telah berusaha bersungguh-sungguh tetapi tiada rezeki untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Golongan yang kedua ialah mereka yang malas belajar dan kurang berusaha.

Lalu apabila kita terlalu beremosi dalam menjaga hati pihak yang mendapat keputusan tidak cemerlang, kita lupa bahawa kita menjatuhkan moral dan semangat mereka yang bekerja keras untuk memperolehi sesuatu yang sukar dicapai oleh kebanyakan orang.

Jika budaya untuk tidak meraikan mereka yang mendapat keputusan cemerlang ini diamalkan, dibimbangi bahawa kejayaan dan kecemerlangan itu sudah jadi tidak bernilai di mata para pelajar.

Begitu juga dalam isu pengasingan kelas mengikut prestasi akademik di peringkat sekolah rendah. Apa yang penulis faham Kementerian Pendidikan Malaysia sejak beberapa tahun lepas mengamalkan polisi tiada pengasingan kelas untuk murid-murid sekolah rendah.

Sebagai bekas pendidik penulis beranggapan bahawa pengasingan kelas tidak menjadi masalah sekiranya ia dilakukan dengan betul. Ada banyak cara boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada timbulnya kesan psikologi pada pelajar yang ditempatkan di kelas-kelas belakang seperti penggunaan nama kelas yang tidak menggambarkan ranking seperti menggunakan nama bunga, haiwan, tokoh-tokoh negara dan sebagainya.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 1 Julai 2022

 

Penulis melihat bahawa ada keperluan dari segi pedagogi untuk membahagi-bahagikan pelajar ini mengikut prestasi bagi memudahkan guru-guru membuat intervensi kepada murid-murid. Ini akan memberi kebaikan kepada murid-murid itu sendiri.

Kita tidak mahu jika kita hanya sekadar melayan hati dan perasaan sesetengah ibu bapa yang malu anak-anak mereka dimasukkan ke kelas-kelas lemah ini lalu kita mengorbankan masa depan pelajar-pelajar ini yang sepatutnya mendapat tumpuan khas dalam kelas-kelas mereka.

Sebenarnya penulis melihat bahawa mungkin ketidakseimbangan antara penghargaan terhadap akademik berbanding penghargaan terhadap kejayaan bersifat bukan akademik menimbulkan rasa tidak adil kepada pelajar secara keseluruhan.

Jika kita mengambil Teori Pelbagai Kecerdikan – Howard Gardner yang mengiktiraf sembilan kecerdikan yang bukan hanya akademik semata-mata, maka skop kejayaan itu akan jadi lebih besar berbanding dengan sekarang ini.

Selama ini mungkin kita sudah pun menghargai pencapaian dalam bidang bukan akademik ini seperti sukan dan ko-kurikulum. Namun kerana kita meletakkan bahawa hanya kejayaan akademik dianggap sebagai kejayaan yang sebenar dan kejayaan bidang bukan akademik sebagai kelas kedua menjadikan pelajar yang lemah akademik tetapi cemerlang dalam bidang ko-kurikulum tetap berasa tersisih.

Gambar hiasan (Kredit foto: Google)

Ironinya seorang pelajar yang berjaya mewakili pasukan bola sepak peringkat negeri dan meraih kemenangan, tetap dianggap tidak berjaya jika mereka tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM.

Sekiranya skop penghargaan itu diluaskan dengan mengiktiraf kejayaan ko-kurikulum adalah setaraf dengan kejayaan akademik maka lebih ramai pelajar yang akan rasa mereka dihargai. Dengan cara itu tidak akan timbul lagu rasa tersisih pelajar yang lemah akademik yang menyebabkan kita menidakkan penghargaan mereka yang berjaya dalam bidang akademik.

Jika mereka dididik dengan hidup tanpa penghargaan terhadap kejayaan yang mereka perolehi semata-mata untuk menjaga hati pelajar yang sederhana maka kita bimbang mereka akan menjadi generasi yang tidak menghargai kejayaan.

Sekiranya kita tidak mendidik mereka dengan kekuatan dan perasaan ingin maju dalam hidup, mereka mungkin akan bersikap cukup makan, sedangkan mereka adalah generasi yang akan berdepan dengan cabaran yang jauh lebih dahsyat daripada zaman kita pada hari ini.

Penulis adalah Editor Harakah, Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Melaka