Home Melaka

Coretan : Antara korban di rumah atau di masjid

120
SHARE

Oleh CIKGU ABDUL SAMAD MOHD DAHAN

TANGGAL 29 Jun 2022… Aku diminta ke Hospital Serdang bagi urusan ujian angiogram bagi mengenal pasti tahap keupayaan jantung kurniaan Allah ini.

Saat menunggu untuk ke bilik ujian mengambil masa yang agak panjang. Namun begitu ruang masa menunggu boleh dimanfaatkan dengan mentelaah, membaca al Quran dan berzikir.

Suasana wad sungguh tenang. Jururawat bertugas sangat membantu. Aku ditempatkan di katil nombor 3.

Gambar hiasan (Kredit foto: Google)

Jam menunjukkan jam 11.00 pagi. Nama dipanggil untuk disorong masuk ke bilik pemeriksaan.

Alhamdulillah proses pemeriksaan berjalan lancar walaupun keputusan yang diterima amat berat.

Diberitakan jantung aku ada masalah dan tersumbat pada tiga saluran utama dan perlu dirujukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut secara BYPASS.

Sekitar jam 12.45 tengahari aku disorong kembali ke wad. Di sana ada ramai sedang menunggu untuk ke bilik pemeriksaan.

Makan tengahari dihidangkan. Nampak enak nasi putih dengan paprik ayam, taugeh goreng segar dan buah rock melon.

Di saat menikmati juadah, tumpang mendengar dan mencelah perbualan rakan-rakan baharu yang tak pernah aku temui sebelum ini.

Mereka sangat ramah dan mesra bersembang. Berbagai-bagai topik dibicarakan.

Gambar hiasan (Kredit foto: Google)

Dari kisah bagaimana mereka berhadapan saat getir menghadapi serangan jantung, kisah kehidupan seharian, kisah politik semasa dan negara termasuklah kisah program korban yang bakal menjelang sedikit masa lagi.

Sahabat di hadapan ku berasal dari Kemaman, Terengganu, tapi menetap di bandar raya sekian lama mencari nafkah untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bicaranya menyatakan rasa kecewa kerana program korban yang dilaksanakan di kampung tidaklah semeriah korban yang dilaksanakan di bandar.

Satu persoalan timbul di benak fikiranku mengapa terjadi begitu kerana aku dapat merasakan suasana berbeza pula dalam kehidupan ku di kampung.

Rupanya rasa kecewa kerana di kampung ramai yang ambil pendekatan laksanakan korban bersama keluarga sendiri, tidak secara berkelompok.

Gambar hiasan (Kredit foto: Google)

Manakala di bandar suasana meriah kerana dengan korban kelompok begitu banyak haiwan dikorbankan. Sangat meriah dan memerlukan petugas yang ramai, maka penganjur membuka ruang warga asing turut serta.

Topik korban sendiri di rumah, berbanding korban kelompok menggamit fikiranku. Satu fenomena korban hari ini berbanding zaman aku kecil dahulu…

Dahulu setiap kali program korban kami beramai-ramai keluar menyaksikan haiwan tersebut disembelih, suasana lembu ditumbangkan, bagaimana sembelihan dilakukan, darah mengalir, proses melapah dan proses membungkus dan mengagihkan daging dilakukan oleh mereka yang melaksanakan korban tersebut.

Namun suasana meriah yang dikatakan korban di bandar tidak dirasakan oleh mereka yang berkorban. Bagi mereka yang ada lebih wang di poket, cari penganjur hulurkan wang dan terus berlalu dan beranggapan urusan mereka telah selesai. Sedangkan erti korban sangat besar dan bermakna.

Ketika Nabi Ismail direbahkan untuk disembelih dia terima dengan reda sekali kerana ia itu perintah Allah. Namun haiwan yang hendak disembelih, sangat sukar untuk ditumbangkan. Perlukan kekuatan dan kepakaran.

Di sini menginsafkan kita seharusnya merasakan keperihan melaksanakan ibadah korban, sepak terajang haiwan, percikan darah dan nilai daging yang diagihkan untuk fakir miskin.

Inilah kemeriahan korban di kampung bagi mereka yang terutama dapat menyembelih sendiri haiwan yang mereka korbankan dan akhirnya menyampaikan kepada mereka yang dipanggil miskin.

Teringat kisah Rasulullah SAW korbankan 63 ekor haiwan dan melakukan sembelihan 37 ekor daripadanya dengan tangan baginda yang mulia. Inilah kemeriahan sebenarnya yang sepatutnya kita alami bersama.

Jangan satu masa nanti generasi akan datang tak dapat merasakan lagi erti kemeriahan ini.

Inilah fenomena kehidupan biar masa yang berubah jangan kita merubah masa kerana syiar Islam perlu terus kekal subur dalam kehidupan kita sebagai insan yang beriman dan dambakan TAKWA…

Penulis adalah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka