Home Melaka

Rencana | Scammer: Jenayah terancang dan terlindung?

182
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AKHIR-AKHIR ini kejadian pengeluaran wang secara dalam talian tanpa pengetahuan pemilik akaun semakin menjadi-jadi seperti yang kita boleh lihat di media-media massa dan media-media sosial.

Jumlahnya juga bukan sedikit, sehingga mencecah puluhan ribu Ringgit. Jumlah itu sudah tentu besar bagi mereka yang mengumpul wang gaji bulanan mereka yang dijadikan simpanan.

Dan seperti yang kita dengar aduan daripada mangsa-mangsa ini bahawa dalam sesetengah kes, pihak bank menganggap transaksi itu sebagai sah dan pihak bank enggan menggantikan semula wang tersebut.

 

Namun apa yang pelik bagaimana penggunaan kad debit dalam kes-kes tersebut, sudahlah tidak melalui pengesahan yang sepatutnya untuk satu jumlah yang besar, ia juga melebihi had yang dibenarkan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Sedangkan jika kita sendiri ingin mengubah had pengeluaran memerlukan kita untuk ke bank membuat permohonan untuk perkara ini.

Sebelum ini penulis selalu membaca laporan media tentang kisah scammer yang menipu orang ramai sehingga mereka mengeluarkan wang dengan cara yang sama setiap kali mereka menipu.

Dan penulis sebelum ini selalu melahirkan rasa pelik bagaimana ‘bodohnya’ mangsa-mangsa ini boleh terkena dengan cara yang sama sedangkan modus operandi mereka sama sahaja dan sudah pun didedahkan media.

Ia terus bermain di fikiran penulis dan semakin lama semakin ‘membengkak’ dan seperti mahu ‘meletup’. Mengapa di zaman maklumat di hujung jari hari ini masih ramai yang boleh tertipu dengan cara yang sama?

 

Daripada maklumat-maklumat yang penulis analisa maka penulis dapat membuat hipotesis bahawa ada sesuatu yang melampaui kemampuan asas orang ramai untuk mempertahankan diri mereka berdasarkan pengetahuan mereka terhadap penipuan yang didedahkan di media-media massa.

Sebagai contoh, kita mendengar ada scammer melakukan pemindahan wang dari akaun seseorang. Lalu sebagai orang awam sudah pasti terfikir bahawa sistem keselamatan sedia ada seperti nombor TAC akan melindungi mereka dan pemindahan itu tidak akan boleh berlaku.

Namun, daripada aduan-aduan yang berlaku menunjukkan bahawa sistem kekebalan dan perlindungan itu tidak berfungsi dengan baik seperti yang sepatutnya.

 

 

Nombor TAC yang boleh sampai ke telefon bimbit scammer tanpa pengetahuan pemilik dan juga pengeluaran yang sudahlah dilakukan secara penipuan, boleh pula dikeluarkan melebihi had, menunjukkan seolah-olah ada satu kuasa yang memberi ‘authorization’ kepada operasi ini.

Oleh kerana kepercayaan pengguna kepada protokol dan prosedur yang sedia ada membuatkan mereka rasa mereka tidak akan tertipu apabila dihubungi scammer seperti yang dilaporkan media-media massa. Namun pengguna-pengguna ini akhirnya terkejut apabila perkara-perkara yang dirasakan mereka tidak mungkin berlaku ini berlaku juga akhirnya.

Selain itu, apabila seseorang scammer melakukan suatu pemindahan wang maka proses yang terakhir, wang tersebut akan masuk ke suatu akaun fizikal yang benar-benar wujud dimiliki oleh seseorang individu yang benar-benar wujud atau pun yang dipanggil keldai akaun.

Apabila sesuatu akaun yang digunakan oleh scammer itu dilaporkan kepada polis, sepatutnya dengan mudah pihak polis menghubungi bank untuk mencari pemiliknya. Pasti akaun itu akan digantung.

Sedangkan di luar sana berlaku beribu-ribu kes penipuan seperti ini, berapa ribu keldai akaunkah yang scammer ini perlukan? Tidakkah penangkapan keldai akaun akan membawa pihak polis kepada scammer tersebut?

Daripada tinjauan penulis terhadap isu ini, dikatakan terdapat kemungkinan bahawa akaun-akaun yang digunakan adalah akaun doman iaitu akaun yang sudah tidak aktif atau pemiliknya sudah meninggal dunia.

Untuk mendapatkan maklumat-maklumat ini, sudah pastilah memerlukan kerjasama ‘orang dalam’. Begitu juga untuk memintas prosedur-prosedur dan protokol ketat pemindahan wang.

Kita juga bimbang jika wujud kemungkinan sindiket-sindiket ini dilindungi oleh pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang yang tidak jujur sehingga pergerakan mereka licin dan merentasi prosedur dan protokol keselamatan.

Malah sebelum ini juga terdapat siasatan berkaitan tentang ada pegawai-pegawai penguatkuasa yang melindungi sindiket-sindiket scammer ini.

Sekiranya benar terdapat penglibatan ‘orang dalam’ di institusi-institusi kewangan dan juga pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang yang melindungi sindiket ini maka ia sesuatu yang amat merisaukan dan harus ditangani segera.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Isnin bertarikh 12-15 September 2022

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH