Home Berita PAS Melaka

Rencana : Rupanya Pemimpin PH Masih Dibuai Nostalgia PRU14

2023
SHARE

Oleh : IBNU JANIE

Jumaat lepas, sehari sebelum Tan Sri Muhyidin Yasin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke lapan, penulis bertemu dengan seorang rakan yang pada masa itu menjawat jawatan politik penting dalam kerajaan PH Melaka. Kami bertemu secara tidak sengaja di sebuah kedai makan berhampiran masjid selepas solat Jumaat.

Rakan penulis ini bekas Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka semasa Adly Zahari masih Pesuruhjaya PAS Melaka. Selepas berlaku perpecahan dalam PAS beliau kemudiannya menyertai PAN Melaka.

Dalam perbualan kami itu beliau berkata bahawa PAS telah melakukan tindakan yang salah kerana mengadakan pakatan dengan UMNO. Jadi, oleh kerana rakyat marah UMNO, maka PAS juga akan terpalit dan turut ditolak rakyat. Ini bermakna rakyat tidak ada pilihan melainkan menyokong PH.

Penulis hanya tersenyum meraikan saja apa yang beliau katakan. Memang penulis memilih untuk tidak berdebat dalam situasi begitu. Sudah bertahun-tahun kami tidak berjumpa. Penulis tidak mahu menjadikan pertemuan dua rakan lama ini sebagai sesuatu yang tegang. Itu prinsip penulis.

Dari apa yang diperkatakan oleh rakan penulis itu, penulis dapat membuat kesimpulan bahawa kebanyakan pemimpin PH sebenarnya masih lagi dibuai nostalgia PRU14. Ramai pemimpin PH masih berfikir bahawa persepsi rakyat kepada PH masih sama seperti saat-saat mereka baru memenangi PRU14 dulu.

Penulis tidak pasti jika rakan penulis itu langsung tidak mengambil tahu perkembangan semasa. Takkan beliau tidak tahu bahawa daripada 10 pilihanraya kecil (PRK) yang telah diadakan selepas PRU14 itu BN telah menyertai enam darinya? Takkan beliau tidak tahu yang BN telah memenangi lima dari enam PRK itu dengan merampas dua kerusi yang sebelum itu dimenangi oleh PH dalam PRU14 iaitu Dun Semenyih dan parlimen Tanjung Piai?

Takkan beliau tidak tahu bahawa PH pula tidak dapat merampas walau satu pun kerusi BN. Yang paling memalukan PH ialah apabila BN merampas kerusi parlimen Tanjung Piai yang dimenangi PH pada PRU14. BN merampas kerusi itu dari PH dengan majoriti 15086 berbanding kemenangan PH dengan majoriti 524 pada PRU14 sehingga ia dikatakan kekalahan terbesar parti kerajaan dalam PRK semenjak negara kita merdeka.

Memang benar sebaik selesai PRU14 sentimen membenci UMNO-BN cukup kuat pada masa itu. Sebenarnya ketika PRU14 itu jika PAS bergabung dengan UMNO sudah pasti boleh membentuk kerajaan di Perak dan Kedah. Namun kerana sentimen membenci UMNO yang cukup kuat pada masa itu ia tidak dapat dilaksanakan. Pada masa itu jika PAS membantu UMNO membentuk kerajaan ia akan menjadi satu bahan kutukan yang maha dahsyat dari orang ramai. Itu dulu.

Namun situasi sedikit demi sedikit berubah apabila PH sudah mula nampak cuba untuk memungkiri menifesto mereka sendiri. Rakyat menolak PH secara berperingkat-peringkat. Orang sudah mula beralih kepada BN dan PAS.

Memang benar jika kita melihat pada kemelut politik pada hari ini bilangan ahli parlimen antara PH dan Perikatan Nasional seolah-olah dalam kedudukan 50-50. Masing-masing mengaku mempunyai lebihan beberapa kerusi sahaja untuk menjadi kerajaan. Tapi adakah sokongan masyarakat di bawah sana juga 50-50 antara PH dan Perikatan Nasional? Tidak.

Perubahan sokongan yang ketara dalam beberapa PRK yang lepas membuktikan bahawa penyokong PH jauh merosot berbanding sokongan yang mereka terima pada PRU14. Selain itu jika kita melihat kepada maklumbalas di media-media sosial seperti undian facebook kita boleh lihat pemimpin-pemimpin PH kerap tewas kepada pemimpin PAS dan UMNO sekali pun undian itu dibuat di facebook milik PH. Itu adalah gambaran sokongan politik akar umbi. Cubalah toleh ke belakang wahai pemimpin PH dan lihat. Masih ada lagikah penyokong anda di belakang anda?

Selain dari pemimpin PH percaya yang mereka masih disayangi rakyat, mereka juga sangat percaya bahawa perubahan kerajaan pusat yang asalnya berpunca dari perebutan kuasa dalam PH ini sendiri juga kononnya satu pengkhianatan yang akan menimbulkan kemarahan rakyat. Mereka sangat percaya bahawa rakyat akan marah kepada Perikatan Nasional kerana mengambil kerajaan dari PH. Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam ucapannya dalam satu rapat umum di Seri Negeri Isnin malam lepas berkata rakyat akan menghumban pihak yang meruntuhkan kerajaan PH. Benarkah begitu?

Jika itu yang pemimpin PH fikirkan, bermakna mereka tersilap sekali lagi. Rakyat tidak marah. Malah rakyat bersyukur kerana telah berjaya mengambil alih kerajaan yang dahulunya didominasi oleh bangsa DAP. Kali ini kita ada kerajaan pusat tanpa DAP. Orang-orang Islam menyambut kelahiran kerajaan terbaru ini dengan penuh kesyukuran dan akan mempertahankannya dengan sepenuh jiwa dan raga mereka.

Jika PH cuba membuat huru-hara maka ia akan menambahkan lagi kebencian rakyat kepada PH. Jangan lagi bernostalgia kononnya rakyat bersimpati dengan perjuangan mereka seperti zaman reformasi 1997 dan PRU14 yang menyaksikan PH berjaya menjatuhkan BN. Penulis percaya sekiranya PH cuba juga untuk turun ke jalan raya suasananya pasti tidak sama seperti dulu. Tidak ramai yang akan turun.

PH sepatutnya lebih bertimbangrasa dengan menerima apa yang telah diputuskan oleh Yang Dipertuan Agong. Negara kita di dalam situasi genting menghadapi wabak koronavirus ditambah dengan kesan ekonomi yang disebabkan oleh wabak ini memerlukan penumpuan khusus dari kerajaan. Janganlah asyik nak berpolitik 24 jam sehingga menyusahkan rakyat.

Sekiranya PH tetap meneruskan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan yang baru ditubuhkan Tan Sri Muhyidin Yasin di parlimen kemungkinan besar ia akan membawa kepada pembubaran parlimen untuk mengakhiri kebuntuan politik Malaysia. Dan sekiranya parlimen terpaksa dibubarkan sehingga menyusahkan rakyat maka penulis percaya bukan sahaja PH akan terkubur, malah kubur PH juga pasti tidak bernisan.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

(Rencana ini juga disiarkan dalam Harakah Cetak edisi 6-8 Mac 2020)