Home Berita PAS Johor

Rencana | PKP : Pendidikan tahfiz menerusi dunia maya cabaran baharu buat guru tahfiz

323
SHARE

Oleh : MOHD IHSAN MD HALID

Banyak perkara berubah akibat COVID-19.

Jika dahulu peranti telekomunikasi seperti telefon pintar dan gajet platform aplikasi dalam talian dilarang dibawa ke madrasah, namun kini sebaliknya apabila dunia pendidikan berada dalam alam maya dan dilakukan di rumah.

Krisis global akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja menyebabkan pembelajaran dan pengajaran secara konvensional tertangguh, bahkan menjadikan tugasan guru tahfiz semakin mencabar apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan proses Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) dilaksanakan secara dalam talian.

Pendidikan tahfiz juga tidak terkecuali dari melaksanakan PdPR apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh YAB Perdana Menteri.

Dalam alaf baharu yang mengutamakan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat, tiada pilihan selain memanfaatkan teknologi dan aplikasi pendidikan dalam talian. Konteks pendidikan masa kini memerlukan guru tahfiz menguasai dan mempunyai literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Bertema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’, sambutan Hari Guru tahun ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pendidikan Tahfiz itu sendiri.

Dalam tempoh PKP ini, guru-guru tahfiz juga tidak duduk diam dan terus mencurah ilmu menerusi PdPR dalam talian.

Persatuan Institusi Tahfiz Al-quran Johor (PINTA Johor) berpendapat warga madrasah, khususnya guru tahfiz, kini perlu melengkapkan diri dengan penguasaan dalam teknologi digital dan menguasai ilmu berkaitan ‘e-learning’, untuk menyampaikan ilmu Al-Quran kepada pelajar.

Semua guru perlu meningkatkan ilmu, kompetensi, keupayaan, kemahiran, perubahan sikap dan kesiapsiagaan dalam menerima normal baharu dalam pendidikan terutama pembelajaran dalam talian. Kesiapsiagaan ini akan dapat dilihat perubahan dari aspek pengajaran, pentaksiran dan penyampaian ilmu yang mencabar tugas keguruan.

Guru tahfiz perlu mempunyai anjakan paradigma untuk menerima senario baharu pendidikan global dan menyiapkan generasi pelajar yang lebih celik teknologi maklumat. Ini penting dalam menyiapkan mereka (pelajar) bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan bersedia menjadi generasi digital berlandaskan syariah.

 

CABARAN GURU TAHFIZ

PINTA Johor mengakui wujudnya kekangan dalam pendidikan tahfiz dalam talian seperti masalah capaian Internet, ketiadaan peranti digital pintar serta sikap murid dan pelajar itu sendiri, PINTA Johor menegaskan agar guru tahfiz sebaliknya perlu memikirkan cara untuk memastikan penyampaian ilmu itu tetap diteruskan.

Pelajar yang menghadapi masalah belajar secara dalam talian perlu diberi perhatian dari semua pihak seperti ibubapa dan keluarga, bukannya diserahkan sepenuhnya tanggungjawab pendidikan tahfiz itu kepada guru tahfiz semata-mata.

Etika kelas PdPR, disiplin dalam kelas PdPR, pantauan dari ibubapa, jadual tahfiz di rumah semuanya perlu dititikberatkan oleh ibubapa dan guru tahfiz bagi melahirkan huffaz yang dicita-citakan.

PINTA Johor sedia maklum, suasana pengajaran dan pembelajaran jelas berbeza dalam tempoh PKP berbanding sebelumnya memandangkan hampir semua kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dijalankan secara dalam talian seperti Google Classroom, Google Meet, Youtube, Zoom Cloud Meeting, Video call WhatsApp dan pelbagai kuiz.

 

‘USTAZ LAMA’

PINTA Johor juga mengakui tidak semua guru tahfiz celik teknologi maklumat yang dapat membiasakan diri dengan norma dan normal baharu itu, terutamanya golongan guru tahfiz yang dikategorikan sebagai ‘ustaz lama’.

Ramai juga guru veteran yang agak sukar menguasai teknologi maklumat atau telefon pintar tetapi kebanyakan mereka berusaha memberikan yang terbaik. Memang ia mengambil masa tetapi alah tegar perkara biasa. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, serta perlu yakin boleh walaupun sedikit lambat.

Walaupun guru tahfiz telah menyediakan ruang, platform dan masa yang sesuai, masih terdapat murid dan pelajar yang tidak menyiapkan kerja rumah, tidak bersedia dengan hafazan baru, ulangan hafazan lama dan tidak menghadiri kelas di dunia maya, sehinggakan guru perlu menunggu kehadiran anak murid selama beberapa jam. Dan menghabiskan masa guru dengan begitu sahaja.

 

PERANAN IBU AYAH

PINTA Johor mengakui Pendidikan Tahfiz menerusi dunia maya ini berhadapan cabaran yang sangat besar apabila guru tahfiz perlu buat group WhatsApp Kelas masing-masing, masukkan nombor ibubapa dan pelajar dalam group. Hubungi dan cari pelajar satu persatu.

Buat laporan kehadiran dalam kelas online setiap hari. Buat laporan bacaan pelajar setiap kelas. Bahkan menjawab soalan dari ibubapa berkenaan perkembangan anak-anak sepanjang PdPR dan ada juga bertanya kenapa anak mereka tidak masuk kelas kepada guru kelas. Ini menambahkan lagi beban guru tahfiz sepanjang pelaksanaan PdPR dijalankan.

Hakikatnya hubungan pengurusan madrasah, guru tahfiz dan ibubapa membentuk perwatakan dan kejayaan seseorang pelajar tahfiz itu sendiri.

Buat guru tahfiz semua, meskipun tiada sorak-sorai dan kegirangan anak murid dan pelajar meraikan beramai-ramai Hari Guru di madrasah pada tahun ini, penghayatan bagi menghargai pengorbanan guru tahfiz dalam mendidik, membimbing serta membentuk jati diri anak tahfiz pastinya sentiasa tersemat di hati setiap orang.

Jasa insan bergelar pendidik ini amat besar dan setiap orang menginsafi hakikat bahawa kehadiran guru tahfiz dalam kehidupan anak tahfiz banyak membentuk keperibadian dan keterampilan seseorang untuk menjadi manusia berguna di masa akan datang. Terima kasih ustaz dan ustazah sekalian.

Penulis merupakan Pembantu Setiausaha Persatuan Institusi Tahfiz Al-quran Johor (PINTA Johor) dan Timbalan Mudir Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid (MTQSIR)