Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Jangan Undang Laknat ALLAH

65
SHARE

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia amat terkejut apabila membaca pautan dari page SUHAKAM berkenaan pencarian penyelidik untuk mengkaji bagaimana untuk membolehkan jantina ketiga (third gender) diiktiraf secara undang-undang.

2. Tindakan SUHAKAM ini sememangnya mengundang ketidakpuasan hati bukan sahaja kepada mereka yang beragama Islam malahan mereka yang bukan beragama Islam juga turut merasa tidak senang dengan keadaan ini.

3. SUHAKAM seperti pada namanya iaitu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia merupakan badan yang bertindak memperjuangkan hak-hak kemanusiaan yang melibatkan golongan majoriti dan minoriti. Mereka bertindak di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 di mana pertubuhan ini ditubuhkan pada 3 April 2020.

4. Namun begitu, SUHAKAM tidak seharusnya tunduk pada gesaan mana-mana pihak yang ingin melanggar norma hidup rakyat Malaysia. Ada masanya SUHAKAM seakan lupa, walaupun ketika mereka memperjuangkan hak minority, haruslah hak yang dituntut itu berasas dan tidak melanggar batas-batas agama dan adat ketimuran.

5. Normalisasi jantina ketiga ini bukan sahaja menjejaskan nilai kekeluargaan yang amat ditekankan dalam masyarakat kita malahan mengganggu kehidupan masyarakat majoriti lainnya. Kajian dari barat yang telah menerima jantina ketiga ini mengatakan kanak-kanak yang dibesarkan oleh keluarga ayah dan ibu dari satu jantina juga bakal mewarisi sifat ayah dan ibu angkat mereka iaitu juga bakal menjadi gay atau lesbian. Justeru itu, sistem kekeluargaan normal bakal mengalami keruntuhan apabila kitaran mereka berterusan.

6. Seharusnya kajian SUHAKAM ialah bagaimana untuk membantu mereka kembali kepada fitrah manusia. Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan aanita yang menyerupai lelaki. (HR Bukhari )

7. Pengiktirafan jantina ketiga sesungguhnya telah melanggar hak majoriti rakyat Malaysia untuk hidup normal dan aman. Ketakutan hidup di tengah rakyat yang mengalami keraguan jantina bakal menjadikan kita keraguan untuk terjun ke medan perkahwinan yang bakal melahirkan bangsa Malaysia. Sudah tentu kita ragu apabila memandang lelaki dan tertanya benarkah lelaki atau memandang wanita dengan persoalan sama benarkah ini wanita sejati? Cukuplah aduan tentang suami gay yang telah menyebabkan kesedihan pada isteri mereka dan seterusnya keluarga yang sedang dibina. Begitu juga berita kes perkahwinan lelaki dengan lesbian yang berakhir dengan kekecewaan si suami.

‘IslamMemperkukuhPerpaduan’
‘IslamMemimpinWanitaSejahtera’

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
16 Jun 2021 | 5 Zulkaedah 1442H