Home Melaka

Rencana | PH ‘seksa’ dalam PRU15 tangkis imej ‘hancing’

335
SHARE

Oleh IBNU JANIE

KEGAGALAN Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan manifesto mereka selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kini benar-benar menghantui mereka untuk berdepan PRU-15 pula.

‘Kencing’ dan ‘hancing’ yang sering digunakan untuk menggambarkan penipuan dan kegagalan dalam menunaikan janji telah menjadi sinonim dengan PH semenjak mereka baru membentuk kerajaan selepas PRU-14 lagi.

Pada ketika ini, mana-mana ruangan komen di media sosial milik mereka atau berita-berita tentang kenyataan pemimpin mereka di laman-laman media massa pasti kita boleh melihat kata-kata sindiran adakah mereka mampu melaksanakan apa yang mereka katakan itu jika menang PRU15 pula?

PH pula telah membuat banyak kesilapan dalam menjawab persoalan rakyat tentang mengapa mereka gagal melaksanakan manifesto mereka semasa mereka masih lagi kerajaan dengan memberikan jawapan-jawapan yang menambah kemarahan rakyat.

 

Antara jawapan yang paling popular ialah ‘kerajaan tidak ada duit kerana BN sudah curi duit kerajaan’; ‘manifesto bukan kitab suci’; dan mereka tulis manifesto dalam keadaan mereka tidak jangka mereka boleh menang.

Semua jawapan ini sedikit pun tidak dapat merasionalkan kegagalan mereka dalam menunaikan manifesto pada ketika itu. Sebenarnya cara yang terbaik ialah PH perlu meminta maaf dan berjanji akan berusaha untuk melaksanakannya.

Namun apabila rakyat pula yang dibentak apabila mereka bertanya tentang perkara ini, maka ia memberi gambaran bahawa PH berada di pihak yang salah dan tidak mengikut aspirasi rakyat.

Alasan bahawa ‘kerajaan tidak ada duit kerana BN sudah curi duit kerajaan’ adalah satu ‘cek kosong’ yang menjadi modal besar PH pada ketika itu untuk tidak melaksanakan janji-janji mereka.

Apabila mereka mengatakan bahawa manifesto bukan kitab suci itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati janji yang mereka buat sendiri untuk rakyat.

Jangan main-main! Rakyat mengundi kerana melihat bagaimana mereka akan memberi khidmat kepada rakyat berdasarkan manifesto. Jangan buat manifesto seperti dokumen sampah!

 

Kemenangan pilihan raya menjadikan sesebuah parti itu berkuasa, sebahagian Ahli-ahli Parlimennya akan menjadi menteri dan partinya menjadi parti kerajaan yang akan menguruskan wang pembayar-pembayar cukai.

Sudahlah orang-orang politik sering dikaitkan dengan janji-janji manis yang palsu, sekarang PH pula cuba membenarkan persepsi ini dengan menuruntarafkan manifesto sebagai suatu janji yang tidak bermakna dan tidak wajib ditunaikan.

Alasan mereka bahawa mereka menulis manifesto dalam keadaan mereka tidak jangka mereka boleh menang pula membuktikan bahawa mereka sengaja menipu rakyat dengan janji-janji semata-mata untuk mendapat undi.

Kita perlu bersyukur kerana akhirnya PH menang pada PRU-14 lepas. Dengan itu ia telah membuktikan bahawa PH hanya sembang kosong sahaja! Ia membuktikan bahawa mereka tidak membuat penyelidikan yang berpatutan dalam membentuk manifesto mereka.

Sedangkan pada ketika itu mereka mempunyai ramai bekas-bekas penjawat kerajaan dalam kalangan mereka yang ada akses kepada maklumat yang mereka perlukan dalam membentuk manifesto.

Ini juga membuktikan bahawa sebaik-baik perkara adalah yang sederhana. Sekiranya sesuatu itu dilihat terlalu bagus, ia mungkin satu penipuan.

 

Bayangkan jika dengan janji-janji besar mereka kemudian mereka kalah, maka sampai kiamatlah mereka akan mendabik dada bahawa mereka boleh menjadi kerajaan yang lebih baik sekiranya mereka berkuasa, namun mereka tidak diberi peluang.

Mereka juga akan menyalahkan rakyat yang menolak mereka yang sepatutnya menjadi kerajaan yang menyenangkan rakyat berdasarkan janji-janji besar mereka dalam manifesto.

PRU-15 bakal menjelma tidak lama lagi. Dan sekarang PH terpaksa berhadapan dengan dokumen keramat yang dipanggil ‘manifesto’ itu sekali lagi. Ini yang menjadi trauma kepada PH.

Bagaimana mereka mahu menyenaraikan janji-janji manis mereka sekali lagi untuk meyakinkan pengundi untuk mengundi agar mengundi mereka? Adakah rakyat sudah lupa dengan sikap mereka yang ‘mencapatikan’ janji-janji mereka dahulu?

Setiap kali mereka mahu bercakap tentang janji pada kempen PRU-15 ini pasti mereka terkenangkan janji-janji ‘hancing’ mereka pada PRU-14 dahulu. Mereka akan terfikir apa yang rakyat akan berkata dalam hati semasa mendengar mereka berjanji.

Ini yang memeningkan kepala pemimpin dan aktivis-aktivis PH pada masa ini. Tetapi jika mereka jenis ‘muka tebal’ dan tidak tahu malu, tak tahulah pula…

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi bertarikh 23-25 September 2022

 

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH