Home Berita PAS Sabah

PASTI Beaufort komited perkasa profesionalisme guru

42
SHARE

Oleh : Ahmad bin Li

BEAUFORT : Menguruskan kanak-kanak bukan perkara yang mudah, lebih-lebih lagi untuk mendidik mereka pada usia 4 hingga enam tahun.

Sebagai satu komitmen yang konsisten dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) ini, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Beaufort telah menganjurkan Program Bersama Pakar PAKK baru-baru ini yang bertempat di Dewan SRITI Al-Ayubi Beaufort.

Program tersebut telah disertai oleh seramai 21 orang guru PASTI dari Membakut, Beaufort dan Sipitang.

Pengerusi PASTI Kawasan Beaufort, Rasidi Mohammed menyatakan bahawa Program Bersama Pakar PAKK ini merupakan salah satu inisiatif dalam beberapa program bagi meningkatkan profesionalisme guru PASTI.

“Program ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran guru-guru terhadap konsep asas pendidikan awal kanak-kanak agar dapat memberikan khidmat yang terbaik dalam menguruskan murid,

“Guru-guru yang berkhidmat di PASTI secara amnya adalah dari kalangan guru yang berpengalaman, mempunyai kelulusan ikhtisas dalam pendidikan dan PAKK,

“Mereka juga mengikuti program latihan perguruan yang diselaraskan oleh Institut Latihan PASTI Malaysia serta kursus-kursus yang dilaksanakan secara berkala,” jelasnya.

Pengisian dalam program tersebut telah disampaikan oleh Dr. Juppri Bacotang, Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah dengan tajuk “Kurikulum Pendidikan Awal: Ke Arah Pendidikan Holistik”.

Selain mendengar dan meneliti pembentangan, peserta juga berpeluang untuk bersoal jawab dengan penceramah tentang hal ehwal khusus berkaitan PAKK, seperti pendekatan yang sesuai dengan tahap pengetahuan murid yang berbeza serta kaedah pengajaran yang berkesan melalui kecerdasan pelbagai murid.

Menurut Rasidi, institusi pendidikan yang bernaung di bawah Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS ini terus diterima baik oleh masyarakat di Sabah dengan peningkatan jumlah pelajar dan penambahan premis baharu yang beroperasi pada setiap tahun.