Home Melaka

Rencana : Perlu sistem data raya harga kawal inflasi

84
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SEBAGAI pengguna, penulis melihat sepanjang krisis kenaikan harga berlaku, tiada tindakan agresif dan tuntas yang dilakukan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Ada, tetapi terlalu perlahan.

Penulis melihat perkara ini bermula sekitar tahun 2021 dengan kenaikan harga bahan binaan, alat ganti kenderaan dan isu kenaikan harga dedak ayam yang kemudiannya menyebabkan berlaku krisis harga ayam tahun ini.

Pada masa itu ramai yang telah mula bercakap-cakap, namun tidak nampak apa-apa tindakan tegas daripada KPDNHEP. Tidak dengar apa-apa kenyataan amaran daripada KPDNHEP kepada peniaga atau sekurang-kurangnya pihak kementerian menyatakan bahawa mereka akan ‘memandang serius’ masalah ini.

Bahan binaan – gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Selain itu kita tidak dapat nafikan bahawa cerapan harga secara manual yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sangat mengambil masa.

Kerana itu penulis mencadangkan agar kerajaan membina satu sistem data raya di mana sistem ini memerlukan semua pihak untuk memaklumkan kepada kerajaan harga barang jualan mereka. Ia boleh diambil secara dalam talian daripada ‘point of sales’ (POS system) pengeluar dan peruncit.

Harga yang perlu dicerap adalah harga runcit setiap barangan. Ia meliputi harga harga runcit yang ditetapkan atau dicadangkan oleh pihak pengilang atau pengeluar dan harga sebenar yang dijual oleh semua peruncit.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 18 Julai 2022

Kerajaan boleh memantau sekiranya berlaku perubahan harga yang ketara secara tiba-tiba kerana mereka akan tahu secara ‘real time’.

Setiap barangan itu akan diberi kod oleh pengeluar. Ini bermakna bukan sahaja pihak KPDNHEP boleh mengetahui rekod mereka, pengguna juga boleh mengetahui harga cadangan pengeluar dan harga jualan peruncit hanya dengan masuk ke dalam sistem ini.

Dengan menggunakan sistem data raya ini maka data yang diperolehi itu adalah tepat daripada populasi, bukan sekadar sampel.

Selepas mewujudkan sistem ini kerajaan perlu menggubal undang-undang untuk meningkatkan lagi jumlah barangan dan perkhidmatan yang berada dalam kawalan. Kategorikan barang dan perkhidmatan kawalan ini kepada tiga tahap. Tahap satu barangan keperluan asas; tahap dua barangan keperluan bukan asas dan tahap ketiga ialah barangan mewah dan premium.

Makanan proses – gambar hiasan (Kredit foto: Google)

Item tahap satu ialah yang paling ketat dikawal iaitu untuk produk seperti makanan, pengangkutan, pakaian, barangan keperluan rumah, perabot dan lain-lain yang asas diperlukan pengguna.

Produk kawalan tahap kedua ialah selain daripada tahap satu dan barang mewah dan premium. Bermakna tahap dua adalah barang dan perkhidmatan yang tidak termasuk dalam tahap satu tetapi bukan dalam kategori barang mewah. Untuk kategori ini ada kawalan, tetapi tidak ketat. Sementara untuk kategori barangan mewah tidak dikawal.

Mengapa perlu kepada tiga tahap? Ini adalah kerana kawalan yang sangat ketat kepada harga secara keseluruhan boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi. Kerana itu kawalannya perlu dilonggarkan untuk tahap dua dan tidak dikawal untuk barangan mewah.

Sebenarnya selama ini hanya sebahagian yang sangat kecil daripada harga barang yang dikawal oleh kerajaan. Kerana itu sesetengah kenaikan harga kerajaan tidak ada kuasa untuk menghalang.

Jika mengikut cadangan ini maka jumlah barangan yang dikawal harganya akan lebih banyak. Penulis mensasarkan 30 peratus barangan di pasaran akan berada di tahap satu, 50 peratus tahap dua dan 20 peratus pada tahap tiga.

Memang negara kita mengamalkan sistem ekonomi campuran iaitu antara ekonomi pasaran dan ekonomi terancang. Jika dalam ekonomi pasaran, kerajaan akan melepaskan sepenuhnya pada peniaga. Namun dalam ekonomi terancang kerajaan mengawal segala-galanya seperti sistem komunis.

Ekonomi campuran pula berada di tengah-tengah antara ekonomi pasaran dan ekonomi terancang. Kerajaan akan membebaskan peniaga untuk menetapkan harga namun kerajaan boleh masuk campur sekiranya ada perkara yang boleh merosakkan ekonomi dan menjejaskan rakyat.

Memang kawalan sangat ketat tidak baik kepada ekonomi tetapi kita telah melihat bagaimana pada hari ini apabila berlaku krisis harga, banyak item-item yang tidak terlibat dengan peningkatan kos, namun terdapat peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga.

Dengan adanya kawalan yang lebih ketat dan sistem data raya ini maka kerajaan boleh mengesan lebih awal inflasi dan dapat mengambil langkah-langkah mengatasinya dengan cepat.

Penulis adalah Editor Harakah, Ketua Editor Pusat dan Ketua Editor Negeri Melaka bagi Portal Berita PAS.

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH