Home Berita PAS Perak

Pemuda PAS, Ameerah Teluk Intan belanja belia tonton Mat Kilau

236
SHARE

Oleh : Ummu Nidhal

TELUK INTAN 22 JULAI
Menghayati semangat perjuangan pahlawan Mat Kilau. Itu merupakan objektif utama Program Tonton Mat Kilau bersama YDP PAS Teluk Intan Haji Azhar Rafie yang dianjurkan oleh Pemuda dan Ameerah PAS Teluk Intan di Panggung MBO Teluk Intan jam 8 malam semalam.

Menurut pengarah program Mohd Hafizul Badrul Hisham, pihaknya telah menyewa satu panggung yang memuatkan 150 kerusi untuk diduduki secara percuma oleh golongan muda Teluk Intan yang kurang berkemampuan.

“Pun begitu, beberapa persatuan yang dianggotai anak muda Melayu Teluk Intan turut diundang menonton filem ini bagi mewujudkan jalinan persahabatan dan kerjasama dengan mereka,” ujarnya.

Antaranya ialah anggota Pertubuhan Seni Gayung Bersatu Gelanggang Harimau Bukit, Persatuan Pengusaha Van Jenazah Teluk Intan , Persatuan Rider Food Panda Teluk Intan ,
Pengusaha Banner Labs dan Ahli Dewan Belia Teluk Intan.

YDP PAS Teluk Intan, Haji Mohd Azhar Rafie, dalam ucapannya mengajak penonton menjiwai semangat kepahlawanan Mat Kilau daripada filem yang ditayangkan itu.

“PAS sebagai parti Islam memahami keperluan rakyat untuk berhibur dan menyokong industri perfileman yang menerbitkan tayangan berunsur patriotik yang mampu menyuburkan semangat cintakan agama, bangsa dan negara dalam diri masyarakat Malaysia, ” katanya lagi.

Bagi menyemarakkan semangat kepahlawanan, para penonton disajikan dengan persembahan silat dari Pertubuhan Seni Gayung Bersatu Gelanggang Harimau Bukit yang diadakan di ruang legar panggung
sebelum tayangan bermula.

Turut hadir menyaksikan tayangan filem tersohor itu adalah Pengarah Pilihanraya PAS Teluk Intan, Mohd Farid AlJarumi, Pengerusi PASTI Teluk Intan Ahmad Aiman Tarmizi, Ketua Dewan Muslimat Teluk Intan Robi’atun Mohd Abas dan ADUN Belia Changkat Jong Mohd Hafiz Shaimi.