Home Artikel PAS Melaka

Rencana | Perangkap mega rasuah

283
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SEBENARNYA akhir-akhir ini, pagi petang siang malam penulis sentiasa memerah otak memikirkan bagaimana caranya untuk menghapuskan najis rasuah yang membelenggu masyarakat kita sekarang ini.

Jangan main-main dengan rasuah. Silap-silap British, Jepun dan Portugis pun boleh menjajah kita semula sekiranya orang-orang penting negara atau pegawai-pegawai kerajaan kita mudah dirasuah.

Antara yang penulis terfikir ialah mengapa tidak kita mengadakan satu program perangkap mega untuk memerangkap perasuah-perasuah ini secara terancang?

Sukarelawan pemerangkap perasuah

Begini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuat satu program yang penulis cadangkan dipanggil sebagai ‘Sukarelawan Pemerangkap Perasuah’ (SPP). Sukarelawan ini harus mendaftarkan nama mereka kepada SPRM. Kemudian SPP ini boleh mula memerangkap perasuah-perasuah selepas mendaftar sebagai sukarelawan SPP.

Mereka ini akan mengambil peluang untuk cuba memberi rasuah kepada penguatkuasa-penguatkuasa, pegawai-pegawai kerajaan atau penjawat-penjawat politik kerajaan yang meminta rasuah.

Katalah mereka ditahan polis trafik kerana kesalahan jalan raya semasa memandu, maka mereka akan cuba memberi rasuah kononnya untuk melepaskan diri daripada disaman. Mereka juga boleh merakam apa-apa video secara sembunyi atau menandakan wang rasuah itu untuk tujuan pembuktian. Selepas itu mereka akan melaporkan kepada SPRM tentang rasuah yang mereka beri itu.

Mungkin ada yang bertanya, apa bezanya sekarang? Sekarang kita tidak boleh buat begini kerana jika kita terus ditangkap masa cuba memberi umpan rasuah itu maka kita akan didakwa walau pun niat kita untuk memerangkap pemakan rasuah.

Dengan wujudnya program pendaftaran sukarelawan yang penulis cadangkan ini maka seseorang yang memberi umpan rasuah ini akan terlepas daripada didakwa kerana mereka adalah pemerangkap perasuah yang berdaftar dengan SPRM.

Bagaimana di pihak bakal penerima rasuah?

Mungkin ada yang akan bertanya bagaimana dengan penguatkuasa-penguatkuasa, pegawai-pegawai kerajaan atau penjawat-penjawat politik kerajaan yang berada di pihak yang berpotensi menerima rasuah pula? Perlukah mereka juga mendaftar sebagai sukarelawan pemerangkap rasuah?

Mereka tidak perlu mendaftar. Tugas mereka pula ialah apabila ada orang yang memberi rasuah kepada mereka, mereka perlu menangkap pemberi rasuah itu pada masa itu juga.

Mungkin timbul satu lagi persoalan, kakitangan kerajaan seperti anggota polis mempunyai keupayaan dan senjata untuk menangkap pemberi rasuah pada masa itu juga. Bagaimana pula dengan mereka yang bukan golongan penguatkuasa seperti jurutera JKR, Guru Besar atau kerani yang dihulur rasuah, mungkin mereka tidak berupaya untuk menangkap terus?

Untuk kes macam ini mereka perlu terus melaporkan kepada SPRM. Mungkin boleh diwujudkan satu aplikasi untuk kakitangan kerajaan ini untuk terus melaporkan rasuah yang berlaku.

Laporan ini pula tidak boleh memakan masa lama. Jika tidak, mungkin seseorang pegawai yang menerima rasuah memberi alasan bahawa mereka memang mahu melaporkan kepada SPRM tentang perkara itu apabila mereka ditangkap untuk melepaskan diri.

Jadi apabila seseorang memberi rasuah kepada penguatkuasa-penguatkuasa, pegawai-pegawai kerajaan atau penjawat-penjawat politik kerajaan, maka mereka yang ditawarkan rasuah itu akan terus melaporkan kepada SPRM dan perasuah itu akan ditangkap. Dan sekiranya perasuah itu adalah SPP yang telah mendaftar maka dia akan terselamat daripada didakwa.

Separuh daripada wang sogokan untuk pengadu

Selain itu perlu juga dilakukan pindaan undang-undang bahawa untuk kes-kes rasuah ini mereka yang mengadukan rasuah yang diterima mereka akan menerima separuh daripada nilai rasuah ini.

Contohnya seseorang penguatkuasa, pegawai kerajaan atau penjawat politik ditawarkan rasuah sebanyak RM10 ribu. Tetapi jika dia melaporkan kes rasuah itu dan pemberinya disabitkan kesalahan, pengadu akan mendapat separuh daripadanya iaitu sebanyak RM5 ribu.

Jika pegawai itu adalah seorang yang jujur mungkin selama ini apabila mereka menolak tawaran rasuah atau pun jika mereka menangkap orang yang memberi mereka rasuah, mereka tidak dapat apa-apa pun. Tetapi dengan sistem ini, mereka tetap mendapat separuh wang hasil daripada rasuah tadi tetapi dengan cara yang halal.

Ini juga akan menyebabkan kakitangan kerajaan pula akan berlumba-lumba cuba untuk memerangkap pemberi rasuah pula.

Bayangkan jika semua pegawai kerajaan berharap sangat orang ramai menghulurkan rasuah pada mereka, mereka tetap dapat separuh duit itu, perasuah dapat ditangkap, dan aktiviti rasuah dapat dibendung. Jadi mereka yang ingin memberi rasuah juga akan fikir banyak kali apabila ada pegawai kerajaan yang meminta rasuah daripada mereka.

Tujuan program ini adalah untuk mewujudkan rasa saling tidak percaya antara pemberi dan penerima rasuah. Penerima rasuah akan curiga mungkin dia sedang diperangkap oleh pemerangkap rasuah, SPP yang berdaftar dengan SPRM.

Situasi ini akan menyebabkan
penguatkuasa-penguatkuasa, pegawai-pegawai kerajaan atau penjawat-penjawat politik kerajaan, cenderung untuk menangkap pemberi rasuah kerana bimbang mereka sedang diperangkap.

Jika ini berlaku, pemberi rasuah sebenar yang memang mahu merasuah penguatkuasa-penguatkuasa, pegawai-pegawai kerajaan atau penjawat-penjawat politik kerajaan pula akan curiga dan takut bahawa mereka akan diperangkap dan ditangkap.

Dengan mewujudkan suasana saling tidak percaya ini akhirnya akan menyebabkan pemberi rasuah tidak percaya untuk memberi rasuah walau pun diminta oleh pegawai kerajaan itu. Penerima rasuah pula akan curiga takut-takut pemberi rasuah itu sebenarnya adalah sukarelawan yang berdaftar dengan SPRM.

Pada penulis cadangan penulis ini praktikal, atau mungkin ia boleh dimurnikan lagi. Yang penting sesuatu mesti dilakukan untuk menghapuskan terus rasuah secara lebih serius. Kalau mahu seribu daya, kalau tak mahu lapan ribu dalih.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor Harakah cetak bilangan 2629 bertarikh 5 Mac 2021.

 

Kredit foto : Google