Oleh MOHSIN IBRAHIM
PADA Sabtu 27 Ramadan bersamaan 8 Mei 2021 telah berlangsung satu program kemasyarakatan iaitu Melaka Ramadan Relief 2021, hasil kerjasama antara PAPISMA Melaka, MERCY Malaysia (Melaka Chapter) dan Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Melaka (PEKA).
Sebanyak 90 buah keluarga telah dilawati di Kawasan Alor Gajah, Kota Melaka dan Tangga Batu. Sumbangan berupa makanan asasi daripada MERCY Malaysia dan duit raya oleh PAPISMA Melaka.
Kita juga telah memberi penerangan dan membantu keluarga terlibat mendaftar untuk Immunisasi Covid-19.
Dalam merancang dan melaksanakan program ini, saya berkesempatan bertemu dan mendapat perkongsian pengalaman dari Pengerusi MERCY Malaysia Melaka Chapter, Datuk Dr Baba Md Dani.
Datuk Dr Baba adalah seorang veteran dan mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan misi bantuan kemanusiaan samada akibat bencana alam ataupun konflik yang membawa kepada peperangan.
Beliau telah berada di banyak negara yang mengalami krisis kemanusiaan dan malapetaka sepert Sudan, Syria, Afghanistan, Bosnia, Acheh, Iraq, Palestin dan lain-lain.
Perkongsian beliau tentang pengalaman di Palestin sangat menyayat hati. Dalam suasana hari ini pembunuhan rakyat awam Palestin oleh rejim haram Yahudi adalah sesuatu yang amat menghiris hati dan perasaan umat Islam.
Bermula dari serangan tidak berperikemanusiaan ke atas jemaah yang sedang bersolat di Masjidil Aqsa membawa kepada serangan roket, peluru berpandu dan pesawat udara yang menggugurkan bom umpama air hujan yang mencurah ke bumi Gaza.
Sesungguhnya penyelesaian yang tuntas terhadap keganasan Yahudi ini mungkin memerlukan masa kerana umat dan pemimpin negara Islam masih lagi berpecah dan bercakaran sesama sendiri.
Bagaimana pun penderitaan rakyat Palestin tidak boleh kita abaikan atau menutup mata dan menyumbat telinga. Mereka adalah saudara kita dan perlu dibantu dalam apa juga bentuk samada makanan, pakaian, minuman, tempat tinggal dan kemudahan awam seperti hospital dan sekolah.
Semua ahli PAS adalah diseru untuk menghulurkan sumbangan kepada Tabung Save Al Qud & Gaza.Semoga dengan sumbangan kita akan dapat meringankan beban saudara kita di Palestin.
Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Melaka (PEKA) sebuah NGO di bawah Lajnah Kebajikan Badan Perhubungan PAS Melaka.
AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH
. SAMBAL IBU SARI .