Home Berita PAS Kelantan

Kutipan Tabung Kemanusiaan Palestin fasa pertama kumpul lebih RM3 juta

41
SHARE

Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA

KOTA BHARU, 21 Mei: Kutipan Tabung Kemanusiaan Palestin di negeri Kelantan fasa pertama berjaya kumpul lebih RM3 juta. Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob mengisytiharkan pada sidang media di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Katanya, keseluruhan sumbangan tersebut adalah melalui Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

“Kutipan daripada Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim sebanyak RM 1,003,436.32, NGO sebanyak RM 545,000.00 dan Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan sebanyak RM 2,102,910.95 yang jumlah keseluruhannya sebanyak RM 3,651,347.27,” katanya.

Tambah beliau lagi, sumbangan melalui Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim adalah daripada kurniaan KDYMM Al-Sultan Kelantan, Menteri Besar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Speaker, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), GLC serta seluruh rakyat negeri Kelantan termasuk anak Kelantan di perantauan dan masyarakat pelbagai kaum.

“Hasil sumbangan tersebut akan disalurkan kepada kerajaan Malaysia melalui Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah dan saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kelantan atas solidariti kepada rakyat Palestin,” katanya lagi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat yang juga merupakan Pengerusi Aid4Palestin Kelantan. YAB Menteri Besar turut memaklumkan bahawa tempoh kutipan untuk fasa kedua akan tamat pada 30 Syawal nanti.