Home Melaka

Rencana : PAS Melaka disaran tubuh koperasi kukuhkan ekonomi

151
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PENULIS pernah menulis beberapa rencana yang menyarankan agar PAS dapat membina kekuatan ekonomi melalui sayap perniagaan dan pelaburan supaya tidak terlalu bergantung kepada sumbangan ahli dan penyokong semata-mata.

Ini menepati konsep bahawa PAS perlu menternak angsa yang mampu memberikan telur emas setiap hari. Bermakna jika dahulu ahli-ahli yang menghulurkan telur emas kepada PAS setiap hari, tetapi kali ini ahli-ahli berpakat-pakat bersama-sama membeli angsa yang telurnya nanti akan dapat digunakan PAS setiap hari.

PAS di peringkat Pusat sudah ada Kohilal yang sudah lama ditubuhkan. Namun penulis menyarankan agar PAS Melaka sendiri menubuhkan sebuah koperasi di peringkat negeri yang lebih bersifat tempatan bagi membina kekuatan ekonomi.



 

Baru-baru ini penulis ada bertemu dengan Pengerusi Assabiqun PAS Melaka, Haji Hassan Md Dahan yang bersetuju untuk bersependapat dengan penulis dalam soal peri pentingnya agar PAS dapat menjana pendapatan melalui perniagaan atau pelaburan.

Daripada perbualan penulis dengan beliau nampaknya beliau sangat berminat dengan idea ini. Beliau juga menyarankan penulis terus menulis tentang perkara ini.

Beliau juga ada menjelaskan pada penulis bahawa beliau pernah menubuhkan sebuah koperasi tidak lama dahulu namun oleh kerana beberapa masalah yang berlaku, koperasi itu katanya telah tidak aktif. Penulis menyarankan kepada beliau agar mengaktifkan semula koperasi itu untuk PAS Melaka.

PAS Melaka sendiri sebenarnya mempunyai ramai tokoh-tokoh profesional daripada pelbagai bidang yang boleh digemblengkan untuk membina sebuah perniagaan berasaskan koperasi ini.

Dengan mewujudkan entiti perniagaan seperti ini ia dapat memberi banyak faedah kepada PAS dan ahli-ahlinya. Pertama ia dapat memberi pulangan pada ahli-ahli PAS yang menjadi ahli koperasi ini. Yang kedua ia dapat memberi pulangan kepada parti apabila sebahagian keuntungan diinfakkan semula untuk parti.

Ketiga ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada ahli-ahli parti. Keempat ia dapat menjadi platform untuk PAS membantu rakyat dari sudut industri IKS.

Penulis pernah mendengar ada PAS Kawasan yang pernah membantu golongan asnaf dengan memberi mereka modal untuk menjalankan perusahaan mikro seperti membuat kuih atau biskut moden.

Dengan adanya sebuah entiti perniagaan seperti koperasi ini, maka PAS kawasan-kawasan di Melaka mungkin boleh membantu memasar atau mengedarkan produk-produk keluaran asnaf yang telah mereka bantu tadi.


Rencana ini disiarkan di Harakah cetak bertarikh 30 Mei 2022

PAS kawasan sendiri boleh juga membantu menjual, namun entiti PAS kawasan itu adalah pertubuhan. Ia akan menyukarkan dari segi perakaunan dan prosedur. Ada perkara-perkara yang hanya boleh dilakukan oleh organisasi perniagaan.

Koperasi ini juga boleh menjadi orang tengah atau pemborong yang boleh membantu para peniaga. Contohnya menganjurkan ekspo atau karnival yang boleh menarik orang ramai.

Selain itu koperasi ini boleh menjalankan perniagaan kredit seperti AEONS yang membiayai ahli-ahli untuk membeli barang-barang yang tidak mampu dibeli tunai seperti komputer riba, peti sejuk, mesin basuh, motosikal atau kereta terpakai yang tidak layak mendapat pinjaman bank.

Pembiayaan ini dibuat secara Islamik dengan menggunakan kaedah bai’ bithaman ajil atau murabahah. Dengan cara itu kita dapat mengelakkan ahli-ahli PAS daripada terlibat dengan riba apabila membeli barangan-barangan ini melalui syarikat kredit konvensional.

Lebih dari itu penulis berangan-angan sekiranya modal yang dapat dikumpulkan koperasi ini besar, maka kita akan menjalankan perniagaan yang jarang diceburi oleh orang Islam.

Malah contoh yang kerap penulis ulang ialah untuk membuka kedai menjual motosikal, yang mana ramai orang Islam guna tetapi jarang kita jumpa kedai menjual motosikal milik orang Islam.

Sekiranya modal yang dikumpulkan itu besar, koperasi itu juga boleh menceburi sektor hartanah yang mampu memberi keuntungan jangka panjang. Malah PAS Melaka boleh membina sebuah bangunan komersial yang boleh disewakan kepada orang ramai untuk mendapatkan hasil daripada sewa.

Penulis percaya ramai yang akan skeptikal dengan cadangan-cadangan ini. Lebih-lebih lagi mereka yang pernah terlibat dengan koperasi-koperasi yang gagal.

Namun bagi penulis jika sesuatu koperasi itu memenuhi dua kriteria utama ini maka ia boleh berjaya iaitu yang pertama diuruskan oleh profesional yang berpengetahuan dan yang kedua semua pimpinan dan pengurusan koperasi perlu berintegriti. Dua ini sahaja yang kritikal.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.