Home Berita PAS Pahang

“Jangan mengeluh dan jemu” – Tokoh Guru PASTI Pahang 2022

200
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

KUANTAN, 31 Mei :: “Jangan cepat mengeluh dan jemu bila berhadapan dengan pelajar, terutama pelajar yang lemah dan bermasalah dalam pembelajaran,” kata Tokoh Guru PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) Negeri Pahang 2022 Siti Mariazatul Akmar.

“Berusahalah memajukan mereka kerana dengan sebab pelajar yang lemah inilah yang menjadikan kita guru yang sebenar dan lebih kreatif dalam pengajaran,” tegas beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Cawangan Pusat Bandar, Kuantan.

Siti Mariazatul Akmar menerima anugerah tersebut di suatu majlis sempena sambutan Hari Guru Sektor Pendidikan 2022 Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang di sebuah resort di Kuala Tahan, Jerantut baru-baru ini.

Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Kuantan.

Siti Mariazatul Akmar telah menabur bakti dan bersusah senang dalam menaikkan imej PASTI di mata masyarakat selama 23 tahun di PASTI Umar Al-Khattab, Cenderawasih di Kawasan Indera Mahkota.

Beliau sebagai penerima anugerah tahun ini menyatakan rasa setinggi-tinggi terima kasih kepada Unit Penaziran PASTI Negeri Pahang kerana memilihnya sebagai Tokoh Guru Cemerlang Negeri Pahang sesi 2022.

“Saya tak pernah merasakan diri ini layak untuk di pilih. Banyak lagi kekurangan dan banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari,” ujarnya.

Beliau berharap semua guru menanamkan di dalam diri semangat untuk menjadi seorang guru yang ikhlas dalam mendidik dan mentarbiyah anak murid.