Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Merantai politikus rakus dengan darurat

345
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

HINGAR-BINGARLAH pembangkang dan sekutu-sekutunya meratibkan yang darurat ini adalah darurat politik, bukan sebab Covid-19. Penulis separuh setuju. Bagi penulis memang darurat ini sebahagiannya untuk mengawal politik. Tapi itu bukan sebab utama, tapi ia sebagai prasyarat.

Kalau seseorang petani itu mahu berkebun dan menanam sayur tapi dalam masa yang sama di sekitar tapak kebunnya itu banyak babi hutan berkeliaran maka perlu untuk petani itu membuat dahulu pagar. Itu prasyarat.

Pada asalnya tiada pagar pun sayur-sayur itu akan hidup. Pagar bukan syarat untuk sayur itu hidup. Tapi jika ada kemungkinan gangguan binatang yang ada di sekeliling maka perlu kepada pagar sebelum sayur ditanam.

Jika tidak petani itu akan menghadapi masalah sayur-sayurnya disondol kawanan babi-babi hutan tadi. Bila rosak terpaksa ditanam semula atau terpaksa buat banyak perkara untuk menghalau binatang-binatang tadi. Kena selalu ditinjau-tinjau.

Banyak kerja nak kena buat. Maka kerja menanam sayur itu akan terganggu dan mengambil masa malah boleh jadi berakhir dengan kegagalan.

Darurat untuk politik semata-mata? 

Sama halnya dengan darurat. Mungkin ada yang kata apa perlunya darurat? Adakah untuk kepentingan politik semata-mata? Memang untuk kepentingan politik, cuma ia bukan semata-mata untuk kepentingan politik. Ia adalah serampang dua mata, mengekang kerasukan ahli-ahli politik yang gila kuasa dan untuk menghadapi wabak Covid-19 yang diburukkan dengan bencana banjir.

Pada 25 Oktober lepas Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah menolak cadangan mengadakan darurat oleh kerajaan. Pada masa itu darurat ini dicadangkan untuk mengelakkan Bajet 2021 ditolak yang akhirnya akan menyusahkan rakyat.

Namun pada masa itu Yang Di-Pertuan Agong menolak. Penulis melihat faktor penolakan ini adalah kerana keperihatinan Baginda untuk mengelak persepsi rakyat bahawa demokrasi akan mati di Malaysia jika darurat diadakan.

Di sebalik penolakan cadangan darurat ini Baginda telah menitahkan saranan agar ahli-ahli politik bersatu hati dan tidak bermain politik di saat Covid-19 ini. Penulis percaya Baginda cuba menyampaikan mesej bahawa sebenarnya jika ahli-ahli politik boleh bertindak rasional dan melupakan sekejap perbalahan politik demi untuk menumpukan perhatian pada bencana besar ini, maka darurat tidak perlu.

Namun apa yang kita telah lihat, kepercayaan yang diberi oleh Tuanku ini telah dipersia-siakan oleh sesetengah ahli-ahli politik yang bebal ini. Mereka pula mengambil kesempatan dalam kesempitan untuk menghuru-harakan negara demi kuasa tetapi berselindung di sebalik slogan-slogan mulia demi rakyat, demi demokrasi, demi keadilan. Yang sebenarnya mereka gila kuasa!

Kebebalan mereka ini tiada penghujungnya. Bajet 2021 hampir ditolak dan Titah nasihat Tuanku Yang Di-Pertuan Agong langsung tidak dihormati!

Desakan buat PRU15

Akhir-akhir ini pula terdapat desakan kuat agar Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan segera Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). Walau pun katanya mereka menuntut pilihan raya diadakan hanya jika Covid-19 dapat diatasi namun beberapa orang Ahli Parlimen mereka sudah pun menarik sokongan kepada Kerajaan Persekutuan PN sekarang!

Nampaknya kebebalan ramai ahli politik ini memang tidak dapat dibendung. Jika kemelut politik ini berterusan maka kerajaan akan jadi huru-hara. Yang mentadbir negara juga adalah orang politik. Jika semua orang-orang politik ini asyik berpolitik maka rakyat semua akan mati ditelan Covid-19 dan banjir!

Penulis percaya kerana itulah Yang Di-Pertuan Agong untuk kali ini bersetuju agar darurat diadakan. Ini adalah kerana orang-orang politik tidak menghargai peluang dan kepercayaan yang diberi Baginda sebelum ini. Mungkin Baginda melihat hanya darurat boleh menjadi guru dan rotan untuk mendidik ahli politik agar berubah daripada bebal kepada sedikit cerdik.

Muhyiddin sepatutnya letak jawatan, lepas itu?

Ada yang kata sepatutnya Muhyiddin bukan buat darurat, sepatutnya Muhyiddin letak jawatan. Tak apalah. Lepas letak jawatan apa pula? Anwar Ibrahim nak jadi PM dengan sokongan PH dan ‘sekutunya’? Mereka ada majoriti?

Kalau majoriti Muhyiddin tinggal 100 sekali pun tidak bermakna majoriti pembangkang akan jadi 122. Mahathir sendiri sudah berpatah arang dengan Anwar. Warisan pengikut setia Mahathir. GPS sudah berpatah arang dengan DAP, tidak mungkin mereka akan bersekutu dengan Anwar jika ada DAP.

Lepas itu apa? Kerajaan tergantung. Lepas itu apa? Parti-parti politik kena berjual-beli Ahli Parlimen untuk cukupkan majoriti. Perbincangan sana perbincangan sini. Lepas itu kalau tak berjaya? Kena buat PRU15 yang dituntut-tuntut oleh pembangkang dan ‘sekutu’?

Lepas itu? Selesai PRU15, bentuk kerajaan baharu, baru nak bincang lawan Covid-19? Masa itu rakyat sudah mati bergelimpangan di jalan raya kerana Covid-19 dan banjir. Agaknya masa itu baru puas hati zombi-zombi politik ini!

Inilah masalah yang sedang kita hadapi. Negara kita dipenuhi dengan ahli-ahli politik yang berpolitik tidak kira masa sehingga membahayakan rakyat dan negara.

Elakkan mudarat lebih besar 

Muhyiddin umpama pemandu bas yang berada di hadapan. Di belakangnya ada beberapa bas yang cuba memotongnya. Mereka cuba memotongnya di selekoh yang tajam dan merbahaya. Oleh kerana Muhyiddin di hadapan, maka dia nampak ada bas lain di laluan bertentangan.

Muhyiddin cuba menghalang mereka daripada memotong bukan kerana Muhyiddin tidak suka dipotong. Dia cuba menghalang bas di belakangnya daripada memotong untuk mengelakkan kemalangan yang akhirnya akan membunuh penumpang-penumpang semua bas yang terlibat.

Benarlah kata beberapa orang pakar bahawa wabak politik ini lebih bahaya daripada wabak Covid-19. PM bertindak wajar dengan mengurung dahulu orang-orang politik bebal ini dengan darurat agar mereka tidak mengganggu usaha kerajaan untuk membendung Covid-19 dan banjir.

Sebenarnya yang marah sangat dengan darurat ini adalah ahli-ahli politik bebal dan pengikut-pengikut mereka sahaja. Rakyat biasa sangat perlu pada darurat ini untuk selamatkan nyawa kita semua.

Penulis percaya Muhyiddin bukan takut bertarung, cuma masa belum sesuai. Bila dah selesai kerja, bila masalah Covid-19 ini sudah dibendung masa tu Muhyiddin akan buka gelanggang. Masa tu bertarunglah sampai titisan nafas terakhir!

Rencana Komen Editor ini disiarkan di Harakah cetak  pada  18 Januari 2021  –    Bil : 2617