Home Artikel PAS Melaka

Ketua Menteri Melaka mahu penjawat awam bagi jadi!

406
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

BERTEMPAT di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh Melaka pada 11 Januari lepas, Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2021 kepada penjawat-penjawat awam negeri dan Persekutuan.

Antara yang ditegaskan oleh Ketua Menteri Melaka dalam ucapan bertema ‘Melakar Wajah Baharu Perkhidmatan Awam Negeri Melaka’ itu ialah semua penjawat awam di negeri ini harus faham bahawa tahun ini adalah tahun perlaksanaan.

“Mustahaknya tahun ini, saya mahukan segala apa yang telah kita rancang, kita mesti pastikan semuanya dilaksana. Atau dalam bahasa mudahnya, ‘get it done’! Bagi jadi! Kasi jadi!

“Maksud saya, ‘get it done, bagi jadi, kasi jadi’ ini adalah, segala apa polisi, inisiatif dan program yang telah kita rancang, mestilah benar-benar dilaksanakan dengan berkesan, menyentuh denyut nadi, hinggakan impak manfaatnya dirasai langsung kepada rakyat Melaka,” kata Ketua Menteri Melaka itu penuh semangat di hadapan lebih 400 orang penjawat awam yang menghadiri majlis ini.

Itu adalah salah satu daripada tujuh amanat penting beliau kepada penjawat awam Negeri Melaka itu. Amanat ini dilihat sebagai satu komitmen beliau untuk memastikan penjawat awam sentiasa memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

Keseluruhan tujuh perkara yang ditekankan Ketua Menteri Melaka itu dalam melakar wajah baharu perkhidmatan awam negeri ini ialah yang pertama, kesungguhan dan tekun dalam bekerja; kedua, perlaksanaan; ketiga hari-hari berjumpa rakyat; keempat, hasil perlaksanaan; kelima, mencapai visi Melaka Negeri Bestari; keenam, tiada alasan kelewatan dan kegagalan yang boleh mengurangkan kualiti perkhidmatan kerajaan dan ketujuh pemantauan KPI jabatan dan agensi kerajaan melalui ‘scorecard’ masing-masing.

Buku ‘Why Nations Fail’

Dalam ucapannya itu beliau ada menyebut tentang sebuah buku yang berjudul ‘Why Nations Fail’ yang telah menjadi salah satu rujukan beliau dalam merangka amanat ini yang boleh membantu penjawat awam untuk lebih memahami tanggungjawab mereka dalam memajukan negeri ini. Ini dinyatakan beliau ketika menjelaskan tentang perkara keempat iaitu berkaitan dengan ‘hasil perlaksanaan’.

Menurut beliau, buku ini menceritakan perihal satu kawasan yang sama, tetapi hanya dipisahkan oleh pagar sempadan dua negara. Satu; Nogales, Arizona berada dalam negara Amerika Syarikat, manakala sebahagiannya lagi, Nogales, Sonora, yang terletak dalam negara Mexico.

“Nogales Arizona Amerika Syarikat dikatakan lebih maju, pendapatan perkapita rakyatnya tinggi, tahap pendidikan penduduknya lebih berkualiti serta banyak peluang pekerjaan yang boleh diperolehi.

“Bertentangan di sisi yang satu lagi, Nogales, Sonora, Mexico, yang pada ketika itu, pendapatan perkapita penduduknya lebih rendah, ramai anak-anak warganya tidak mendapat pendidikan sepatutnya dan kadar pengangguran juga agak tinggi.

“Malahan, jika kita tinjau sejarah, siapa dapat menyangka bahawa, Portugis atau negara Portugal, dahulunya pernah menakluk Melaka, kini di Eropah hanya menjadi negara yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

“Sedangkan UAE khususnya Dubai, dulu hanya sebuah padang pasir yang tandus lagi kering kontang, kini telah bertukar menjadi pusat perdagangan dan pelancongan tersohor di dunia.

“Cuba fikirkan sama-sama, apa yang boleh kita pelajari dan mengambil iktibar daripada semua kisah yang saya sebutkan tadi?” kata beliau kepada penjawat awam yang hadir pada hari itu.

Visi ‘Melaka Menuju Negeri Lestari’

Ketua Menteri itu juga mahu agar penjawat awam memastikan visi ‘Melaka Menuju Negeri Lestari’ yang menggunakan indikator ‘sustainable development goals’ (SDG) berkaitan dengan 17 ‘Matlamat Pembangunan Lestari’ akan berjaya dicapai.

“Begitu juga dengan Misi Negeri Melaka, mesti kita sama-sama laksana dan berjaya dicapai pada tahun 2021 ini juga!

“Misi tersebut, yang berasaskan perkataan T.E.R.A.S. iaitu, T untuk teknologi, E untuk ‘entrepreneurship’, R bagi revolusi industri dan ekonomi, A untuk antarabangsa dan S pula adalah sejahtera, demi untuk membahagiakan rakyat.

“Ditambah lagi, saya mahu kita pastikan, kesemua enam pemboleh daya untuk Negeri Melaka, iaitu, Keterangkuman dan Kesalinghubungan; Kemampanan Ekonomi; Kecanggihan Teknologi Hijau; Pintar dan Pendigitalan; Keberdayaan Modal Insan, Keutuhan Budaya dan Warisan, serta Keihsanan dan Integriti.

“Tidak hanya tinggal slogan, semangat- semangatan, atau atas kertas semata-mata, sebaliknya, mesti berjaya kita laksanakan dengan baik lagi sistematik.”

Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035)

Sementara itu pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035), pada sekitar awal Februari 2021, menurut Ketua Menteri Melaka itu lagi, adalah antara program utama dalam pelan, inisiatif, program dan ‘symbolic action’, yang akan dilaksanakan untuk kebaikan rakyat dan kemakmuran Melaka.

“Sesungguhnya, PSMJ 2035 ini adalah kitab, dokumen besar, yang komprehensif dan holistik, bagi memandu hala tuju pembangunan, kemajuan serta masa depan, bersifat jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang Negeri Melaka.

“Makanya, pelan tindakan strategik ini merupakan dokumen utama untuk dirujuk oleh semua jabatan dan agensi di Negeri Melaka, yang perlu diterjemahkan menjadi pelan tindakan dan matlamat utama pencapaian setiap agensi, yang bakal membawa Negeri Melaka ke fasa seterusnya menuju mercu kejayaan.”

Kecemerlangan dan keseimbangan, duniawi serta ukhrawi.

Dan yang pasti tidak ketinggalan bagi Ketua Menteri Melaka ini ialah dalam setiap tindak tanduknya, beliau dilihat pasti tidak meninggalkan elemen agama dan ketuhanan.

“Saya juga mahukan tahun ini, kesemua halatuju ‘Melaka Rumahku’ itu, mestilah ke arah mencapai kecemerlangan dan keseimbangan, duniawi serta ukhrawi.

“Barulah layak Negeri Melaka digolong sebagai, ‘baidatun thoyyibatun wa rabbun ghafur, yakni, negeri yang makmur di bawah keberkatan Tuhan,” ujar beliau.

Jika dilihat pada program-program turun padang yang beliau lakukan di sekitar Melaka selama ini, pasti akan bermula dengan solat Subuh berjemaah dan keterujaan beliau kepada sekolah-sekolah pondok adalah menifestasi kepada kecenderungan beliau terhadap agama. Dan ini beliau zahirkan dalam perancangan pentadbiran beliau ini.

Santai Ketua Menteri Melaka

Satu lagi perkara yang menarik pada Ketua Menteri Melaka ini ialah sikap rendah diri dan bersahaja beliau banyak meruntun rasa kasih dan hormat kakitangan awam dan rakyat. Malah dalam ucapannya beberapa kali beliau membahasakan dirinya dengan ganti nama ‘An’ menunjukkan kesantaian beliau dalam berkomunikasi yang mencuit hati rakyat.

Antaranya beberapa kali beliau bertanya kepada audiens “Faham tak apa ‘an’ cakap ni?” Untuk rekod Ketua Menteri Melaka ini berasal dari kawasan Masjid Tanah yang mempunyai pengaruh bahasa Negeri Sembilan dan ‘an’ itu bahasa pasar merujuk kepada ‘saya’.

Penulis sendiri kerap mendengar di kedai-kedai kopi tentang keselesaan rakyat dengan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan beliau. Malah ramai yang berharap agar Datuk Seri Utama Sulaiman terus memimpin Melaka. Jangan tukar lagilah…

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak  pada  18 Januari 2021 –  Bil : 2617