Home Berita PAS Melaka

Rencana : MENGAPA KOMUNIS BERSUNGGUH BERSIHKAN NAMA DAP?

2164
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Baru-baru ini bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM), Abdullah CD menyifatkan persepsi sesetengah masyarakat yang menyamakan PKM dengan DAP sebagai lucu. Abdullah berkata demikian dalam satu temuramah oleh Malaysiakini yang dilaporkan dalam portal berita itu pada 28 Disember 2019.

Menurut Abdullah ini adalah kerana Lee Kuan Yew yang merupakan pengasas PAP yang merupakan parti pemerintah Singapura itu adalah merupakan seorang yang sangat anti pada komunis. Jadi, menurut beliau, oleh kerana DAP ini lahir dari PAP maka tidak masuk akal jika DAP disamakan dengan komunis.

Pada peringkat awal penubuhan PAP dan seterusnya membawa kepada kemenangan parti itu di Singapura pada tahun 1959 memang PAP diresapi oleh pengaruh komunis. Ramai pemimpin-pemimpin PAP pada masa itu yang sebenarnya menganut komunis.

Dan memang Lee Kuan Yew anti komunis. Kuan Yew telah menjalankan pembersihan besar-besaran dalam PAP pada masa itu untuk menghapus anasir komunis dalam partinya. Semasa beliau menjadi Perdana Menteri Singapura beliau telah melakukan penangkapan dan pendakwaan terhadap ramai dari kalangan pemimpin partinya sendiri pada ketika itu atas tuduhan terlibat dengan anasir komunis.

Beliau mengambil risiko besar bahawa tindakannya itu boleh meruntuhkan kerajaan yang dipimpin partinya sendiri. Namun tindakannya itu berbaloi. Lee Kuan Yew sendiri pernah menghadapi undi tidak percaya dari ahli parlimen partinya sendiri yang diketuai oleh Dr Lee Siew Choh pada 20 Julai 1961 dalam parlimen Singapura. Namun kerajaan Lee Kuan Yew diselamatkan oleh Parti Pekerja pimpinan David Marshall yang mengundi menyokong beliau.

Dr Lee Siew Choh kemudiannya meninggalkan PAP dan membentuk parti baru iaitu Barisan Sosialis. Beliau bersama kumpulannya yang dituduh Lee Kuan Yew sebagai berfahaman komunis itu pun tidak menamakan parti barunya itu dengan nama parti komunis, tetapi tetap menggunakan nama sosialis.

Itulah yang biasa berlaku, komunis bertaqiyah dan bersembunyi di sebalik nama sosialis. Kendati pun begitu, tidak adil pula untuk kita membuat kesimpulan bahawa semua sosialis itu adalah komunis yang berselindung.

Komunis dan sosialis ini sebenarnya adik beradik. Tapi dalam banyak hal mereka memang tidak sebulu. Tapi itu tidak bermakna sosialis dan komunis memang sentiasa ‘tidak ngam’. Sedangkan komunis dengan komunis sendiri pun bergaduh seperti Soviet Union dan China yg berkrisis sejak tahun 60an lagi inikan pula komunis dengan sosialis. Itu biasa.

Komunis adalah satu sistem pentadbiran negara dan ekonomi yang meletakkan segala kegiatan ekonomi adalah milik negara dan semua rakyat akan dibayar gaji yang sama.

Bagi sistem sosialis pula, rakyat masih dibenarkan untuk menjalankan perniagaan namun mengekalkan perusahaan-perusahaan utama seperti perbankan dan industri berat sebagai milik negara.

Dalam sistem sosialis rakyat dibenarkan menjalankan perniagaan kecil dan sederhana. Cukai juga tinggi bagi pekerjaan profesional seperti doktor, jurutera, arkitek dan lain-lain pekerjaan sepertinya.

DAP ditubuhkan pada 18 Mac 1966 selepas Singapura dihalau keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 oleh Tunku Abdul Rahman yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. DAP yang merupakan lanjutan dari PAP sehingga kini kekal menganut fahaman sosialis.

Walau pun DAP datang dari PAP tapi anutan DAP dan PAP pada masa sekarang pun sudah berbeza. PAP sendiri mengalami perubahan ideologi seiring perubahan masa.

Pada tahun 1976 PAP telah meninggalkan pertubuhan Sosialis Antarabangsa (Socialist International) menandakan berakhirnya anutan sosialisme dalam parti itu. Sekarang PAP menganuti konservatif berbanding DAP yang masih menganut fahaman sosialis.

Yang menentukan anutan sesuatu parti ialah pemimpinnya. Sekiranya Dr Lee Siew Choh yang dikatakan berfahaman komunis itu menang dalam undi tidak percaya terhadap Lee Kuan Yew dulu mungkin PAP pun sudah menganut komunis pada masa itu.

Jadi, untuk membuat kesimpulan mudah bahawa mustahil DAP adalah komunis semata-mata kerana PAP dulu anti komunis adalah tidak berapa jitu. Bagi penulis ia hanya satu falasi logik. Zaman PAP anti kepada komunis itu pun sudah berlalu lama.

Susur galurnya sangat jauh. Ia umpama kita mempertahankan bahawa seseorang itu baik hanya kerana arwah datuknya dulu seorang ustaz. Selain tidak logik untuk dijadikan hujah ia juga mempunyai garis masa yang terlalu jauh. Jarak antara individu itu dengan arwah datuknya pun sudah jauh.

Datuk dia adalah datuk dia. Dia adalah dia. Biasa juga kita jumpa bapa ustaz anak penyangak. Jika anak dan bapa pun boleh jadi berbeza inikan pula datuk dan cucu.

DAP hari ini adalah DAP yang kita lihat hari ini. DAP semasa ia baru ditubuhkan dulu pun tidak 100 peratus sama dengan DAP pada hari ini. Jika sekali pun DAP yang ditubuhkan pada 1966 itu juga anti komunis tidak bermakna DAP pada tahun 2019 ini juga mesti anti komunis.

Jika ditakdirkan majoriti pemimpin DAP pada masa sekarang suka pada ideologi komunis bila-bila masa sahaja DAP boleh bertukar dari parti sosialis kepada parti berideologi komunis. Jadi hujah bahawa DAP tidak mungkin komunis hanya kerana PAP anti komunis adalah tidak logik.

Yang kita kena tengok ialah siapa DAP sekarang. Yang kita mahu tahu adakah wujud tindakan yang menunjukkan memang ada simpati DAP kepada komunis pada masa sekarang? Itu yang penting.

Banyak yang DAP perjuangkan pada masa sekarang yang menunjukkan mereka seolah-olah simpati dengan komunis. Mereka juga yang sekian lama menyokong agar abu mayat Chin Peng boleh disemadikan di Malaysia. Dan ia telah pun berjaya dilaksanakan di zaman DAP menjadi kerajaan pusat.

Bukankah pemimpin DAP Ronnie Liew turut hadir bersama-sama dengan Syed Hussin ke program pertemuan semula komunis di Kajang pada 1 Disember 2019 yang lepas? Bukankah beliau dengan bangganya mendedahkan yang datuk dan abang beliau dulu adalah anggota komunis? Dan tidak ada pun pemimpin DAP yang mengecam tindakan Ronnie Liu ini.

Bukankah pada zaman DAP menjadi kerajaan pusat inilah baru alumni komunis ini berani secara terang-terang mengadakan program pertemuan semula ini?

Tapi yang lebih mencurigakan mengapa Abdullah CD, bekas pemimpin PKM ini bermati-matian membersihkan nama DAP dalam isu ini? Seolah-olah wujud simpati pihak pengganas komunis terhadap DAP. Mungkinkah ia sebagai balasan kepada simpati DAP terhadap komunis? Itu yang menjadikan cerita ini makin syok.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah, Melaka dan Editor Berita PAS Melaka

(Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak 6 Januari 2020)