Home Berita PAS Melaka

Rencana : Mencari Ikon Sejarah Bangsa Sebagai Jatidiri Negeri Melaka

1902
SHARE

Oleh : IBNU JANIE

Bila kita mendengar pembayang pantun ‘Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa saya dirikan’ ramai yang beranggapan bahawa ‘Kota Melaka’ yang dimaksudkan itu merujuk kepada Kota A Famosa yang dibina Portugis semasa mereka menjajah Melaka dahulu. Itu adalah satu tanggapan yang silap. Kota Melaka dalam pembayang pantun tersebut sebenarnya merujuk kepada kota atau bandar Melaka di bawah Kesultanan Melayu Melaka yang mahsyur sebelum ia diserang dan dijajah oleh Portugis.

 

Logiknya pantun itu sudah pasti dinukil oleh orang Melayu. Tidak mungkin orang Portugis yang mencipta pantun tersebut. Sekiranya pantun itu sudah ada sejak dari zaman dahulu kala sudah pasti ia dicipta samada semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka atau pun semasa zaman penjajahan Portugis, Belanda atau Inggeris. Adakah orang-orang Melayu pada masa itu akan menganggap Kota A Famosa itu sebagai satu kebanggaan sehingga sanggup menggantikannya dengan papan di Jawa sekiranya ia roboh? Kerana itu pada penulis, Kota Melaka dalam pantun tersebut bukan merujuk kepada Kota A Famosa.

Mungkin kerana terlalu lama berada di bawah penjajahan maka tidak banyak monumen asal Kesultanan Melayu Melaka yang boleh dilihat sehingga ke hari ini. Sebahagiannya dimusnahkan oleh penjajah semasa mereka datang menjajah. Selain itu banyak monumen warisan Kesultanan Melayu Melaka seperti binaan dan bangunan yang dibuat dari kayu sehingga menyebabkan ia tidak dapat bertahan lama berbanding dengan binaan penjajah yang kebanyakannya dibina dari batu. Ini telah menjadikan monumen tinggalan penjajah lebih menonjol.

Kita boleh melihat dengan jelas banyak monumen yang menjadi ikon bagi menggambarkan Negeri Melaka pada masa kini adalah berasaskan monumen tinggalan penjajah. Kota A Famosa contohnya antara yang paling banyak digunakan sebagai ikon. Jika ia digunakan sebagai gambar untuk promosi pelancongan itu tidak menjadi masalah. Yang kurang manisnya bila ia banyak digunakan sebagai logo-logo syarikat, sekolah, persatuan dan banyak institusi di Melaka.

Mengapa penulis ingin membincangkan persoalan ini? Penulis merasakan bahawa perkara ini akan menjurus kepada persoalan jatidiri supaya generasi akan datang tidak tersilap dalam membezakan antara peninggalan bangsa sendiri dan peninggalan penjajah. Selain itu, sebagai anak jati Melaka ia memberikan ‘lesen’ kepada penulis untuk bercakap soal ini.

Dalam satu temuramah yang terkenal antara wartawan Cindy Adams dengan Presiden Sukarno (Indonesia) pada tahun 1964, wartawan tersebut ada bertanyakan tentang mengapa beliau banyak membina monumen. Sukarno menjawab bahawa pembentukan mental sesuatu bangsa memerlukan monumen sebagaimana Amerika Syarikat membina monumen Washington untuk memperingati George Washington, tokoh kemerdekaan dan Presiden Pertama USA.

Antara monument terkenal yang dibina oleh Presiden Sukarno ialah Tugu Monas yang merupakan singkatan kepada ‘Monumen Nasional’ yang siap pada tahun 1965. Dan ia menjadi salah satu ikon yang memperkenalkan Indonesia pada dunia luar. Dan Tugu Monas menjadi salah satu ikon yang mengingatkan kita dengan Indonesia.

Sebenarnya sesuatu harus dilakukan untuk menonjolkan lagi monumen yang lebih merujuk kepada sejarah bangsa dan kerajaan asal Kesultanan Melayu Melaka yang bersifat non-penjajah. Kerajaan Negeri Melaka perlu mengetengahkan ikon-ikon yang berkaitan dengan Kesultanan Melayu Melaka sebagai lambang sejarah yang akan diingati di dalam kotak fikiran orang ramai dan pelancong.

Barangkali kita kekurangan monumen menarik yang merujuk kepada Kesultanan Melayu Melaka yang boleh dijadikan ikon yang mengingatkan kita kepada Negeri Melaka. Pengkaji-pengkaji sejarah pastinya boleh membantu dalam usaha mengenalpasti dan membina semula replika-replika monumen yang berkaitan.

Kita boleh merujuk kepada manuskrip-manuskrip lama seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan lain-lain rujukan untuk mengenalpasti apa lagi monumen yang boleh dibina seperti mana kerajaan Negeri Melaka pernah membina replika Istana Kesultanan Melayu Melaka dengan merujuk kepada manuskrip-manuskrip lama ini.

Walau pun Kerajaan Negeri Melaka sebelum ini telah lama membina semula replika Istana Kesultanan Melayu Melaka di Bandar Hilir namun Kota A Famosa nampaknya masih lagi menjadi ikon yang popular yang mengingatkan orang ramai terhadap Negeri Melaka.

Hakikat bahawa monumen yang merujuk kepada penjajah lebih banyak daripada monumen tinggalan Kesultanan Melayu Melaka adalah satu kenyataan yang tidak boleh disangkal. Tapi dalam masa yang sama kerajaan dan rakyat Negeri Melaka pula harus bekerja keras untuk menonjolkan monumen yang merujuk kepada Kesultanan Melayu Melaka agar ia lebih popular dan diingati berbanding monumen yang berasaskan penjajah.

Penulis pernah membaca tentang jong dan ghali yang merupakan jenis kapal yang dibina oleh orang Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Jong dan ghali yang dibina oleh orang Melayu pada zaman itu dikatakan besar dan tinggi. Lebih tinggi dari kapal Portugis. Sehingga dikisahkan tentera Portugis terpaksa memanjat untuk masuk ke dalam jong tentera Melaka ketika mereka menyerang Melaka.

Antara jong yang terkenal ialah Mendam Berahi yang dipunyai oleh Hang Tuah seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Hang Tuah. Kerajaan Negeri Melaka sebelum ini telah membina replica kapal Portugis Flor De La Mar. Apa kata kita bina pula jong Mendam Berahi berasaskan kepada maklumat dari buku Hikayat Hang Tuah?

Tapi jangan disalahtafsirkan apa yang penulis cuba sampaikan. Bukan kita mahu menjadi seperti Taliban di Afghanistan yang meruntuhkan monumen lama Buddha kerana dianggap tidak sesuai dengan imej negara Islam. Itu adalah sesuatu yang keterlaluan. Itu bukan yang penulis maksudkan dan jauh sekali untuk berfikiran sempit dan ekstrem.

Kita percaya bahawa apa sahaja monumen bersejarah yang ada dalam negara kita ini perlu dipelihara dan dipulihara sebagai bahan sejarah samada ia berkaitan dengan sejarah bangsa kita sendiri atau berkaitan dengan penjajah selain sebagai tarikan pelancongan.

Cuma yang cuba penulis tekankan dalam rencana ini ialah ikon sejarah yang berkaitan dengan penjajah tidak seharusnya menenggelamkan ikon warisan sejarah bangsa kita sendiri. Ikon sejarah tinggalan penjajah tidak seharusnya menjadi lambang atau logo kepada apa-apa organisasi di Negeri Melaka ini seolah-olah menjadi satu penghormatan kepada ikon tersebut.

Di peringkat kita mungkin boleh memahami. Tapi kita bimbang generasi akan datang akan keliru dengan jatidiri warisan bangsa mereka sendiri dan melupakan sejarah penjajahan yang merupakan titik hitam dalam perjalanan bangsa.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah