Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Pemikiran G25 Bahaya, Mesti Disekat

1553
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

16 JAMADIL AWWAL 1441H  l  12 JANUARI 2020

PEMIKIRAN G25 BAHAYA, MESTI DISEKAT

Bismillahirrahmanirrahim

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menemplak kenyataan kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 yang secara terang-terangan mengkritik undang-undang murtad dengan mengatakan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya antara individu itu dengan Tuhan.

2. Pemikiran G25 tersebut amat bahaya kerana boleh merosakkan akidah apabila mendakwa bahawa menghukum murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama. Malahan mereka secara jelas mendakwa kesalahan murtad tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran.

3. Kebebasan beragama bukanlah menjadi hujah untuk menafikan hukuman di dunia yang sabit dari al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas. Kebebasan beragama menurut perspektif yang sebenar ialah tidak memaksa orang bukan Islam untuk menganut Islam berdasarkan ayat 256 dalam Surah al-Quran.

لَاۤ إِكۡرَاهَ فِی ٱلدِّینِۖ

Maksudnya :
Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam) – [Surah Al-Baqarah 256]

4. Kebebasan beragama bukanlah bermaksud membuka pintu orang yang telah menganut agama Islam boleh menukar agama selainnya. Ini kerana telah sabit bahawa orang yang murtad dan jika diminta taubat namun enggan bertaubat, terdapat hukuman yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah SWT :

وَمَن یَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِینِهِۦ فَیَمُتۡ وَهُوَ كَافِرࣱ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ

Maksudnya :
“Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).” – [Surah Al-Baqarah 217]

Hadith dari Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

“Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah ia” – riwayat al-Bukhari

5. Keberanian yang ditunjukkan oleh G25 ini dilihat apabila pihak kerajaan PH pada hari ini berlembut dengan membuka ruang kepada kumpulan-kumpulan yang berpemikiran songsang dan liberal.

6. Buktinya pada 16 Disember 2019, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy menyatakan keputusan kerajaan menarik balik pengharaman buku oleh G25 dalam atas alasan selaras dengan Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

7. DUPP mendesak pihak kerajaan untuk tidak lagi berlembut dengan mengambil tindakan tegas terhadap G25 dan apa sahaja kumpulan bagi menyekat pemikiran yang merosakkan akidah umat Islam serta mencabar kedudukan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan.

8. Sikap kerajaan PH yang ada pada hari ini, sangat tidak konsiaten dengan isu-isu agama Islam juga akan melahirkan masyarakat yang tidak berpegang dengan nilai-nilai harmoni dalam agama, sehingga akhirnya mereka menukar agama. Sikap ini akan menyebabkan munculnya situasi tidak aman dan mampu mencetus situasi kebencian agama di dalam negara.

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)