Home Artikel PAS Melaka

Rencana : BUDAYAKAN PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT MENERUSI USRAH

136
SHARE
Dr Azman Yusof – Setiausaha Lajnah Tarbiyah
dan Perkaderan PAS Negeri Melaka

Oleh : Dr. Azman Yusof

Menurut Perlembagaan PAS (Pindaan 2011), fasal 6(2) menyatakan bahawa PAS memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran; ekonomi dan sosial; serta pelajaran dan pendidikan. Matlamat murni ini wajar dijunjung tinggi oleh setiap ahli PAS daripada segenap lapisan.

Antara strategi parti bagi merealisasikan hasrat tersebut ialah dengan membudayakan pendidikan sepanjang hayat dalam kalangan ahli menerusi usrah, liqa’ fikri, munaqasyah dan lain-lain.

Dari segi konsepnya pendidikan sepanjang hayat bukanlah sesuatu yang baharu. Islam sejak awal-awal lagi menyatakan bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib sejak daripada dilahirkan sehinggalah ke hari kematiannya. Hal ini tersirat melalui hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud ‘tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad’.

Konsep pendidikan sepanjang hayat ini mula terkenal dalam kalangan sarjana pendidikan Barat apabila satu laporan oleh Paul Lengrand, pegawai yang bertanggungjawab ke atas Biro Pendidikan Dewasa (Adult Education Bureau), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1965 yang menyatakan bahawa pendidikan tidak sepatutnya terhenti pada usia kanak-kanak atau remaja tetapi ia perlu berterusan sepanjang hayatnya.

Manakala, dalam satu laporan UNESCO yang lain bertajuk “Learning To Be” menyatakan bahawa capaian kepada pendidikan tidak sepatutnya dihadkan kepada golongan elit atau kepada mereka yang berada dalam lingkungan umur tertentu sahaja. Sebaliknya, ia perlu dibuka-luaskan kepada seluruh masyarakat.

Dengan kata lain, pendidikan sepanjang hayat ialah pendemokrasian pendidikan di mana proses pembelajaran tidak akan berakhir walaupun seseorang itu telah meninggalkan alam pendidikan secara formal.

Menurut Knassel, Meed dan Rossetti (2000), kepentingan pendidikan sepanjang hayat ini dapat dikenalpasti menerusi tiga sebab utama iaitu employment (pekerjaan), empowerment (memberi kuasa) dan enjoyment (keseronokan).

Employment bermaksud menerusi pendidikan sepanjang hayat seseorang itu dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran baru yang akan memudahkannya untuk meningkat atau memperolehi sesuatu pekerjaan.

Empowerment pula bermaksud apabila seseorang atau sesebuah negara itu mempunyai daya saing yang tinggi maka secara tidak langsung mereka mempunyai lebih keupayaan atau kuasa untuk menentukan hala tuju yang hendak di capai.

Manakala, enjoyment pula bermaksud proses pendidikan sepanjang hayat merupakan suatu keseronokan kepada mereka yang cintakan ilmu dan kebenaran.

Dalam erti kata lain, konsep pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan peluang pekerjaan tetapi untuk memperkayakan jiwa dan minda melalui ilmu pengetahuan.

Dalam konteks keperluan parti, pendidikan sepanjang hayat dapat melahirkan amilin yang berwibawa; mempunyai kemampuan intelektual yang tinggi, mahir dalam bidang tertentu, memahami tasawwur Islam yang jelas serta memiliki etos yang kuat dalam memberikan pencerahan dalam kehidupan masyarakat. Sungguhpun tidak menggunakan jenama pendidikan sepanjang hayat, PAS telah lama mempraktikkannya melalui program dalaman parti.

Berdasarkan pengalaman penulis, ada sebahagian ahli PAS yang hanya mendapat pendidikan formal tahap menengah sahaja tetapi mampu mengupas isu-isu agama, sosial, ekonomi dan politik secara matang dan bernas. Kemampuan ini bukanlah diperolehi secara kebetulan tetapi setelah melalui proses tarbiyah dalam parti secara berterusan. Mereka kekal di dalam parti dan wala’ dengan kepimpinan walaupun ada sahabat yang ‘melompat’ kerana terpesona dengan sedikit habuan dunia.

Salah satu aktiviti pendidikan sepanjang hayat ialah menerusi usrah. Ia bolehlah di anggap sebagai pintu gerbang iaitu laluan bagi meningkatkan pengetahuan khususnya dalam pendidikan agama tanpa sekatan masa, umur dan tempat. Apatah lagi, usrah adalah sunnah Rasulullah SAW terutamanya ketika negara Islam belum ditegakkan.

Menurut Haji Idris Haji Ahmad, Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat, pelaksanaan usrah mestilah berpandukan kepada manhaj yang tersusun sebagaimana yang telah diusahakan oleh Lajnah Tarbiyah Dan Perkaderan Pas Pusat (LTPPP) melalui Nizam Tarbiyah PAS yang mengandungi panduan, silibus dan tajuk-tajuk usrah yang mesti dihadami.

Sehingga kini LTPPP menerusi unit penerbitannya telah menghasilkan buku-buku Taarif 1 dan 2, Takwin 1 dan 2, Tanfiz 1 dan 2, Nizam Tarbiyah, Tamrin Asas dan lain-lain lagi. Setiap ahli PAS seharusnya memiliki buku-buku tersebut sebagai pedoman ketika berusrah.

Walau bagaimanapun, usaha untuk membudayakan ahli supaya mengutamakan ilmu pengetahuan melalui pendidikan sepanjang hayat seperti usrah bukanlah sesuatu yang mudah dan mengambil masa yang singkat. Anggapan pendidikan hanya penting bagi tujuan mencari kerja dan berakhir setelah memperolehi ijazah menyebabkan konsep pendidikan sepanjang hayat dipandang sepi oleh sesetengah pihak.

Lebih parah lagi sekiranya ada ahli parti yang hanya berminat isu-isu politik sahaja dan mengetepikan program pendidikan seperti usrah. Malah, ada ahli yang masih belum faham sehingga tidak dapat membezakan di antara usrah dengan majlis ilmu.

Lantaran itu, mereka tidak mendapat maklumat parti yang tepat kerana tidak hadir ke program usrah baik di peringkat kawasan mahupun cawangan. Akibatnya, parti akan kerugian kerana tanpa ilmu dan transformasi ke atas ahlinya maka mustahil dapat melahirkan aktivis yang faham dengan matlamat dan halatuju parti yang hendak dibawa.

Cabaran seterusnya ialah bagaimana untuk memastikan kualiti usrah berada pada tahap atau piawaian yang telah ditetapkan oleh parti. Hal ini kerana tahap penguasaan ilmu agama dalam kalangan ahli adalah berbeza. Ada yang mempunyai pengetahuan agama pada tahap yang rendah, sederhana dan tinggi. Perbezaan ini kadangkala menyukarkan naqib dan naqibah untuk membuat pengisian yang sesuai dan releven kepada semua pihak.

Justeru itu, LTPPP dan LTPPN hendaklah memantau agar manhaj usrah yang telah diselaraskan itu diguna pakai di semua peringkat. Dengan penstrukturan Majlis Nuqaba’ Pas Pusat yang telah diluluskan pada 12 Oktober 2019 yang lalu diharapkan mampu memantapkan lagi aktiviti usrah di semua peringkat dan secara tidak langsung membudayakan pendidikan sepanjang hayat dalam kalangan ahli PAS.

Penulis ialah Setiausaha Lajnah Tarbiyah
dan Perkaderan PAS Negeri Melaka


Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)