Home Artikel PAS Melaka

Rencana : MANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN DENGAN MENZIARAHI ‘ORANG TUA’

264
SHARE
Dr Azman Yusof
Setiausaha Lajnah Tarbiyah & Perkaderan PAS Negeri Melaka

Oleh : Dr. Azman Yusof

Musim cuti persekolahan hujung tahun sudah bermula. Ia adalah waktu yang paling ditunggu-tunggu oleh anak-anak dan ibubapa. Anak-anak gembira kerana dapat berehat buat sementara daripada beban persekolahan.

Manakala, bagi ibubapa pula dapat memanfaatkan cuti tahunan bersama anak-anak dengan merancang pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti pergi melancong, menghadiri program motivasi, dan lain-lain.

Selain itu, antara perkara yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin sempena cuti persekolahan ini ialah dengan membawa anak-anak pulang ke kampung menziarahi ‘orang tua’ dan saudara mara.

Kelapangan ini usah disia-siakan sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud, ”Ambillah peluang yang lima, sebelum datang lima yang lain; masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum fakirmu, hidupmu sebelum mati mu, masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Bagi masyarakat Melayu, frasa kata ‘orang tua’ sering digunakan bagi merujuk kepada keadaan ibubapa yang telah tua atau lanjut usia. Islam menganjurkan supaya anak-anak mengasihi dan menghormati ‘orang tua’nya sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Isra’, ayat 23 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sudah tua dan berada dalam jagaan kamu, maka janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Jelas sekali, jika perkataan ‘ah’ sudah tidak dibolehkan dalam Islam, apa lagi perbuatan lain yang boleh menyinggung perasaan ibubapa. Malah budaya masyarakat Melayu masih mempercayai konsep ‘ketulahan’ di mana seseorang itu boleh ditimpa atau mendapat musibah akibat daripada melakukan perkara yang menyinggung perasaan orang tua .

Malangnya, kita sering mendengar keluhan ‘ seorang ibubapa boleh menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibubapa’.

Peribahasa Melayu mengatakan: “kasih bapa sepanjang jalan, kasih ibu membawa ke syurga”. Ungkapan ini secara tersirat memberi gambaran bahawa nilai kasih sayang ibubapa yang tiada tolok banding terhadap anak-anaknya.

Perasaan ini juga ‘ tidak lapuk dek hujan; tidak lekang dek panas’ iaitu kekal abadi walaupun usia anak-anaknya telah menginjak dewasa. Demi kasih sayang, tanggungjawab membesar dan mendidik anak-anak tidak dianggap beban sebaliknya menjadi motivasi kepada ibubapa untuk berusaha menambahkan pendapatan bagi memenuhi keperluan anak-anak dengan lebih gigih lagi.

Justeru, anak-anak hendaklah mengenang jasa ibubapa terutama yang telah berada di dalam kategori warga emas memerlukan lebih perhatian. Sebaliknya, hindarkanlah daripada bersifat ‘seperti kacang lupakan kulit’, iaitu melupakan budi baik orang tua dan melayani mereka ‘seperti duri sebatang terbuang’, iaitu tinggal di dalam keadaan miskin dan tidak dipedulikan.

Realiti hidup hari ini tidak memungkinkan semua anak-anak tinggal sebumbung atau berdekatan dengan rumah ibu bapa. Namun, anak-anak tidak boleh menjadikannya sebagai suatu alasan untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap orang tuanya.

Cukupkah dengan mengirimkan wang setiap bulan, maka tanggungjawab tersebut telah dilunaskan? Atau menziarahi orang tua ketika musim-musim tertentu sahaja seperti hari raya dan sebagainya?

Sebenarnya, wang ringgit bukanlah segala-galanya. Apa yang mereka perlukan adalah perhatian berterusan dan belaian kasih sayang serta penghormatan yang wajar. Oleh itu, ziarahilah orang tua sekerap mungkin, paling tidak sebulan sekali supaya hati mereka rasa terhibur. Islam sangat menyanjungi jasa ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah ‘mengutamakan orang tuanya’ dalam setiap perkara.

Dalam sebuah hadis, dari Abdullah bin Amr berkata: Ada seorang yang datang kepada Rasulullah seraya berkata: Aku datang demi berbaiat kepadamu untuk berhijrah. Namun, kedua orang tua ku menangis ketika aku meninggalkannya. Maka sabda Rasulullah s.a.w.: Kembalilah kepada orang tua mu dan buatlah keduanya tertawa sebagaimana engkau membuat keduanya menangis.

Manakala, dalam sebuah hadis yang lain, dari Abdullah bin Umar berkata: Saya mempunyai seorang isteri yang saya cintai. Namun, Umar membencinya, dan dia mengatakan kepadaku; ceraikanlah dia! Aku enggan menceraikannya. Maka Umar datang kepada Rasulullah lalu menyebutkan kejadian itu. Maka, Rasulullah berkata kepadaku: Ceraikanlah dia.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidhi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Jelas sekali, betapa orang tua perlu dihormati. Salah satu cara menunjukkan rasa hormat tersebut ialah dengan cara menziarahinya selalu jika tinggal berasingan. Amalan menziarahi orang tua ini bukan sahaja boleh menggembirakan hati mereka, bahkan juga merupakan satu ibadat.

Dalam budaya masyarakat Melayu juga, anak-anak sering didedahkan dengan cerita-cerita lagenda seperti Kisah Si Tanggang, Malim Kundang dan sebagainya yang mengingatkan kita supaya tidak melupakan jasa orang tua. Oleh itu, menziarahi orang tua adalah satu amalan murni.

Justeru, sempena cuti penggal persekolahan akhir tahun yang panjang ini, gunakanlah kesempatan tersebut dengan salah satu aktiviti wajibnya ialah dengan membawa anak-anak pulang menziarahi orang tua dan saudara mara.

Kunjungan tersebut bukan sahaja mendapat ganjaran pahala oleh Allah swt tetapi juga dapat mengeratkan lagi hubungan diantara ibubapa dengan anak cucunya. Sesibuk mana sekalipun, ambillah cuti dan jadikanlah ia satu budaya dalam masyarakat kita dan kekal diwarisi generasi seterusnya.

Penulis ialah Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan & AJK Dewan Ulama’ PAS Negeri Melaka


Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)