Home Berita PAS Melaka

Rencana : Kumpulan G25 Jangan Jadi Ejen Perpecahan Ummah

1234
SHARE

Oleh : Dr. Azman Yusof

Kumpulan G25 diingatkan tidak cuba menjadi ejen perpecahan ummah dengan menimbulkan pelbagai polemik dan isu yang berkaitan dengan perundangan Islam di negara ini. Sebagai warga tua yang berpengalaman (bekas penjawat awam kanan berbangsa Melayu dan beragama Islam), mereka sepatutnya memberikan pandangan yang konstruktif dalam sesuatu isu, berpandangan jauh ke depan dan berfikiran panjang. Bak kata Tenas Effendy dalam ungkapannya; ‘apa tanda Melayu beradat, pada yang adil ia menempat, pada yang benar ia bertempat’.

Malangnya kumpulan ini ibarat “bodoh tidak dapat diajar, cerdik tidak dapat diikut” apabila terus melontarkan pandangan-pandangan yang dangkal dan jauh tersasar daripada epistemologi Islam. Nasihat penulis, jangan jadikan demokrasi sebagai pentas untuk bebas bercakap dan mengelirukan masyarakat dengan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Hayatilah firman Allah s.w.t. dalam Surah al- Israk, ayat 36 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya kelak pasti akan dimintai tanggung jawabnya.”

Dan firman-Nya lagi dalam Surah al-Qaff, ayat 18 yang bermaksud: “Apapun kata yang terucap pasti disaksikan oleh Raqib dan ‘Atid.”

Terkini, Kumpulan G25 ini mengkritik undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan dan menyifatkan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya adalah urusan antara individu itu dengan Tuhan; tidak ada hukuman duniawi ke atasnya yang diperuntukkan dalam Al Quran. Demikian menurut kertas laporan yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga merupakan wakil G25 bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam” sebagaimana yang dilaporkan oleh malaysiakini.com bertarikh 11 Januari 2020.

Laporan itu juga mengatakan undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama. Hujah mereka ialah Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, 3 hak yang berbeza, iaitu, hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya. Oleh itu, tidak ada asas yang dibenarkan perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang.

Selain itu, Kumpulan G25 mendakwa penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mengikut perlembagaan. Kumpulan itu berkata, tiada peruntukan dalam perlembagaan untuk penubuhan organisasi berkenaan kerana perkara-perkara berkaitan agama orang Islam dan adat Melayu adalah bidang kuasa eksklusif badan perundangan negeri dan majlis eksekutif negeri. Mereka menegaskan, kuasa Majlis Raja-raja sebagaimana yang ditetapkan dalam Perkara 38 Perlembagaan, tidak termasuk menubuhkan sebuah agensi persekutuan seperti MKI atau Jakim.

Dalam ruangan yang terhad ini, penulis tidak berhasrat untuk berhujah terhadap segala dakwaan dangkal mereka. Sebenarnya telah ramai pakar-pakar dalam bidang pengajian Islam, perundangan, perlembagaan, dan sejarah yang menulis tentang isu-isu berkenaan secara tuntas. Justeru, pada pendapat penulis, isu ini sengaja dipolemik dan disensasikan kerana agenda tertentu dengan mengambil kesempatan ketika cuaca politik yang tidak menentu ketika ini.

Penulis ingin mengajak pembaca membuat sedikit sorotan mengenai fahaman yang menolak peranan agama dalam kehidupan manusia. Fahaman ini muncul hasil dari gerakan sekularisasi di Eropah pada abad ke-16, iaitu pemisahan semua aspek kehidupan dan pemikiran daripada asosiasi agama dan arahan kerohanian. Fahaman sekular mempunyai beberapa ciri utama, iaitu:

• Menolak agama dalam kehidupan
• Bersifat dualisme
• Bersifat liberal
• Materialistik
• Mengutamakan akal rasional
• Pemisahan agama dan negara

Daripada ‘rahim’ sekularisme ini telah melahirkan satu fahaman baru iaitu liberalisme. Ia adalah fahaman yang mempertahankan autonomi individu menentang campur tangan masyarakat. Dengan kata lain, ia merupakan satu bentuk pemikiran yang bertujuan untuk meningkatkan kebebasan terhadap individu.

Keruntuhan Empayar Uthmaniyah dan kejayaan kuasa Barat menguasai dan menjajah negara-negara Islam telah melahirkan umat Islam yang kerdil jiwa dan lemah imannya. Akhirnya muncul golongan reformis yang cenderung kepada Barat mendakwa bahawa kemunduran umat Islam adalah disebabkan oleh penyelewengan daripada ajaran Islam yang sebenar. Maka, di atas tiket ini, mereka lantang mengkritik tafsiran-tafsiran ulama tradisional sebagai punca umat Islam lesu kerana terbelenggu dengan dogma tradisi dan budaya taqlid.

Kelompok umat Islam yang terdidik dengan acuan pendidikan Barat ini sangat terpesona dan mudah terpengaruh dengan faham sekular-liberal yang kononnya menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kemodenan. Rentetan daripada itu, lahirlah Gerakan Islam Liberal yang pada esensinya juga mempunyai prinsip-prinsip yang sehaluan dengan pemikiran pluralisme agama.

Menurut Charles Kurzman (1998), prinsip-prinsip utama yang dijadikan asas oleh Gerakan Islam Liberal ini ialah:
• Menghilangkan faham eksklusivisme agama
• Menganggap semua agama adalah sama
• Menolak autoriti agamawan
• Menganjurkan pelaksanaan syariat merentasi agama-agama lain
• Mendukung konsep transcendent unity of religions and transcendant unity of God

Meneliti pandangan G25, tampak jelas gagasan pemikirannya yang sealiran dengan fahaman Islam Liberal sebagaimana yang disimpulkan oleh Charles Kurzman dalam bukunya Islam Liberal: A Source Book. Maka tepatlah seperti yang dikatakan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika ditanya tentang kenyataan oleh G25: “Ini adalah sebahagian fahaman liberalisma, urusan agama diuruskan oleh individu dan pemerintah negara tidak berhak campurtangan agar kehendak mereka tercapai tanpa gangguan.”

Justeru, umat Islam hendaklah berhati-hati dengan gerakan liberalisme ini yang boleh merosakkan akidah dan menimbulkan perpecahan ummah. Pihak berwajib juga hendaklah mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum fahaman liberal ini mencengkam dan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia yang harmoni ini.

Penulis ialah AJK Dewan Ulama PAS Negeri Melaka