Home Berita PAS Melaka

Rencana : KUKUHKAN PERPADUAN UMMAH MENERUSI DAKWAH BIL HIKMAH

718
SHARE
Dr Azman Yusof
Setiausaha Lajnah Tarbiyah & Perkaderan PAS Negeri Melaka

Oleh : Dr. Azman bin Yusof

Sekali air bah, sekali pasir berubah. Namun, langit tetap biru dan indah. Begitulah analogi penulis terhadap lanskap politik tanahair pasca pilihanraya ke-14 selepas ditimpa badai ‘tsunami’ politik.

PAS juga turut tidak terkecuali daripada menerima tiupan angin perubahan apabila akhirnya bertaut kembali dengan musuh politiknya iaitu UMNO di bawah payung Perpaduan Ummah. Namun, prinsip  PAS tetap sama dan tidak berubah.

Benar! Dari  sudut politiknya PAS belum berjaya ke Putrajaya, namun daripada aspek dakwahnya PAS telah berjaya membuat perubahan yang signifikan apabila pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dipeloporinya telah disambut baik oleh kebanyakan parti politik termasuk daripada komponen parti lawan.

Kemuncaknya ialah apabila termeterainya satu piagam kerjasama PAS-UMNO di PWTC pada 14 September 2019 yang lalu. Pendekatan BPMS dan Kerjasama politik ini telah membuka ruang dakwah yang lebih luas kepada PAS untuk menonjolkan matlamat murni perjuangannya yang disirnakan sebelum ini.

Dakwah dari segi bahasa bermaksud seruan, ajakan, panggilan dan nasihat. Manakala pengertian dakwah dari segi istilah pula ialah ajakan atau panggilan kepada kebenaran atau kesejahteraan iaitu panggilan atau ajakan kepada ajaran Islam dan mengamalkannya.

Dalam erti kata yang lain, dakwah ialah satu seruan ke arah melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam Surah Ali Imran, ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang dari segala perkara yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah”.

Tanggungjawab melaksanakan amar ma’ruf  dan nahi munkar dijelaskan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud: ”Barang siapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu, hendaklah (mengubahnya) dengan lidahnya. Jika sekiranya tidak (juga) berkemampuan, maka hendaklah (mengubahnya) dengan hati. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman” (Sahih Muslim).

Namun uslub dan medan  berdakwah mempunyai pelbagai cara dan wadah. Antaranya ialah menerusi kerjasama politik, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan, kesenian dan sebagainya.

Dalam kepelbagaian ini,  dakwah bil hikmah perlulah sentiasa dijadikan panduan. Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud:”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Uslub dakwah yang dibentang secara tidak langsung oleh ayat di atas ialah:
a) Hikmah
b) Nasihat-nasihat yang baik
c) Bertukar-tukar fikiran dengan cara yang lebih baik.

Antara medan berdakwah yang sangat berkesan ialah menyampaikan dakwah bil hikmah. Ia dapat diaplikasikan  menerusi kerjasama politik seperti Perpaduan Ummah yang mana sasaran dakwahnya lebih inklusif dan melangkaui semua kaum.

Oleh hal yang demikian, dakwah bil hikmah sama ada dalam bentuk dakwah bil lisan mahupun dakwah bil hal hendaklah dipertingkatkan baik diperingkat pusat, negeri, kawasan mahupun cawangan  bagi mendekati segenap lapisan masyarakat yang mad’unya semakin luas dan kompleks. Dengan pemahaman terhadap BPMS, dakyah politik terhadap PAS dapat ditepis dan seterusnya dapat memperkukuhkan lagi agenda perpaduan ummah.

Pendekatan dakwah bil hikmah yang boleh dilaksanakan dalam konteks perpaduan ummah ini ialah dakwah bil lisan dan dakwah bil hal. Contoh program dakwah bil lisan ialah Ceramah Perpaduan Ummah, Sembang Santai, Sarapan Bersama Pemimpin, Street Dakwah dan lain-lain yang mendapat kerjasama daripada semua pihak.

Manakala, contoh program dakwah bil hal adalah berbentuk ziarah ukhuwah, khidmat masyarakat, ramah mesra bersama penduduk serta kumpulan sasar dan lain-lain lagi.

Program seperti ini memerlukan penglibatan ahli untuk turun padang menghayati denyut nadi masyarakat terutama ketika berhadapan dengan musibah banjir dan menjelang musim persekolahan 2020 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Biarpun, program-program dakwah yang dinyatakan di atas bukanlah sesuatu yang asing bagi aktivis PAS, namun, dengan wujudnya kerjasama politik ini, program-program tersebut perlulah lebih inklusif dan diperkasakan lagi kerana ahli UMNO khususnya dan Barisan Nasional amnya tidak lagi melihat PAS sebagai ancaman tetapi rakan baik yang boleh dipercayai. Kesempatan ini tidak boleh dipersia-siakan; hayati dan sambutlah kata-kata Presiden PAS:-

”Kita ingin mencipta sejarah baru untuk generasi yang akan datang, dengan kembali semula kepada penyatuan umat dan bangsa mengikut acuan petunjuk Allah bagi mencapai kejayaan itu.”

Penulis ialah Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Negeri Melaka