Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Kerajaan Melaka perlu galak nelayan terokai laut dalam

158
SHARE
Gambar hiasan (Kredit Foto: Google)

Oleh IBNU JANIE

KERAJAAN Melaka kini giat dalam usaha membangunkan koridor Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang meliputi kawasan tambakan pesisir pantai sejauh 20 kilometer.

Pembangunan ini bakal mewujudkan tiga buah pelabuhan bertaraf dunia iaitu Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), Pelabuhan Tanjung Bruas dan Melaka Gateway.

Namun projek-projek ini yang melibatkan banyak kawasan pantai sudah tentu akan melibatkan nelayan pantai yang bakal terjejas mata pencarian mereka. Di pihak nelayan sudah pasti mereka mahukan pampasan yang setimpal dengan kehilangan mata pencarian mereka.

Mungkin kerajaan akan membayar pampasan dan mereka berpuas hati lalu memulakan kerjaya lain seperti berniaga. Namun dengan membuatkan mereka ‘pencen’ daripada menjadi nelayan secara makronya boleh membahayakan masa depan keselamatan makanan negara. Selain kemahiran yang mereka ada sebagai nelayan terkubur begitu sahaja.

Memang sebahagian besar daripada hasil tangkapan ikan adalah daripada nelayan pantai seperti ini. Jika mereka tidak lagi menjadi nelayan, bekalan ikan akan berkurangan. Ini akan menjurus kepada kebergantungan kepada ikan import yang tidak baik pada negara dalam jangka panjang.

Gambaran Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) – (Kredit foto: Google)

Penulis mencadangkan agar pihak kerajaan Negeri Melaka menjalankan usaha ke arah menaik taraf nelayan-nelayan ini agar menjadi nelayan laut dalam sebagai salah satu item dalam pampasan yang bakal diberikan. Bukan sekadar membayar tunai begitu sahaja.

Pampasan ini akan dijadikan modal kepada mereka untuk membentuk satu perusahaan nelayan laut dalam dengan menggabungkan semua nelayan ini mengikut zon persatuan nelayan sedia ada.

Mungkin mereka boleh menggunakan koperasi nelayan kawasan sedia ada sebagai syarikat yang mengendalikan perusahaan ini. Pihak kerajaan juga boleh memberi sokongan dalam bentuk geran atau pinjaman melalui skim-skim sedia ada agar dapat membolehkan mereka menceburi bidang ini.

Kuala Linggi International Port (KLIP) – (Kredit foto : Google)

Mereka akan menjadi pemilik perusahaan ini melalui pegangan saham koperasi dan dalam masa yang sama mereka akan bekerja di dalam perusahaan ini sebagai awak-awak dan mendapat gaji. Selain gaji, sebagai pemegang saham, mereka juga akan menerima keuntungan bersih daripada hasil perusahaan jualan ikan ini.

Perkara ini mungkin sesuatu yang tidak mampu mereka lakukan secara bersendirian namun dengan bergabung mereka boleh menceburi usaha ini.

Walau pun pada masa kini mereka bernaung di bawah koperasi, namun mereka menangkap ikan secara bersendirian dengan bot sendiri. Dan hasilnya mereka makan sendiri. Ini menjadikan mereka tidak mampu untuk meningkatkan penggunaan teknologi.

Penulis percaya dengan menceburi bidang perikanan laut dalam, nelayan-nelayan tradisional ini boleh meningkatkan pendapatan mereka secara purata berbanding cara tradisional.

Dengan cara ini kerajaan dapat meningkatkan taraf mereka daripada nelayan tradisional kepada nelayan moden berteknologi tinggi. Sesuai dengan Revolusi Industri 4.0 yang sedang berkembang pada masa ini.

Segala kemahiran yang mereka ada akan dapat dipertingkatkan. Penggunaan teknologi tinggi dan automasi akan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti menangkap ikan nelayan ini.

Gambar hiasan (Kredit foto: Google)

Selain itu juga faktor sinergi boleh menjadikan mereka mendapat hasil yang lebih baik apabila terlibat dalam perusahaan nelayan laut dalam.

Maksud penulis jika dahulu mereka menangkap ikan bersendirian, seorang nelayan boleh menangkap katalah satu tan ikan sebulan. Ini bermakna 10 orang nelayan jumlah tangkapan mereka ialah 10 tan sebulan.

Namun apabila mereka bekerja dalam kumpulan dan menggunakan teknologi yang lebih tinggi, 10 orang nelayan tadi mungkin boleh menghasilkan tangkapan berjumlah 15 tan sebulan berbanding 10 tan semasa bersendiri. Apa yang penting, kerjasama!

Sebarang pembangunan tidak boleh dilihat sebagai menguntungkan satu pihak tetapi merugikan satu pihak yang lain. Dengan menaik taraf nelayan pantai ìni maka mereka turut sama mendapat faedah pembangunan yang berlaku agar tidak ada yang dilihat terpinggir atau teraniaya.

Harus ada satu pelan transformasi untuk menambahbaikan sosioekonomi mereka agar mereka boleh bergerak seiring dengan pembangunan pesat yang bakal mengubah landskap kampung halaman mereka ini yang kini sudah pun sampai di muka pintu rumah mereka.

Terokai dan selami laut dalam. Mungkin ada ‘harta karun’ berharga sedang menunggu para nelayan ini yang bakal mengubah nasib mereka.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak 1 Oktober 2021

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.