Home Rencana PAS Melaka

Pena editor Melaka | Melakan Visit Melaka, sokong pemulihan industri pelancongan

162
SHARE

MULAI hari ini kerajaan Negeri Melaka mula membuka semula sektor pelancongannya selaras dengan peralihan negeri ini daripada Fasa 2 ke Fasa 3 program Pelan Pemulihan Negara (PPN) Covid-19.

Namun pembukaan ini tidak untuk pelancong luar Melaka. Hanya untuk orang Melaka yang tinggal di dalam Melaka sahaja. Kempen ini yang dipanggil ‘Melakan Visit Melaka’ sebenarnya telah bermula sejak penghujung tahun lepas sebagai langkah membantu industri pelancongan di Melaka yang terjejas akibat pandemik ini.

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Melaka (Kredit foto : Google)

Langkah ini adalah langkah untuk persediaan ke arah pembukaan sepenuhnya apabila seluruh negara sudah mencapai imuniti kelompok. Ia juga untuk melihat kesannya terhadap penularan Covid-19 samada ia boleh menyebabkan peningkatan semula pandemik itu atau tidak di negeri ini.

Pembukaan ini adalah dengan pematuhan SOP yang ketat dengan tahap 50 peratus daripada kapasiti asal. Sebagai contoh, jika sesuatu lokasi lawatan itu boleh memuatkan 100 orang dalam satu-satu masa maka untuk kali ini hanya 50 orang sahaja boleh berada di situ pada satu-satu masa.

Ini merupakan sesuatu yang agak melegakan pemain-pemain industri pelancongan di Melaka samada pemain besar atau kecil.

Pemain-pemain kecil seperti penarik beca, penjaja, pengusaha-pengusaha warung makan, penjual-penjual cenderahati yang beroperasi di sekitar kawasan tumpuan pelancongan dapat juga bernafas dengan pembukaan ini.

Taman Buaya Melaka (Kredit foto: Google)

Penulis juga berharap agar rakyat Melaka dapat menyokong kempen ini. Ramai antara rakyat Melaka yang selama ini mencari rezeki dalam sektor ini sangat terjejas apabila ekonomi ditutup.

Mereka yang berkemampuan boleh berbelanja sekarang dengan bersiar-siar dan melancong di dalam negeri untuk merancakkan kembali ekonomi rakyat negeri Melaka.

Bagi yang mempunyai lebihan wang jika terlalu berjimat pun tidak baik untuk ekonomi secara keseluruhan atau pun makro.

Ekonomi ini saling berkait antara satu sama lain. Dengan menyokong lokasi-lokasi pelancongan seperti muzium, Menara Taming Sari dan premis-premis pelancongan yang dimiliki oleh kerajaan negeri dapat memberikan hasil kepada kerajaan. Dengan hasil itu dapat digunakan untuk membantu rakyat.

Begitu juga dengan premis-premis pelancongan swasta. Dengan mengunjunginya mereka dapat menggajikan pekerja dan perniagaan-perniagaan kecil yang bergantung dengannya dapat hidup. Ia juga membawa hasil kepada kerajaan negeri dalam bentuk cukai.

Mungkin dengan berbelanja menyokong program Melakan Visit Melaka ini mereka yang dapat diselamatkan dari segi hasil pendapatan ini adalah adik-beradik, saudara-mara, jiran-jiran dan kawan-kawan kita sendiri.

Jom sokong Melakan Visit Melaka!

IBNU JANIE
EDITOR
Berita PAS Melaka dan WARM

 

 

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.