Home Berita PAS Melaka

Rencana | Kenaikan harga minyaķ sawit, apa solusinya? (Bahagian 1)

243
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini kita berhadapan dengan isu kenaikan harga runcit minyak masak sawit. Ini sebenarnya berikutan kenaikan harga buah sawit atau dipanggil harga Tandan Buah Segar (TBS) di pasaran.

Selama berbulan-bulan juga sebenarnya kita meraikan kejayaan kerajaan menaikkan harga pasaran buah sawit yang selama ini membelenggu peneroka. Kenaikan harga sawit ini diraikan bagaikan satu rahmat kepada negara.

Panel Pemikir Strategik kepada Menteri Perladangan Dan Komoditi, Bakri Jamaluddin dalam satu hantaran Facebooknya berkata bahawa harga TBS hari ini adalah antara RM800 ke RM1000 bergantung kepada kawasan (region) dan kadar perahan minyak sawit (OER).

Bakri yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Melaka itu berkata, kadar ini adalah yang tertinggi dalam sejarah sepanjang 34 tahun penglibatan beliau dalam industri sawit.

 

Sekian lama peneroka dan pekebun kecil menderita kerana harga sawit yang rendah sejak zaman kerajaan BN lagi. Ini jika kita membandingkan harga TBS di paras RM350 ke RM450 satu tan pada tahun 2018 berdasarkan maklumat yang dinyatakan Bakri di dalam kenyataan yang sama.

Selepas jatuhnya BN pada 2018, harga sawit masih kekal rendah. Malah pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) keadaan lebih teruk lagi.

Ini ditambah dengan kegilaan pemimpin PH pada masa itu hendak tunjuk garang kepada dunia antarabangsa akhirnya beberapa negara memboikot minyak sawit kita. Antaranya India dan beberapa negara lain.

Sudahlah memang selama ini negara-negara Eropah tidak putus-putus memburukkan minyak sawit, datang PH menambah derita industri ini. Maka harga sawit makin jatuh. Peneroka dan pekebun kecil makin menderita.

Kita jangan lupa bahawa salah satu penyebab calon PH kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada November 2019 dulu ialah kerana kelancangan kata-kata calonnya pada ketika itu yang meminta agar pekebun kecil sawit bersyukur dengan harga sawit yang sangat rendah pada ketika itu. Pada ketika itu harga sawit ialah RM270 satu tan.

Pada masa itu antara PH dan BN terpaksa bertanding siapa yang kurang teruk dan siapa yang lebih teruk antara situasi peneroka dan pekebun kecil sawit yang sudah teruk itu. BN kata PH teruk, harga sawit jatuh pada RM270 satu tan. PH kata zaman BN lagi teruk, pernah jatuh sampai RM87 satu tan.

Jadi, logiknya sekarang ini sepatutnya adalah tempoh untuk kita merayakan kejayaan apabila nasib peneroka dan pekebun kecil terbela dengan harga TBS yang mencecah RM1000 satu tan. Tapi itukah realitinya?

Kenaikan harga sawit bom jangka

Sebenarnya memang sebelum ini penulis sudah melihat bahawa situasi ini akan menjadi bom jangka yang akan meletup juga. Kenaikan harga buah sawit yang dijual peneroka tidak mungkin tidak menyebabkan harga minyak sawit di pasaran tidak naik sekali.

Dan pada hari ini segala yang akan terjadi telah terjadi. Rakyat sudah mula bising dengan kenaikan harga minyak sawit di pasaran. Kemakmuran yang dinikmati peneroka dan pekebun kecil sawit umpama membina mahligai daripada air mata rakyat pula.

Sebenarnya isu ini sama juga dengan isu minyak petrol. Apabila harga petroleum tinggi kerajaan suka kerana ia memberi hasil yang tinggi kepada Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar petroleum. Tapi sebagai timbal baliknya rakyat pula terpaksa menanggung beban harga petrol yang tinggi.

Namun apabila harga petroleum rendah banyak negara-negara pengeluar petroleum yang terjejas teruk. Ada negara-negara OPAC yang berbangga kerana menjual petrol dengan harga murah untuk rakyatnya terpaksa menaikkan harga runcit petrol di pasaran dalam negara mereka sendiri.

Ia mewujudkan situasi paradoks. Yang mana pilihan terbaik sebenarnya? Harga petrol yang tinggi menyebabkan kerajaan boleh memberikan pembangunan terbaik untuk rakyat tetapi kos sara hidup rakyat meningkat, atau harga petrol yang rendah dengan kos sara hidup rakyat yang rendah tetapi tidak banyak pembangunan dapat dilakukan kerajaan kerana kurangnya hasil kerajaan?

Begitu juga dengan isu minyak sawit ini. Mana yang lebih bagus, harga minyak sawit rendah dan rakyat tidak perlu berbelanja lebih tetapi peneroka sawit menderita kerana harga buah sawit rendah, atau, harga buah sawit tinggi dan peneroka serta pekebun kecil hidup senang tetapi rakyat keseluruhan menderita kerana kos sara hidup meningkat kerana harga minyak sawit tinggi?

Iya, sudah tentu pembaca semua akan menyebut tentang satu elemen penting dalam kerajaan iaitu subsidi. Baiklah.

Minyak masak bersubsidi

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan bahawa, untuk 12 juta rakyat daripada golongan B40, kerajaan telah menyediakan minyak masak sawit dengan harga subsidi RM2.50 dengan pek satu kilogram meskipun harga modal di kilang telah menjangkau RM5.00.

Katanya, kerajaan membayar untuk subsidi purata 720,000 tan setahun atau sebanyak 720 juta pek minyak masak satu kilogram yang dikeluarkan.

 

Menurut Khairuddin dengan jumlah itu, sekiranya ia dibeli oleh semua 32 juta orang rakyat Malaysia tidak kira B40, M40 atau T20, setiap orang boleh menikmati 1.8 kilogram minyak sebulan dengan harga subsidi.

Sekiranya, keluarga dengan lima orang ahli bererti satu keluarga boleh menikmati purata sembilan kilogram minyak masak bersubsidi sebulan.

Minyak masak bersubsidi (Kredit foto : Google)

Baik, jika minyak masak bersubsidi ini boleh dibeli dengan mudah terutama oleh golongan B40 maka ia belum lagi menjadi satu masalah besar. Namun sekiranya minyak masak bersubsidi ini sangat sukar didapati maka di situ masalah sudah mula timbul.

Daripada carian penulis terhadap laporan-laporan media satu dua hari ini memang ada akhbar yang melaporkan wujud situasi kekurangan minyak masak pek satu kilogram dengan harga subsidi tadi.

Ini bermakna strategi penyelesaian kepada masalah kenaikan harga minyak sawit dengan memperkenalkan pek 1kg berharga subsidi nampaknya tidak benar-benar dapat mengatasi masalah ini.

Sebenarnya dalam mengatasi isu melibatkan urusan ekonomi ini ia memerlukan satu penyelesaian yang holistik dan makro iaitu mesti mengambil kira kesan kepada keseluruhan sistem.

Menjadikan harga buah sawit tinggi untuk mengkayakan peneroka dan pekebun kecil sahaja menyebabkan rakyat menderita kerana peningkatan kos sara hidup dengan harga minyak yang tinggi. Mengekalkan harga sawit rendah sahaja memang boleh mengurangkan sara hidup rakyat tetapi sampai bila imej peneroka dan pekebun kecil kekal sebagai kerjaya orang miskin?

Penyelesaian satu pihak sahaja akan menjadi situasi umpama selimut yang pendek. Nak tutup kepala nampak kaki, nak tutup kaki nampak kepala. Jadi ia perlu ada solusi menang-menang yang dapat mengatasi kesemuanya.

Namun ‘solusi menang-menang’ ini cakap memang senang! Perbincangan terhadap isu ini bukan satu perkara yang mudah. Ia memerlukan kajian mendalam secara holistik dengan mengambilkira semua faktor dan situasi.

Insya-Allah dalam siri rencana bahagian 2 yang akan datang penulis akan membincangkan persoalan benarkah subsidi sebagai jalan terbaik kepada ekonomi dalam mengatasi masalah kenaikan harga sawit ini?

Penulis adalah Ketua Editor CPP Berita PAS Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Editor Berita PAS Melaka

Rencana ini juga telah disiarkan di e-Harakah  pada 14 Jun 2021