Home Melaka

Rencana | Kemerdekaan sebenar menurut Islam

120
SHARE

Oleh USTAZ ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN

NEGARA kita yang tercinta, Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi. Ianya disambut meriah saban tahun bagi mengenang ulang tahun kemerdekaan negara daripada genggaman penjajah dan mengingati perjuangan tokoh-tokoh yang terdahulu. Namun, timbul persoalan di hati, apakah maksud sebenar kebebasan, kemerdekaan, dan cinta akan tanah air?

Kebebasan yang kita perlu fahami adalah apabila seseorang manusia itu kembali mengenali dirinya adalah hak milik penuh Penciptanya, dirinya bebas daripada mana-mana individu, idealogi, dan sebarang kekuasaan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Itulah maksud sebenar kebebasan dan kemerdekaan. Kita melaksanakan perintah dan syariat tuhan dengan penuh kebebasan.

Imam Diponegoro (Kredit imej : Google)

Mari kita renung kalam sahabat Rasulullah S.A.W, Saidina Rabi’ bin Amir kepada panglima Parsi, Rustum. Beliau dengan berani menyatakan tujuan kedatangan Islam membuka tanah-tanah jajahan Parsi adalah kerana :

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد الى عبادة الله، ومن ضيق الدنيا الى سعتها،ومن جور الاديان الى عدل الاسلام

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah; daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang; daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Kalimah syahadah yang kita lafazkan setiap hari, adalah kalimah kebebasan. Bebas daripada takut kepada siapa-siapa. Bebas daripada takut kepada kezaliman mana-mana kuasa, meyakini sepenuhnya Allah adalah tuhan empunya segala kekuasaan.


Cinta Negara

Terdapat kalam yang masyhur :

حب الوطن من الإيمان.

“Cinta pada tanah air sebahagian daripada iman.”

Mencintai tanah air itu adalah fitrah manusia yang mulia. Tanah air adalah tempat kita dilahirkan dan dibesarkan. Di situ kita hidup dan tinggal bersama keluarga tercinta.

Lalu, apakah yang menghalang kita selain mencintai tanah air yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita? Ianya adalah rezeki daripada Allah.

Badiuzzaman Said Nursi (Kredit imej : Google)

Perjuangan menentang kuasa-kuasa luar daripada menjajah tanah air adalah perjuangan mulia yang perlu kita kenang dan hayati. Perjuangan ini adalah sunnah Rasulullah S.A.W. Ramai tokoh-tokoh Islam yang melalui perjuangan ini. Tulisan ini hanya menyenaraikan beberapa tokoh yang perlu dikaji dan diterokai oleh kita semua.

Yang teragung ialah Rasulullah S.A.W sendiri yang memimpin umat Islam mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh Kerajaan Rom Byzantine dalam Perang Tabuk (630M).

Selain itu di Nusantara kita ada Haji Miskin, Imam Diponegoro yang melaungkan seruan jihad menentang Belanda dalam Perang Paderi (1822-1837) dan Perang Jawa (1825-1830).

Seterusnya, Badiuzzaman Said Nursi, seorang sufi, menyertai angkatan tentera Khilafah Uthmaniah sebagai sukarelawan bersama anak-anak muridnya dalam menghadapi gabungan kuasa-kuasa besar dalam Perang Dunia Pertama (1914 – 1918).

Syeikh Umar Mukhtar, seorang pengikut Tariqat Sanusiah, menentang kemaraan penjajah Kolonial Itali di Libya (1911-1943). Di Malaysia pula kita ada Tuan Guru Hassan bin Munas /Tok Janggut (1853-1915). Perang melawan British di Kelantan.

Umar Mukhtar (Kredit imej : Google)

Penjajahan abad moden 

Dahulu, musuh menjajah kita dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataan. Mereka menakluki kita dengan kuasa dan kekerasan. Kini, serangan penjajah berubah bentuk. Serangan mereka sekarang lebih menakutkan. Senjata mereka kini adalah budaya dan pemikiran yang menyesatkan.

Dahulu, jika mereka menjajah tanah air kita, rakyat yang dijajah tidak akan terus tunduk. Mereka yang dijajah akan membentuk generasi baharu yang akan menyambung legasi perjuangan menentang penjajah.

Tuan Guru Hassan bin Munas /Tok Janggut (Kredit imej : Google)

Sekarang, generasi kita dijajah dengan fahaman dan idealogi yang menyebabkan generasi kita lupa akan asal keturunan mereka malah mereka merosakkan bangsa mereka sendiri dan menjadi hamba kepada penjajah abad moden ini.


Jihad zaman moden

Menjadi tanggungjawab kita sebagai mahasiswa Islam dan umumnya umat Islam untuk menghadapi ‘perang pemikiran’ ini dengan panduan wahyu, ilmu dan dakwah yang berhikmah.

Firman Allah S.W.T :

اُدۡعُ اِلٰى سَبِيۡلِ رَبِّكَ بِالۡحِكۡمَةِ وَالۡمَوۡعِظَةِ الۡحَسَنَةِ� وَجَادِلۡهُمۡ بِالَّتِىۡ هِىَ اَحۡسَنُ�ؕ..

“Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang terbaik…”

Kita perlulah melengkapi diri kita dengan senjata ilmu dan semestinya kekuatan kesatuan yang jitu dalam menyelamatkan manusia daripada memperhambakan diri mereka kepada fahaman yang menyeleweng dan rasa kebergantungan mereka pada kuasa pemerintah yang zalim. Juga memperbetulkan salah faham terhadap agama Islam itu sendiri.

Semoga Allah merahmati kita semua dalam usaha menyebarkan sinar Islam kepada masyarakat yang semakin tenat.

Penulis adalah graduan Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar al-Syarif

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH