Home Berita PAS Sabah

Tema ‘Mat Kilau’ pupuk semangat patriotik pelajar

126
SHARE

1 September 2022
Oleh : Yusrizal Baco

LAHAD DATU : ‘Mat Kilau’ menjadi tema sambutan kemerdekaan peringkat SRITI Tahfiz Lahad Datu bagi memupuk semangat patriotik di kalangan pelajar.

Pengarah program, Nizam Latuah berkata, tema tersebut diambil bagi mendidik pelajar memperingati jasa pahlawan terdahulu dalam mendaulatkan negara.

“Sangat penting untuk kita mengajar anak-anak tentang apa itu erti kemerdekaan supaya sejarah kemerdekaan tidak terkubur ditelan zaman,” ujar Nizam yang juga Ahli Majlis Daerah Lahad Datu sempena sambutan kemerdekaan di sini, Selasa lepas.

Sementara itu, menurut Pengerusi SRITI Tahfiz Lahad Datu, Mohd Zaki Ibrahim pula, kepahlawanan orang Melayu terdahulu tidak hanya dihiasi dengan kemahiran ilmu persilatan semata-mata, bahkan mereka juga tinggi ilmu pengetahuan agama.

“Perkara ini menunjukkan bahawa ilmu duniawi dan ukhrawi itu tidak terpisah antara satu sama lain, bahkan saling melengkapi antara satu sama lain,” ujarnya ketika merasmikan majlis.

Beliau menyatakan sangat beruntung bagi sesiapa sahaja anak-anak yang belajar di SRITI, kerana mereka bukan sahaja didedahkan dengan ilmu agama bahkan juga ilmu duniawi.

Turut hadir sama Guru Besar SRITI Tahfiz Lahad Datu, Abdul Razik merangkap Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Lahad Datu.

Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Perarakan Kemerdekaan, Pertandingan Mewarna, Kuiz Kemerdekaan, Teka Silang Kata Edisi Merdeka dan Pertandingan Busana Pakaian Zaman Mat Kilau.

Sambutan itu diserikan lagi dengan persembahan daripada Persatuan Seni Silat Tangkas Lahad Datu oleh Cikgu Andik.

Turut hadir empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lahad Datu, bagi membantu mengawal keselamatan sepanjang Perarakan Kemerdekaan berlangsung.