Home Berita PAS Pulau Pinang

PAS Balik Pulau siap sedia dan fokus satu lawan satu hadapi PRU-15

74
SHARE

OLEH AMIRUL SYAHMI

BALIK PULAU, 1 SEPTEMBER – Keluhuran PAS yang mempunyai susur galur daripada perjuangan ulama terdahulu dan telah berakar umbi sebelum bermulanya penjajahan di Tanah Melayu perlu dijadikan ikhtibar kepada jentera untuk bersedia serta memberi sepenuh fokus kepada gerak kerja kemenangan terhadap musuh utama PAS iaitu PH – DAP serta meneruskan perdamaian antara parti-parti Melayu di Pulau Pinang.

Hal ini ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr. Zuhdi Marzuki dalam majlis pelancaran jentera Pilihan Raya PAS parlimen Balik Pulau di Markaz PAS Kampung Perlis dalam kawasan DUN Pulau Betong.

Beliau turut memberikan ucapan dan taujihad dengan penuh semangat dalam menyuntik tekad para jentera untuk bersiap menghadapi kemungkinan PRU-15.

Dr Zuhdi dalam ucapannya menyeru seluruh rakyat, penyokong dan parti politik orang Melayu untuk bersatu di bawah agenda penyatuan ummah.

Pelancaran ini menjadi isyarat bahawa bahang Pilihan Raya Umum ke-15 semakin terasa serta melihatkan juga komentar-komentar serta gelombang persediaan PRU daripada para pimpinan parti politik yang lain.

Majlis Pelancaran Jentera ini bermula dengan pelbagai aktiviti seperti konvoi ARC, Sembang Santai Pemuda bersama Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang,aktiviti memanah dan menunggang kuda seterusnya majlis istighasah serta kemuncaknya ialah Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Parlimen Balik Pulau.

Ustaz Muhammad Fauzi Yusuf pula dalam ucapannya menegaskan bahawa pelbagai masalah dan krisis telah timbul di negeri ini sepanjang berada di bawah pemerintahan DAP.

Perlaksanaan projek-projek yang berfokus kepada golongan mewah dan langsung tidak memberikan manfaat kepada komuniti dan rakyat Pulau Pinang dan ditambah pula dengan isu pembinaan penempatan asrama warga asing di kawasan Teluk Kumbar dan Sungai Batu yang sudah tentu mendatangkan lebih banyak implikasi buruk serta kesan negatif kepada penduduk Balik Pulau khususnya.

Beliau turut menyatakan bahawa PAS Balik Pulau akan terus memfokuskan seruan penyatuan ummah serta berusaha memastikan pertandingan satu lawan satu harus dijadikan agenda utama di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar dan aku janji Jentera Pilihan Raya PAS Balik Pulau serta pimpinan-pimpinan PAS dan kawasan-kawasan bantu dari seluruh Pulau Pinang yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Balik Pulau, Saudara Mohd Razis.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha PAS Pulau Pinang, saudara Iszuree Ibrahim, Timbalan YDP PAS Balik Pulau, Cikgu Mohd Taufik Hashim, Timbalan JPRN Pulau Pinang, Tuan Hussain Sazlan, Ketua Pemuda PAS Negeri Ustaz Fawwaz Mad Jan serta pimpinan PAS negeri, AJK PAS kawasan Pemuda,Muslimat dan Ulama serta wakil cawangan-cawangan.