Home Berita PAS Melaka

Rencana | Kartel projek – apa tak kena dengan sistem ‘cut-off’?

1183
SHARE
Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini ‘meletup’ isu ‘kartel projek’. Sebelum ini ‘kartel daging’. Banyak betul rupanya kartel di Malaysia ni!

Menurut laporan media sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta dibekukan dalam siasatan kes kartel projek ini.

Kartel projek ini dikatakan diketuai oleh seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun yang membolot projek kerajaan menerusi tender dan sebut harga bernilai lebih RM3.8 bilion! Banyak betul! Difahamkan, sindiket itu sudah beroperasi sejak 2014 hingga 2021.

Dalam isu kartel projek ini penulis melihat bahawa antara yang menjadi alat manipulasi kartel ini ialah sistem ‘cut-off’ yang diamalkan oleh kerajaan dalam menentukan pemenang tender atau sebut harga.

Dalam sistem ‘cut-off’ ini kerajaan tidak mengambil yang terendah sebagai pemenang sesuatu sebut harga. Ia mengambil mereka yang paling hampir dengan bajet yang ditetapkan oleh kerajaan.

Begini, apabila kerajaan mengeluarkan sesuatu sebut harga atau tender (sebut harga – nilai bawah RM500 ribu / tender – nilai lebih RM500 ribu) mereka sudah mempunyai anggaran harga yang mereka akan bayar pada kontraktor untuk projek itu. Mereka ada maklumat harga bahan mentah.

Namun begitu, nilai bajet ini dirahsiakan daripada kontraktor. Nanti apabila semua sebut harga sudah diterima, lima syarikat yang meletakkan harga paling hampir dengan harga bajet yang ditetapkan oleh kerajaan itu akan disenarai pendek. Kemudian beberapa faktor lain akan diambilkira dalam menentukan mana antara syarikat ini yang akan dipilih.

Sebenarnya ramai kontraktor yang tidak faham dengan sistem ‘cut-off’ ini. Kerana itu kita banyak mendengar kontraktor-kontraktor yang meluahkan rasa pelik mengapa mereka yang meletakkan harga yang lebih tinggi boleh memenangi sebutharga atau pun tender itu.

Dalam sistem ini bukan harga terendah yang dipilih. Mereka ada pengiraannya. Namun sistem ini membuka ruang kepada kecurangan.

Yang pertama kontraktor akan cuba untuk mendapatkan nilai bajet bagi projek itu. Dengan mengetahui nilai bajet sesuatu projek mereka boleh meletakkan harga berhampiran dengan harga bajet. Jadi mereka ada peluang cerah untuk menang tender atau sebut harga itu.

Di sini letaknya potensi kecurangan bahawa pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat mungkin menerima sogokan untuk mendedahkan maklumat sulit kerajaan ini.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Yang kedua selepas lima syarikat itu disenarai pendek, maka di situ ahli jawatankuasa tender atau sebut harga memainkan peranan untuk memilih syarikat mana yang dirasakan layak berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

Maka di sini rasuah akan memainkan peranan besar. Kriteria yang menjadi faktor pemilihan itu mungkin sekadar menjadi wayang untuk merasionalkan pemilihan yang memang sudah dirancang.

Tujuan sebenar sistem ‘cut-off’

Pada asalnya mengapa sistem ‘cut-off’ ini dilaksanakan adalah untuk mengelakkan kontraktor daripada tersilap meletak harga di bawah kos yang akan menyebabkan kontraktor rugi dan menyebabkan projek terbengkalai dan kontraktor lari.

Memang kesilapan ini boleh berlaku. Sesetengah kontraktor yang tidak sempat membuat ‘homework‘ tentang kos sebenar projek yang mereka ingin bida, cenderung untuk melakukan kesilapan ketika mengira kos.

Kerana harga mereka yang terendah lalu mereka menang bidaan. Akibatnya selepas projek berjalan baru mereka sedar perkara ini. Akhirnya projek terbengkalai!

Memang banyak perkara di luar jangka boleh berlaku. Kadangkala mereka tidak perasan faktor persekitaran dan muka bumi yang menyebabkan mereka bakal menanggung kos tambahan.

Gambar hiasan – jentera excavator (Kredit foto : Google)

Sebagai contoh, katalah mereka perlu menggunakan jentera excavator. Excavator ini perlu dihantar dengan ‘trailer‘ panjang. Ia tidak boleh bergerak sendiri di atas jalan raya kerana rodanya berantai.

Namun oleh kerana terlepas pandang jalan ke tapak pembinaan yang sempit menyebabkan mereka terpaksa memecahkan pagar. Pagar yang terpaksa dipecahkan perlu dibina semula dan ini akan jadi kos tambahan.

Jika kontraktor itu seorang yang teliti, mereka akan menjangkakan perkara ini dan memasukkan kos ini ke dalam pengiraan dari awal lagi.

Kerana itulah kontraktor wajib untuk hadir lawatan tapak. Jadi dengan melihat sendiri tapak lokasi, mereka boleh menjangkakan bagaimana sesuatu kerja pembinaan itu akan dilakukan. Mereka juga boleh menjangkakan segala halangan yang mungkin meningkatkan kos projek.

Berbalik kepada isu kartel projek yang dikatakan membolot tender kerajaan, mereka dikatakan memasuki tender dengan mewujudkan syarikat-syarikat boneka yang didaftarkan atas nama ramai individu.

Yang sebenarnya syarikat itu adalah milik seseorang individu sahaja namun penama-penama tadi diberi gaji bulanan sebagai habuan. Bilangannya juga bukan sedikit. 644 akaun individu dan syarikat yang dilaporkan media menggambarkan berapa banyak syarikat boneka yang telah diwujudkan untuk masuk tender ini.

Gambar hiasan – Tender dewan makan antara sasaran kartel projek (Kredit foto : Google)

Kewujudan kartel ini juga dikaitkan dengan manipulasi sistem ‘cut-off’ ini. Seperti yang penulis terangkan tadi dalam sistem ‘cut-off’ ini kerajaan telah mengira satu anggaran nilai yang wajar untuk sesuatu projek.

Secara lebih terperinci, harga wajar yang ditetapkan oleh kerajaan tadi sebenarnya juga menjadi salah satu indikator, namun yang lebih tepat sebenarnya, semua sebut harga itu akan dijumlahkan dan nilai min (purata) kepada semua harga itu akan diambilkira sebagai penentu selain nilai harga wajar yang telah ditentukan oleh kerajaan.

Jadi, jika sesuatu kartel itu menghantar banyak syarikat maka mereka sebenarnya boleh mewujudkan satu nilai ‘min harga’ yang dimanipulasi. Contohnya jika ada 100 syarikat yang masuk harga, 70 daripadanya sebenarnya datang daripada satu kartel, maka mereka boleh ‘membina’ satu nilai ‘min harga’ yang memihak kepada mereka.

Malah nilai ‘min harga’ yang mereka manipulasi itu boleh jadi lebih tinggi daripada nilai wajar yang telah dikira oleh kerajaan. Jadi kerajaan akhirnya akan mengikut harga yang ‘dicipta’ oleh kartel tadi.

Kembali kepada sistem harga terendah

Ramai juga yang berpendapat lebih baik pihak kerajaan menggunakan sistem harga terendah kerana ia lebih telus dan kurang pertikaian selain ia mengurangkan kebarangkalian berlakunya rasuah.

Untuk mengatasi masalah kesilapan dalam menganggar kos projek yang sering dikaitkan dengan sistem harga terendah ini, penulis cadangkan agar pihak JKR atau CIDB menyediakan kalkulator pengiraan dalam talian yang mempunyai senarai terkini kos bahan binaan yang sentiasa dikemaskini.

Sebenarnya JKR memang ada menyediakan buku (bercetak) panduan harga untuk kontraktor, namun dalam realiti harga bahan binaan sebenarnya kerap berubah. Ini menyebabkan mereka tidak dapat mengira dengan tepat kos projek.

Dengan menggunakan sistem harga terendah ia lebih dilihat telus dan tiada pertikaian. Walau pun sistem harga ‘cut-off’ ini bertujuan untuk mengelakan kerugian kepada kontraktor namun jika isu tersalah anggar kos tadi dapat diatasi maka kejadian seperti ini dapat dielakkan.

Dan sudah tentu yang untung adalah kerajaan dan rakyat kerana mereka dapat melaksanakan sesuatu projek dengan harga yang rendah dan menjimatkan wang pembayar cukai selain sukar dimanipulasi.

Penulis adalah Ketua Editor CPP-Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah (cetak) pada 16 April 2021 bilangan 2641

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

.         SAMBAL IBU SARI        .