Home Melaka

Rencana | Haji Mohd Diah pertahan Maahad Ar Rahmah dari diroboh

141
SHARE

Oleh IBNU JANIE

DIA tidak pernah belajar sehingga ke menara gading, tetapi lebih 50 orang guru berkelulusan ijazah daripada pelbagai bidang yang mengajar di Maahad Ar Rahmah, Solok Gaung berada di bawah kelolaan beliau yang merupakan pengasas dan pengerusi maahad tersebut.

Beliau adalah Haji Mohd Diah Abdul, 85, atau lebih mesra disapa ‘Pak Ngah’ oleh mereka yang sebaya atau peringkat lebih bawah umur penulis adalah seorang pimpinan veteran PAS yang istiqamah dan telah melalui pelbagai ujian sepanjang perjalanan jauhnya itu.

Haji Mohd Diah Abdul, 85

Beliau juga pernah beberapa penggal menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan sebelum berundur untuk memberi peluang kepada muka-muka baharu.

Penulis berpeluang untuk menemuramah beliau baru-baru ini semasa bersama-sama dengan team Jabatan Penerangan PAS Melaka ke sekolah beliau bagi membuat video korporat sekolahnya untuk satu majlis yang bakal berlangsung di sekolah ini tidak lama lagi.

Majlis itu adalah untuk merasmikan sebuah dewan serbaguna berhawa dingin sekolah ini yang turut menempatkan empat buah gelanggang badminton yang bernilai hampir RM1 juta. Dewan ini bakal dirasmikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ustaz Idris Ahmad tidak lama lagi.

Dewan yang bakal dirasmikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Islam)

Sebenarnya penulis memang sudah lama merancang untuk mendokumentasikan kisah-kisah melibatkan Assabiqun di negeri Melaka ini. Setakat ini belum ada lagi usaha mengarkibkan sejarah mereka ini yang penulis sifatkan mereka sebagai buku sejarah PAS Melaka.

Keinginan meluap-luap untuk mendokumentasi riwayat hidup tokoh-tokoh veteran ini timbul apabila penulis melihat seorang demi seorang antara mereka yang dipanggil mengadap Ilahi. Dan mereka pergi bersama khazanah dan pengalaman berharga bersama PAS yang tidak sempat direkodkan buat pedoman dan tatapan generasi akan datang.

Haji Mohd Diah bukan sebarangan tokoh. Beliau bersahabat dengan tokoh-tokoh besar. Antaranya mantan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dr Haron Din. Malah almarhum adalah penaung kepada sekolah ini sejak sekian lama. Tidak hairan di sini menjadi lokasi pusat rawatan Darul Syifa bagi Negeri Melaka.

Bercerita tentang masa depan sekolah ini beliau berkata bahawa Almarhum Dr Haron Din memang ada menyimpan hasrat agar sekolah ini akan berstatus kolej satu hari nanti. Cuma Haji Mohd Diah berpendapat ia sesuatu yang besar dan tidak mampu dilakukan dalam masa terdekat.

Sekolah yang mula beroperasi pada tahun 1986 ini pada mulanya hanyalah sebuah sekolah tadika TASKI sebelum ditukar kepada PASTI apabila tadika ini mula diperkenalkan penghujung 1980an.

Bangunan awal semasa sekolah mula dibina

Kemudian sekitar awal 1990an Sekolah Rendah Islam (SRI) mula beroperasi diikuti oleh sekolah menengah pula pada sekitar awal tahun 2000 yang menggunakan silibus Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Sekolah ini berkembang kerana sikap Haji Mohd Diah yang sangat mementingkan soal pendidikan agama. Pada beliau, selepas PASTI, anak-anak ini perlu ada kesinambungan dalam pendidikan Islam mereka. Kerana itu ditubuhkan sekolah rendah, kemudian sekolah menengah secara berperingkat-peringkat.

Sekolah ini berada di tapak tanah yang diinfakkan oleh ibu saudara beliau. Dan kaum keluarga beliau antara penyumbang penting pembangunan maahad ini. Anak beliau Dahlan Mohd Diah, 53, adalah orang kuat yang sentiasa berada di sebelah membantu beliau yang semakin uzur.

Dahlan Mohd Diah

Beliau cukup bersemangat apabila bercerita tentang pahit getirnya berdepan tekanan kuat daripada parti kerajaan sebelum ini yang menurut beliau ‘siang malam’ memikirkan bagaimana hendak menutup sekolah ini.

Pernah di tahun 1994, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan arahan agar bangunan sekolah yang baru sahaja siap agar dirobohkan. Pada masa itu katanya orang-orang kampung yang bersimpati dan ahli-ahli PAS dari kawasan lain mengadakan solat hajat setiap malam di tapak sekolah ini memohon bantuan Allah SWT. Dan akhirnya usaha itu gagal.

Katanya pada masa itu pimpinan Umno yang mempunyai kuasa tidak tidur malam memikirkan bagaimana untuk menyekat sekolah itu. Namun orang PAS lebih lagi bersemangat mempertahankan sekolah itu walau apa pun terjadi.

Inilah Haji Mohd Diah. Cuma pertemuan itu lebih banyak membincangkan tentang usahanya membangunkan maahad ini. Penulis berharap sangat untuk menulis sejarah lengkap beliau dalam perjuangan politik pula.

Penulis adalah Editor Harakah, Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Pusat

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 20 Jun 2022