Home Berita PAS Melaka

Rencana | Gotong-royong kerajaan dan rakyat berdepan Covid-19

251
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PAS telah melancarkan Tabung Bencana Covid-19 pada 1 Jun lepas bagi bersama-sama kerajaan membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19. Kejayaan PAS sebelum ini mengutip lebih RM16 juta untuk fasa pertama Tabung Aid4Palestine dilihat antara motivasi kuat untuk tabung ini.

Kutipan Tabung Bencana Covid-19 PAS Pusat ini seterusnya akan dikutip oleh Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri. Dengan sumbangan ini maka PAS akan dapat memainkan peranan dalam membantu rakyat yang terkesan disebabkan Covid-19.

Wakil-wakil rakyat PAS Kedah contohnya telah bersetuju menyumbang 70 peratus gaji mereka untuk bulan Jun untuk tabung ini. Ini selaras dengan tindakan menteri dan timbalan menteri kerajaan pusat yang memotong tiga bulan gaji untuk disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana bagi Covid-19 Malaysia.

Dan usaha untuk membantu kerajaan dalam menghadapi masalah Covid-19 ini tidak terhad kepada golongan ahli politik sahaja, malah kakitangan awam juga tidak kètinggalan turut menyumbang.

Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana dalam tempoh tiga bulan.

Jumlah keseluruhan sumbangan daripada 800,000 orang penjawat awam ini dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Begitulah kita dapat lihat bagaimana kerajaan dan rakyat bergotong-royong saling bantu membantu untuk menangani bencana ini.

Namun begitu ada juga kedengaran cakap-cakap belakang seolah-olah kerajaan sedang menjarah pendapatan penjawat awam untuk menampung belanja memerangi Covid-19. Astaghfirullahalazim!

Pada hal jumlah pemotongan pun tidak terlalu tinggi atau membebankan. Untuk Gred 29 hingga Gred 41, sekadar RM10 seorang sahaja yang dipotong. Petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 pula tidak terlibat dengan pemotongan ini.

Harus difahami bahawa apabila rakyat diminta untuk membantu kerajaan itu bukan pula bermaksud kerajaan lepas tangan. Ia juga bukan bermaksud bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab.

Satu perkara yang kita bimbang ialah kita tidak mahu negara kita berada dalam situasi kehabisan dana untuk melawan Covid-19. Ini sudah berlaku pada banyak negara

Memang ramai yang mungkin berfikir bahawa kerajaan boleh mencetak wang untuk membantu raķyat dan kerajaan memang mempunyai dana yang takkan habis. Ini pemikiran yang sangat silap.

Banyak negara yang pada masa sekarang terpaksa meningkatkan hutang mereka untuk membiayai kos melawan Covid-19 di negara masing-masing. Hutang-hutang ini pula ada hadnya. Selain ada hadnya, pada saat tiba tempoh matang pula negara boleh muflis jika tidak mampu membayarnya.

Sebenarnya pada masa ini sudah banyak negara yang sudah berputus asa dan berserah dalam melawan Covid-19. Mereka sudah tidak lagi mempunyai dana untuk menentang Covid-19. Kita tidak mahu negara kita termasuk di dalam negara-negara seperti ini.

Seperti yang penulis selalu tekankan bahawa hakikat sebenarnya bukan semua rakyat terkesan dengan bencana Covid-19. Malah ada pihak-pihak yang mendapat durian runtuh daripada bencana ini.

Antaranya industri pembuatan sarung tangan dan industri berkaitan kesihatan adalah antara yang meraih keuntungan besar daripada bencana ini. Malah ada sesetengàh syarikat seperti ini yang nilai sahamnya meningkat lebih 30 kali ganda berbanding sebelum berlaku bencana ini.

Syarikat-syarikat seperti ini perlu menunaikan tanggungjawab sosial syarikat dengan menyumbangkan dana membantu rakyat yang terkesan.

Usaha dan ikhtiar keluar daripada masalah

Perkara lain yang boleh dibuat oleh rakyat untuk membantu kerajaan ialah dengan berusaha untuk membantu diri sendiri. Segala masalah yang mendatang bukan untuk menjadikan kita terus pasrah dan hanya menoleh kepada kerajaan untuk memohon bantuan.

Apabila kita menjadi rakyat yang bekerja keras untuk mengukuhkan ekonomi sendiri dengan apa yang terdaya dan tidak hanya menuntut bantuan juga sebenarnya menjadi satu sumbangan kita kepada negara.

Memang ada yang tidak boleh berniaga. Memang ada yang hilang pekerjaan. Sungguh pun begitu ada ramai wira-wira kental di luar sana yang sentiasa memerah otak dan bertindak bijak bagaimana untuk keluar daripada masalah ini dan tidak hanya pasrah dan menunggu bantuan.

Sekali lagi, perkara ini bukan bermakna kerajaan lepas tangan. Tetapi pada masa ini kerajaan sendiri berada dalam masalah kewangan yang teruk. Beri peluang untuk kerajaan memberi bantuan untuk kes-kes yang sangat parah.

Para peniaga contohnya memang tidak dapat lari daripada menguasai perniagaan secara dalam talian dalam situasi Covid-19 ini. Malah ada ramai peniaga yang mengaut keuntungan besar, jauh lebih besar sebelum berlakunya Covid-19 dengan kaedah ini.

Malah rahmat ini berpanjangan pula kepada syarikat-syarikat penghantaran yang juga meningkat aktiviti perniagaannya seterusnya turut menguntungkan ‘rider-rider’ yang bekerja untuk syariķat penghantaran ini.

Jangan ambil kesempatan ambil ‘political mileage’

Sementara itu parti-parti dan tokoh-tokoh politik pula jangan mengambil kesempatan mengambil ‘milage’ politik.

Jangan sibuk menjadi batu api mendesak kerajaan membantu rakyat secara lump-sum atau secara automatik sehinggakan mereka yang tidak terkesan juga dapat manfaat. Ini merupakan sikap yang sangat tidak bertanggungjawab.

Kerajaan memang sentiasa cuba memberi yang terbaik untuk rakyat namun kerajaan sedang berada dalam kesusahan. Kerajaan akan membantu mereka yang terjejas. Segala bantuan harus bersasar. Bukan automatik untuk semua.

Tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab ini hanya akan mengganggu kelancaran usaha kerajaan untuk memerangi Covid-19. Dalam keadaan genting ini sepatutnya semua pihak bertimbang-rasa. Barulah kita boleh berjaya mempercepatkan usaha keluar daripada bencana ini.

Penulis adalah Ketua Editor CPP Berita PAS Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Editor Berita PAS Melaka

Rencana ini juga telah disiarkan di e-Harakah sebagai Komen Editor Harakah pada 14 Jun 2021