Home Berita PAS Melaka

Rencana | Genghis Khan tawan dunia selepas satukan bangsa Mongol

958
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PENULIS mula mengenali dan mengagumi Genghis Khan sewaktu penulis berusia 10 tahun lagi. Waktu itu, sekitar hujung 80-an, ada sebuah drama bersiri, kalau tak silap penulis tajuknya ‘Serigala Biru’ yang disiarkan di RTM atau TV3, mengisahkan riwayat hidup penakluk agung ini.

Penulis memang mengagumi tokoh-tokoh penakluk seperti Genghis Khan, Alexander The Great, Napoleon Bonaparte dan ramai lagi. Namun pada masa itu penulis tidak tahu bahawa dia seorang yang sangat kejam dan zalim sepanjang melakukan penaklukan itu. Namun ada sisi yang boleh kita ambil pengajaran daripada kisah ini.

Genghis Khan yang dilahirkan pada 1162 masihi sepututnya seorang yang hidup senang sebagai bangsawan kerana bapanya Yesugei merupakan seorang ketua kepada puak Borjigin. Namun nasib tidak menyebelahinya apabila ayahnya dibunuh ketika beliau berusia 10 tahun.

Ini telah menjadi permulaan kisah sukar dalam hidupnya. Walau pun dia layak untuk menggantikan ayahnya sebagai ketua puak namun puaknya tidak bersedia untuk menerima seorang kanak-kanak sebagai ketua.

Tidak sekadar dia diketepikan daripada jawatan sebagai ketua puak, dia dan keluarganya malah dibuang puaknya sendiri kerana dianggap membebankan. Ketika usianya 15 tahun pula dia pernah diculik oleh puak musuh mendiang ayahnya dan dijual sebagai hamba abdi.

Selepas menempuh segala pahit getir, dipendekkan cerita, pada tahun 1206 masihi beliau telah berjaya menyatukan puak Merkit, Naimans, Mongols, Kereit, Tatar dan Uyghur. Selepas menyatukan bangsa Mongol ini beliau akhirnya meluaskan kuasanya dengan menawan negara-negara lain.

Sebenarnya sebelum puak-puak Mongol ini disatukan oleh Genghis Khan, kehidupan masyarakat Mongol sebelum itu hidup secara normad dan berpuak-puak di samping tidak ada satu kerajaan yang kuat yang boleh mentadbir semua puak-puak terasing ini daĺam satu pentadbiran.

Direkodkan bahawa Genghis Khan telah menakluk dan menjajah seluas 12 juta batu persegi, sama besar dengan benua Afrika. Dan keluasan ini adalah terbesar pernah dilakukan oleh seseorang tokoh penakluk. Lebih luas daripada taklukan Alexander Agung dan lain-lain penakluk.

Mengapa penulis menghikayatkan sejarah Genghis Khan di dalam rencana ini? Sebenarnya ada banyak ibrah yang boleh diambil daripada sejarah penakluk kejam namun paling berjaya dalam sejarah ini.

Di Malaysia, orang-orang Islam dan Melayu mula menyedari bahawa kedudukan dan masa depan mereka semakin terancam selepas melalui 22 bulan hidup di bawah pemerintahan DAP-Pakatan Harapan (PH).

DAP-PH yang akhirnya berjaya menguasai kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) telah menunjukkan taringnya. Walau pun tidak menjadi Perdana Menteri atau hatta Timbalan Perdana Menteri sekali pun namun mereka menguasai jawatan-jawatan penting negara seperti Menteri Kewangan dan Peguam Negara.

Semua tahu bahawa DAP antara parti yang mempunyai bilangan Ahli Parlimen terbesar dalam gabungan PH itu.

Kerana sedar ancaman DAP-PH

Umno dan PAS yang menyedari bahawa pertelingkahan yang berlaku selama berpuluh tahun antara dua parti terbesar orang Melayu itu sebenarnya telah membuka ruang kepada ekstremis perkauman seperti DAP untuk berkuasa bersama sekutunya di dalam PH, maka kedua-dua parti ini telah mengikat tali persaudaraan atas nama Muafakat Nasional (MN) dengan linangan air mata pada 14 September 2019 di PWTC.

Kerana sedar tentang matlamat DAP-PH yang boleh merugikan orang Melayu dan Islam telah menyebabkan Bersatu pula meninggalkan PH selepas hampir dua tahun membentuk kerajaan. Ini telah menyebabkan kerajaan PH tumbang apabila Perdana Menteri pada masa itu Tun Mahathir Mohammad meletak jawatan.

Dan atas kesedaran itu juga maka terbentuklah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang yang dibentuk dengan persetujuan Umno, PAS dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak yang juga tidak mahu bersekutu dengan DAP-PH.

Namun persepakatan antara Umno dan Bersatu diuji dengan ujian yang sangat besar apabila nostalgia demi nostalgia diungkit dan berbagai-bagai teori konspirasi muncul yang akhirnya meretakkan hubungan yang telah dibina semasa pembentukan kerajaan baharu PN yang menggantikan PH dahulu.

PAS ingin satukan Melayu-Islam

Namun PAS terus memainkan peranan besar dalam memastikan umat Melayu yang telah ‘berperang’ sekian lama ini dapat kekal bersatu dalam satu pasukan.

Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang terus menjadi watak penting dalam memastikan bahawa orang Melayu Islam di Malaysia ini tidak terpecah lagi.

Walau pun diasak untuk memilih salah satu antara Umno atau Bersatu, Presiden PAS yang membawa aspirasi parti pimpinannya ini terus tegar dengan penyatuan semua umat Melayu, asalkan mereka tidak mahu bersekongkol dengan DAP. Turut sama dengan gagasan ini ialah orang-orang bukan Melayu yang tidak ekstrem.

Kita tidak akan boleh melakukan perubahan sekiranya kita hanya dapat membentuk kerajaan dengan majoriti yang kecil akibat daripada terlalu banyak parti Melayu yang berpecah-pecah. Lebih teruk lagi jika kita semua kalah kepada DAP-PH. Nauzubillah!

Seumpama kaum Mongol yang pada asalnya berpuak-puak dan lemah, akhirnya menjadi kuat kerana bersatu di bawah satu pemimpin begitulah perlu ia dilakukan kepada orang Melayu.

Semua orang tahu pepatah bahawa sebatang lidi mudah dipatahkan, namun apabila semua lidi diikat sebagai penyapu maka ia sangat sukar untuk dipatahkan. Ini budak sekolah pun tahu. Tapi untuk melaksanakannya tidak semua orang mampu dan sanggup.

Sekiranya kita semua bersatu dan bersepakat menentang DAP dan PH penulis percaya bahawa dengan mudah kita boleh mendapat kemenangan dua pertiga di Parlimen. Dengan kemenangan dua pertiga itu kita dapat memurnikan perlembagaan kita agar ia selari dengan kehendak aspirasi Melayu dan Islam yang merupakan majoriti di dalam negara ini.

PAS harus terus memainkan peranan umpama Genghis Khan yang menyatukan puak-puak kaum Mongol. Dengan penyatuan ini maka Melayu dan Islam akan menjadi lebih kuat. Dan tidak mustahil kita mampu menguasai dunia (dalam konteks moden) seperti yang pernah dirasai oleh nenek moyang kita di zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dahulu.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2633 bertarikh 19 Mac 2021.

Kredit foto : GOOGLE