Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Coretan menjelang Hari Kemerdekaan kali ke 64

340
SHARE

Oleh ZUHAIDI YUSOF

UMAT Islam di negara ini wajib bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang kita sedang kecapi. Dengan naungan rahmat dan hidayah Ilahi, setiap lapisan masyarakat dapat menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 tahun ini.

Seiring dengan laungan kemerdekaan, Jalur Gemilang yang dikibarkan mencerminkan kegemilangan Malaysia mewujudkan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama sebagai masyarakat harmoni dan sejahtera.

Sifat majmuk ialah realiti yang sepatutnya direnung dan dihayati manusia. Firman Allah SWT: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

Ayat ini menegaskan bahawa manusia dalam kalangan pelbagai bangsa dan bahasa boleh bersatu serta hidup dalam negara dengan aman harmoni. Ayat ini juga menyerlahkan tanda kekuasaan Allah SWT dan kebijaksanaan-Nya supaya kita berfikir dan seterusnya mengakui keesaan-Nya.

Hakikat kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan sama ada bangsa, fikiran atau kebudayaan seperti difahami kebanyakan orang, sebaliknya menurut perspektif Islam, ia bermakna kebebasan manusia untuk dapat menikmati kehidupan sesuai fitrahnya yang menjadi sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Al-Dzariyat: 56)

Manusia merdeka, hidup dalam keadaan fitrah, ketentuan dan pedoman Penciptanya, sekali gus sesuai hak asasi sebagai manusia berakal waras dan bebas melaksanakan keyakinan dengan fitrah di bawah landasan perintah dan larangan Allah SWT. Malah hidup merdeka ialah hak asasi setiap penghuni alam semesta.

Pada masa kini, kebanyakan orang Islam tersalah tafsir dalam memahami hak asasi manusia. Ia difahami hidup menurut kehendak hati dan nafsu hingga menghalalkan sesuatu yang haram dan mengharamkan perkara halal.

Mereka memahami merdeka sebagai bebas berfikir, berkehendak dan berbuat tanpa dibatasi sebarang peraturan, nilai atau undang-undang termasuk hukum syarak. Malah agama dianggap sebagai candu yang perlu disingkirkan.

Tanpa disedari, pengertian salah dan sempit menguasai pemikiran sebahagian umat Islam sebenarnya antara penjajahan moden dicanangkan Barat hingga mereka jauh daripada fitrah dan pedoman Ilahi.

Akibatnya, muncul generasi acuan Barat yang berkeperibadian materialisme, mengutamakan hawa nafsu dan mengagungkan budaya serta gaya hidup Barat.

Amat malang apabila umat Islam menguar-uarkan kemerdekaan negara sedangkan seluruh aspek kehidupan seperti pemikiran, pendidikan, ekonomi dan kebudayaan masih dikuasai idea Barat. Malah kehidupan jauh terpesong daripada aturan hakiki ditetapkan Allah SWT.

Oleh itu, umat Islam wajib menyedari hakikat memedihkan itu dan berusaha menyelamatkan diri daripada kemelut meruncing.

Satu-satunya jalan keluar ialah kembali kepada pimpinan al-Quran dan sunnah kehidupan Rasulullah yang menjadi tonggak utama kepada kemerdekaan sebenar serta kebangkitan semula umat Islam.

Akhir kata, semoga kemerdekaan pada tahun ini memberi 1001 makna kepada kita dan Malaysia. Sinar cahaya juga semakin dilihat di sebalik wabak Covid-19 ini. Semoga kemerdekaan kali ini dapat memerdekakan negara daripada wabak covid-19 ini. Dan juga memerdekakan jiwa, akal fikiran dan diri kita daripada segala dakyah yang memecahbelahkan kita semua.

Penulis adalah Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka