Home Berita PAS Perlis

Tiada bangsa merdeka mahu dijajah semula

160
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 28 Ogos: Tidak ada mana-mana bangsa merdeka di dunia yang bersedia negaranya dijajah semula oleh mana-mana kuasa asing.

Demikian dinyatakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Perlis, Mohd. Shukri Ramli, ketika ditemui pada program Kibaran Jalur Gemilang DUN Sanglang di Stesen Minyak Simpang Empat, dekat sini, semalam.

Menurutnya lagi, selaku rakyat di sebuah negara yang telah sekian lama mengecapi nikmat kemerdekaan, rakyat seharusnya menolak sama sekali sebarang bentuk penjajahan ke atas tanah air ini.

“Penjajahan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, baik secara fizikal (peperangan) mahupun bukan fizikal (ideologi, serangan pemikiran).

“Maka, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia agar mengukuhkan jati diri dan rasa cinta negara serta bersama mempertahankan kedaulatan negara kita dari dijajah semula.

“Salah satu cara yang boleh kita lakukan adalah menerusi penghayatan terhadap erti kemerdekaan dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa syukur atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi,” katanya.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Arau, Amrul Amri Chan.

Menurutnya lagi, rakyat juga perlu menolak sebarang bentuk usaha daripada mana-mana pihak yang cuba mengheret kuasa asing untuk campur tangan dalam hal-ehwal dalam negara.

Usaha berkenaan ujarnya, bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh menggugat kedaulatan negara serta keharmonian hidup rakyat.

Dalam pada itu, beliau mengajak rakyat agar terus bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan segala agenda yang telah dirancang demi kebaikan rakyat dan negara.

“Sesuai dengan tema sambutan iaitu Malaysia Prihatin, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia agar dapat sama-sama memainkan peranan membantu kerajaan dalam usaha memulihkan semula negara kita,” ujarnya.

“Malaysia Prihatin membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia turut bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha memulihkan negara di samping memerangi penularan wabak COVID-19,” katanya.