Home Berita PAS Melaka

Rencana : Cara Mudah Memahami Krisis Ekonomi Akibat Covid-19

2227
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MELIHAT kepada apa yang sedang berlaku sekarang penulis merasa begitu terpanggil untuk menerangkan kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada mereka yang tidak mempunyai latarbelakang ekonomi tentang perkara penting yang perlu difahami mereka tentang kesan Covid-19 terhadap ekonomi negara.

Dalam rencana ini penulis akan cuba untuk menerangkan kesan ini dalam bahasa paling mudah agar ia dapat difahami oleh semua peringkat dan latarbelakang pembaca.

Kesan berantai

Pertama sekali kita harus faham bahawa apa sahaja yang berlaku dalam ekonomi ini dikatakan mempunyai ‘kesan berantai’ dan kait-mengait antara semua komponen dalam negara iaitu kerajaan, pengguna dan perniagaan.

Sekarang kita lihat apa yang berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas. Hampir 90 peratus sektor ekonomi ditutup dan menyebabkan urusan jual beli tidak dapat dijalankan. Ini menyebabkan perniagaan tidak mempunyai hasil pendapatan sepanjang tempoh itu.

Ambil contoh seorang peniaga pasar malam yang menjual belon helium. Apabila PKP dilaksanakan peniaga ini tidak boleh lagi berniaga. Katalah selama ini peniaga ini mempunyai komitmen kewangan sebanyak RM2000 sebulan iaitu ansuran kereta, rumah, perbelanjaan rumah dan lain-lain lagi.

Oleh kerana dia tidak boleh berniaga maka dia pada masa ini dia tidak mempunyai pendapatan. Katakan dia mempunyai simpanan sebanyak RM4000 maka dia terpaksa menggunakan simpanannya untuk membiayai komitmennya sebanyak RM2000 sebulan tadi.

Maka dengan itu dia hanya mampu bertahan selama dua bulan tanpa pendapatan. Selepas dua bulan dia mungkin terpaksa meminjam atau mengurangkan hutangnya dengan menjual rumah atau keretanya untuk mengurangkan komitmen bulanannya.

Inilah perkara yang sama yang berlaku kepada syarikat-syarikat besar. Selama PKP ini berjalan mereka tidak mendapat sebarang pendapatan tetapi mereka tetap perlu membayar gaji pekerja, sewa premis, bayaran balik pinjaman, kos penyelenggaraan kilang atau bangunan dan lain-lain lagi.

Jika peniaga kecil menanggung komitmen ribuan ringgit sebulan, sebuah syarikat besar mungkin menanggung komitmen puluhan juta ringgit sebulan yang perlu dikeluarkan sedangkan mereka tidak menerima sebarang hasil jualan. Perlu diingat hasil jualan kepada perniagaan adalah umpama gaji kepada seorang yang bekerja makan gaji.

Lalu mereka menggunakan dana simpanan yang mereka ada untuk menampung semua kos operasi dan komitmen pembayaran hutang. Apabila dana simpanan mereka habis maka banyak syarikat yang terpaksa menutup terus operasi mereka. Lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang institusi kewangan sangat sukar untuk meluluskan pinjaman baharu.

Maka di sinilah peranan kerajaan untuk membantu rakyat samada pekerja, peniaga kecil atau korporat bagi memastikan aktiviti ekonomi tidak lumpuh. Sekiranya perniagaan-perniagaan ini banyak yang menutup terus operasi ia akan menyebabkan rakyat hilang pekerjaan kerana dibuang kerja. Pembuangan pekerja akan menyebabkan rakyat tidak ada pendapatan dan kerajaan pula tidak dapat mengutip cukai dari perniagaan dan cukai pendapatan individu.

Pada masa ini kerajaan terpaksa menggunakan segala dana yang ada untuk membantu rakyat. Namun kita jangan fikir bahawa sumber kewangan kerajaan itu tidak terhad.

Kerajaan boleh mencetak wang?

Sebenarnya masih ramai yang beranggapan bahawa kerajaan hanya perlu mencetak wang jika mahu berbelanja atau memberi peruntukan kepada rakyat. Ini adalah pemahaman yang silap.

Kerajaan boleh mencetak wang tetapi bukan seperti yang ramai di antara kita fikirkan. Cara kerajaan ‘mencetak wang’ ialah dengan kerajaan meminjam dari Bank Negara.

Namun ia adalah pinjaman yang perlu dibayar balik dengan kadar faedah tertentu kepada Bank Negara. Tapi harus diingat, meminjam wang terlalu banyak memberi kesan yang buruk kepada kerajaan sekiranya ia tidak terkawal.

Yang pertama lambakan wang akibat dari aktiviti ‘mencetak wang’ (meminjam dari Bank Negara) ini boleh menjurus kepada inflasi yang tinggi kerana ketidakseimbangan antara pengeluaran dan kemampuan berlebihan rakyat.

Yang kedua ia akan menyebabkan nilai tukaran wang asing negara kita akan jatuh berbanding negara lain. Untuk rekod ada sebuah negara jiran yang satu masa dahulu kerap ‘mencetak wang’ untuk menampung perbelanjaan kerajaan sehingga nilainya jatuh teruk berbanding tukaran asing.

Yang ketiga ia akan meningkatkan hutang kerajaan. Sampai satu tahap apabila kerajaan tidak mampu untuk membayar hutang-hutangnya maka kerajaan itu akan diisytiharkan muflis seperti yang pernah berlaku kepada Negara Greece.

Kerajaan sepatutnya membiayai perbelanjaan dan pembangunan negara melalui hasil pendapatannya. Hasil pendapatan kerajaan adalah dari cukai, saman dan pendapatan dari GLC. Malaysia contohnya memang sangat bergantung kepada hasil petroleum dari Petronas.

Jika negara berjaya mengutip cukai sebanyak RM100 bilion dan kemudian membelanjakan sebanyak RM100 bilion maka itu dipanggil belanjawan berimbang. Jika negara mempunyai hasil sebanyak RM100 bilion dan berbelanja RM90 billion itu dipanggil belanjawan lebihan atau surplus. Ini adalah situasi paling baik dan diidamkan oleh semua kerajaan di dunia ini.

Namun jika kerajaan mempunyai hasil sebanyak RM100 billion dan terpaksa berbelanja sebanyak RM120 billion ini dipanggil belanjawan defisit. Jadi kerajaan terpaksa meminjam sebanyak RM20 billion untuk menampung kekurangan ini.

Kesan PKP terhadap kewangan kerajaan

Bayangkan dalam situasi pada masa ini kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk membantu rakyat. Pada masa yang sama juga banyak perniagaan yang merosot atau ditutup. Hasil petroleum juga berkurang. Ini bermakna kerajaan dijangka akan mendapat hasil yang sedikit pada masa akan datang apabila syarikat-syarikat ini mengisytiharkan akaun untung rugi mereka pada hujung tahun ini.

Ada masa kerajaan berhadapan dengan perbelanjaan yang sangat tinggi tetapi hasil tidak berkurang. Ada masa kerajaan berhadapan dengan hasil yang merosot tetapi perbelanjaan tidak meningkat. Namun apa yang bakal dihadapi kerajaan ialah hasil yang menyusut teruk dan perbelanjaan yang meroket tinggi. Ini adalah situasi ekonomi terburuk yang bakal berlaku.

Seperti yang penulis katakan sebelum ini ekonomi adalah sesuatu yang berkait-kait dalam satu rantaian. Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat pada masa ini ialah untuk membantu diri mereka sendiri dan kerajaan dengan merancakkan semula aktiviti ekonomi.

Bagi peniaga yang masih mampu meneruskan perniagaan teruskan berniaga dan tingkatkan jualan. Bagi mereka yang hilang pekerjaan giatkan usaha mencari kerja. Terima apa sahaja pekerjaan yang dapat tanpa memilih. Bagi yang masih belum mendapat kerja cuba berniaga kecil-kecilan secara online atau melakukan pekerjaan seperti menjadi pemandu Grab atau penghantar makanan.

Apabila aktiviti ekonomi ini dirancakkan semula maka rakyat akan mendapat pendapatan. Ini akan dapat mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk memberi bantuan. Dalam masa yang sama kerajaan dapat mengutip hasil cukai.

Perlu diingat situasi ekonomi sekarang ini bukan di dalam situasi biasa. Kita berada dalam situasi ekonomi yang dijangka dan disifatkan oleh pakar-pakar ekonomi sebagai paling buruk dalam sejarah. Ia umpama kemusnahan selepas perperangan besar.

Kita boleh meletakkan semuanya di bahu kerajaan dan mendesak kerajaan untuk membantu kita setiap hari dengan alasan itu tanggungjawab kerajaan. Kerajaan yang dipimpin oleh orang politik yang bimbang rakyat mungkin marah dan tidak mengundi mereka lagi pada pilihanraya akan datang boleh sahaja menabur bantuan berbillion-billion ringgit dengan membuat hutang baharu tanpa memikirkan apa natijahnya dalam jangka panjang.

Tapi akhirnya apabila negara sudah mempunyai hutang bertimbun dan tidak mampu membayarnya maka negara akan muflis seperti apa yang pernah berlaku pada Grece. Pada masa itu bukan kerajaan dan ahli politik sahaja yang akan susah, rakyat yang akan lebih teruk merasai kesusahannya. Pada masa itu rakyat akan menyalahkan ahli politik dan ahli politik pula akan menyalahkan rakyat di saat kedua-duanya sudah sama-sama muflis.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

(Rencana ini juga disiarkan dalam Harakah Cetak Edisi Jumaat 26 Jun)